‘Minta gajet? Saya buat tak tahu je.’ Azura Aziz dedah rahsia didik anak tanpa TV & telefon hingga 21 tahun!
AZURA AZIZ, nama tak asing lagi yang pernah menghiasi dunia hiburan tanah air sekitar era 90-an menerusi lagu-lagu popular seperti Bukan Ku Tak Sayang Lagi dan Demam Cinta.
Namun di sebalik kerjaya seninya yang pernah melonjak, Azura juga dikenali sebagai seorang ibu yang begitu tegas dan berprinsip dalam membesarkan anak-anaknya.
Baginya, mendidik anak bukan sekadar menyediakan makanan atau pakaian, tetapi mencorak masa depan mereka dengan disiplin, nilai agama dan juga kefahaman tentang kehidupan.
Dalam rumah tangga bersama suami, Azura menetapkan satu garis panduan yang jelas yang mana anak-anak tidak akan dimanjakan dengan gajet atau televisyen.

Bahkan, anak sulungnya hanya mula memiliki telefon pintar pada usia 21 tahun dan itu pun selepas tamat zaman persekolahan.
“Bukan kerana kedekut atau tidak mampu, tetapi kerana yakin bahawa gajet boleh menjadi gangguan utama terhadap perkembangan mental, kreativiti dan komunikasi dalam keluarga.”
Bagi Azura, ketiadaan televisyen di rumah bukanlah satu kekurangan, sebaliknya ruang untuk membina lebih banyak interaksi dan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak.
“Anak-anaknya juga digalakkan untuk mencipta permainan mereka sendiri, bukan bergantung pada alat elektronik yang sedia ada. Dari situlah, akan lahir kreativiti yang lebih tulen dan asli.
“Sepanjang membesarkan anak-anak, saya dan suami tidak pernah goyah dengan prinsip ini. Malah, kami konsisten dalam memberikan didikan yang sistematik dan seimbang agar anak-anak tidak keliru atau memberontak,” ujarnya.

Tegas ibu kepada tiga cahaya mata berkenaan, anak-anak sudah faham bahawa bahawa sebarang pujukan atau rayuan tidak akan mengubah keputusan ibu bapa.
“Ini kerana kami bersatu hati dalam menetapkan sempadan dan disiplin keluarga,” katanya ketika ditemui SinarPlus dalam satu program di Cyberjaya baru-baru ini.

Menariknya, Azura dan keluarganya yang pernah berhijrah ke bumi Mesir selama hampir satu dekad itu menjadikan pengalaman dan perbezaan budaya sebagai satu fasa penting dalam hidupnya.
Kisah ibu tabah menjaga Aaira, si kecil yang lahir dengan sindrom osteogenesis imperfecta (OI) type III, pasti buat hati kita luluh. Doakan si comel terus kuat dan membesar depan mata ibunya. " />

Soal bahasa pun tak jadi masalah sangat bagi Azura kerana walaupun tak fasih sepenuhnya, namun beliau sudah boleh survive untuk beli barang dan bercakap dengan penduduk tempatan.
“Nak pergi pasar tu bolehlah, tahu juga nak tanya berapa harga, mahal ke tak,” ujarnya sambil tertawa.”
Kerjasama suami isteri
Apa yang paling menarik adalah pendekatan pendidikan anak-anaknya apabila mereka dihantar ke sekolah beraliran Al-Azhar sejak tadika lagi.

Bukan mudah untuk memasuki institusi seperti itu di Mesir kerana perlu menghafal beberapa surah sebagai syarat kemasukan.
Jadi, bintang senior berusia 52 tahun itu dan suami memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak seawal mungkin agar mereka bersedia dari segi mental dan rohani.
Selain memberikan pendidikan agama yang kuat, Azura juga sering berbicara dengan anak-anak tentang nilai kehidupan, perbezaan antara yang benar dan yang salah serta kepentingan untuk sentiasa menghormati ibu bapa.
“Saya percaya, komunikasi yang terbuka dan saling memahami menjadi tunjang kepada keharmonian rumah tangga kami. Lagi satu, kerjasama antara suami isteri amat penting dalam mendidik anak-anak.
“Mereka perlu berpegang pada satu pendirian supaya anak-anak tidak keliru dengan dua arahan yang berbeza. Jika suami memberikan garis panduan tertentu, isteri perlu menyokong, begitu juga sebaliknya,” ceritanya.

Barangkali, itulah antara sebab mengapa beliau merasakan membesarkan tiga anak lelaki bukanlah satu cabaran besar kerana sejak awal lagi, mereka dibesarkan dalam suasana yang penuh kefahaman, disiplin dan kasih sayang.
Malah, Azura sekali lagi menegaskan bahawa peranan ibu bapa bukan hanya terletak pada mengarah dan mendidik, tetapi sentiasa belajar dan memperbaiki cara.
“Dalam membesarkan anak-anak, masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Nasihat dan pengalaman orang yang lebih dewasa, termasuk ibu mentua menjadi antara sumber kekuatan.
“Dalam hidup, kita kena ada agama. Itu guideline paling penting untuk anak-anak. Sebab itu bagi saya, didikan anak-anak adalah satu amanah besar dan perlu dilaksanakan dengan ikhlas, ilmu dan penuh kesabaran,” sarannya.
Sokong penghijrahan
Selain bergelar ibu dan juga usahawan kaligrafi khat, Azura juga sentiasa mengikuti perkembangan dunia seni.
Tatkala ditanya mengenai pandangan tentang artis muda yang berhijrah ke luar negara untuk mengembangkan kerjaya, suri hati kepada Cheb Ali Masrawi itu tanpa ragu memberi sokongan penuh.

Baginya, jika seseorang itu mempunyai bakat, tidak salah untuk mereka melebarkan sayap ke pentas antarabangsa seperti mana dilakukan oleh Yuna dan beberapa artis lain.
“Malah, saya sendiri menyimpan impian untuk globalisasikan album terbaru satu hari nanti agar bakat tempatan terus dikenali di mata dunia,” katanya yang sedang menyiapkan album mini (EP) berkonsepkan Timur Tengah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

