'Mereka bayangan arwah ayah...' Anak-anak bakal hidupkan kembali legasi Suhaimi di pentas Inteam
KEMUNCULAN khas dua anak lelaki kepada Allahyarham Suhaimi, iaitu Hadi dan Salman, bakal menjadi antara tarikan utama dalam Konsert Kasih Kekasih oleh kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam.
Menurut salah seorang ahli kumpulan Inteam, Hazamin, kehadiran mereka di atas pentas nanti seolah-olah menghidupkan kembali bayangan arwah bapa mereka.
"25 tahun dalam Inteam ini sebenarnya termasuk lima tahun Allahyarham Suhaimi bersama kumpulan Inteam. Kalau kita lihat dalam komen netizen di video-video tular pun, ramai yang masih menyebut nama Suhaimi.
"Jadi, untuk mengembalikan kenangan itu, kami bawakan dua anak lelaki beliau untuk bersama-sama kami di pentas Konsert Kasih Kekasih nanti. Mereka akan menjadi bayangan ayah mereka yang pernah bersama kami membuat persembahan.
"Soal pujuk-memujuk itu, sebenarnya kami anggap mereka seperti anak kami sendiri. Walaupun jauh, tetapi sebab sering berjumpa dan kenal sejak kecil, hubungan itu terasa sangat dekat.
"Baru-baru ini, ketika pemergian ayah mereka pun, kami tahu apa yang mereka lalui. Kalau lihat di TikTok pun, anak-anak arwah memang berbakat, ada yang pandai main muzik, gitar dan sebagainya. Itulah darah daging Suhaimi.
"Jadi, salah satu impian kami ialah untuk mengetengahkan bakat mereka kepada khalayak ramai. Itulah sebenarnya tanda kasih sejati seorang sahabat," katanya.
Kumpulan Inteam juga bakal mengeluarkan single bersama anak-anak Allahyarham Suhaimi, iaitu sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh arwah sendiri.

Dalam perkembangan lain, berikutan permintaan luar biasa daripada peminat, Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun akan dipindahkan ke IdeaLive, Petaling Jaya, sebuah dewan acara serba moden yang mampu menampung sehingga 5,000 orang.
Membawa tema Cinta Ilahi, Sayang Nabi dan Kasih Insani, tarikh konsert yang pada asalnya dijadualkan pada 27 September 2025 ditukarkan kepada 28 September berikutan kekosongan lokasi tersebut.
Pembeli tiket terdahulu tidak perlu bimbang kerana mereka akan diberikan tempat duduk istimewa dan terkehadapan di zon masing-masing serta akan dihubungi oleh pihak urus setia bagi pengesahan tempat duduk dan pemakluman pertukaran tarikh.
"Hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair akan diberikan sebagai penghargaan kepada pembeli terawal," kata vokalis Inteam, Syahril ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
