Mdno pilih fokus keluarga, demi jaga ibu bapa & anak. 'Orang nampak saya riang, dalam hati Tuhan sahaja tahu'

No Image Caption
A
A
A

APABILA keluarga memanggil, segalanya diketepikan. Di sebalik senyuman dan perkongsian bermanfaat di media sosial, pencipta kandungan kesihatan, Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai Mdno, kini memilih untuk memperlahankan langkah dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perkara paling utama dalam hidupnya, iaitu keluarga.

Mdno secara terbuka berkongsi keputusannya untuk memberi fokus kepada kehidupan peribadi buat masa ini, khususnya dalam membesarkan anak-anak serta menjaga ibu bapanya yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Ibunya dilaporkan mengalami strok, manakala bapanya pula sedang berdepan penyakit, selain anak bongsunya yang mempunyai keperluan khas.

“Saya sekarang nak fokus membesarkan anak-anak sahaja dan jaga keluarga kecil saya.

"Minta maaf kalau mungkin ada yang tersinggung,” luahnya jujur menerusi satu hantaran di Instagram.

Menurutnya lagi, keputusan itu bukan bermakna dia berubah atau menghilang sepenuhnya, sebaliknya satu fasa dalam hidup yang menuntut keutamaan berbeza.

“Saya tetap Mdno yang dulu. Cuma sekarang dengan mak strok, ayah sakit, si kecil ini ada keperluan khas sedikit.

"Saya betul-betul nak fokus jaga apa yang utama. Nak bekerja dengan baik supaya dapat menyediakan yang terbaik,” jelasnya.

Dalam perkongsian sama, influencer yang kian popular itu turut mengimbau kembali usaha yang pernah dilakukan sebelum ini dalam menyuarakan pandangan melalui saluran rasmi.

Menghargai persahabatan

Katanya, dia telah melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin, termasuk bertemu pihak berkepentingan dan menyerahkan memorandum.

"Saya kira sudah buat bahagian saya yang terbaik suatu ketika dulu.

"Jumpa menteri, jumpa mufti, serah memorandum, tunggu berjam-jam di luar Parlimen.

"Saya cuma mampu setakat itu sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, ketika ini dia memilih untuk tidak lagi terlibat dalam sebarang perdebatan atau pertikaian, sebaliknya mahu menyalurkan seluruh tenaga dan emosinya kepada perkara yang paling berharga dalam hidupnya.

No Image Caption

“Saya tak mampu berhujah apa-apa lagi. Moga ALLAH melindungi.

"Tenaga saya sekarang hanya mahu disalurkan kepada perkara yang sangat berharga untuk saya, sekurang-kurangnya buat masa ini,” ujarnya.

Mdno turut mengakui, di sebalik penampilan ceria dan positif yang sering dipamerkan di media sosial, tersimpan pelbagai cabaran peribadi yang tidak semua orang ketahui.

"Mungkin orang nampak saya riang, tetapi banyak kesusahan dalam hati ini Tuhan sahaja yang tahu.

"Saya percaya setiap kita ada pendirian dan kepercayaan masing-masing,” jelasnya lagi.

Mengakhiri luahan tersebut, Mdno berharap keputusannya itu tidak disalah tafsir dan hubungan persahabatan yang terjalin selama ini terus terpelihara.

“Saya harap kita semua masih berkawan dan terus menghargai persahabatan kita,” tulisnya penuh makna.

Dalam dunia yang sering menuntut segalanya bergerak pantas, langkah Mdno ini mengingatkan bahawa kadangkala berhenti seketika demi keluarga bukan satu kelemahan, sebaliknya satu pilihan hidup yang sarat dengan keberanian dan kasih sayang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang