Siti Nurhaliza pilih berdiam diri, serah isu solat tanpa telekung kepada yang lebih arif. 'Saya masih perbaiki diri'
BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan pendiriannya untuk tidak mengulas lanjut berkaitan penularan gambarnya ketika menunaikan solat tanpa telekung yang telah menjadi perdebatan warga maya.
Menurut Siti Nurhaliza, isu tersebut juga telah pun mendapat perhatian mereka yang arif tentang ibadah dan penjelasan juga telah diberikan.
Sebagai manusia biasa dan seorang Muslim, beliau mengakui masih dalam proses memperbaiki diri.
“Bagi saya, yang berkaitan dengan ibadah, saya tak perlu pun nak membalas. Tambahan pula ustaz pun sudah menjelaskan. Jadi saya tidak perlu berkata apa-apa, kan. Kita pun yang beragama Islam, tahu apa yang sepatutnya, kan.
“Tapi dalam masa yang sama, saya masih lagi memperbaiki diri saya, memperbaiki lagi amalan saya.
“Apa yang saya harapkan, ALLAH semakin memberikan saya kekuatan, kesabaran.
"Sebab bukan mudah untuk menjadi anak seni dalam dunia yang semakin mencabar, yang mana setiap apa yang kita buat pasti akan jadi tumpuan.
"Pada bulan Ramadan ini kita husnuzon sahaja,” katanya.

Pemilik nama Siti Nurhaliza Taruddin, 47, itu juga berkata, langkah tidak memberikan komen lanjut diambil kerana bimbang penjelasannya disalah tafsir.
“Sebab orang yang lebih bijaksana mungkin boleh jelaskan. Sebab kalau saya jelaskan, nanti takut jadi kesalahan pula.
"Cara penjelasan kita tu berbeza kan. Jadi lebih baik saya berdiam saja” katanya.
Bercakap tentang kontroversi yang tercetus, penyanyi Segalanya Cinta itu menyifatkannya sebagai perkara normal dalam zaman media sosial yang serba pantas ini.
Malah, Siti Nurhaliza juga tidak terasa hati dengan kritikan kerana mengakui sudah lali dengan situasi seumpama itu.
“Itu memang normal. Dalam era media sosial ni, memang sudah jadi trend. Semua orang suka untuk memberikan pendapat masing-masing. Okay, cuma jangan sampai jatuh fitnah sahaja.
“Bagi saya tak mengapa dan tak ada masalah. Bulan Ramadan yang mulia ni, kita bersangka baik saja.
“Kadang-kadang ada orang tegur tu, kadang-kadang betul juga untuk menegur kita, mungkin ada kurangkan dosa kita kan,” katanya.

Pun begitu, Siti sempat menitip pesan kepada orang ramai agar berhati-hati dalam memberi pandangan dan meninggalkan komen bagi mengelak timbul sebarang fitnah.
“Dalam dunia media sosial, inilah dia suka dan duka ataupun asam garamnya.
"Kalau kita menulis sampai jatuh fitnah yang boleh datangkan dosa kepada kita, dah jadi kesalahan untuk kita. Kita kena cepat-cepatlah sedar,” ujarnya.
Tidak cepat melatah berkaitan isu itu, beliau menjelaskan, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk membiarkan sahaja.
"Dalam hal-hal berkaitan ibadah, mungkin yang lebih bijaksana boleh menjelaskan. Kalau saya jelaskan bimbang jadi kesalahan pula. Jadi, lebih baik saya diam sahaja," kongsinya.
Imbas kembali, baru-baru ini foto Siti Nurhaliza sedang menunaikan solat dengan hanya berjubah tanpa telekung ketika menghadiri sebuah majlis mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Isu berkenaan kemudian mendapat perhatian Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang menjelaskan solat didirikan sah.
Ulas Izhar, antara syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna. Ujarnya lagi, pemakaian telekung bukan satu kewajipan dari sudut hukum, sebaliknya lebih kepada adat dan kebiasaan masyarakat.
Siti Nurhaliza ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin.
Pada majlis kali ini, Yayasan Nurjiwa dan Yayasan Prihatin menghargai jasa dan menyantuni golongan penggiat seni serta pengamal media yang sedang berhadapan dengan ujian hidup termasuk masalah kesihatan.
Selain itu, suasana majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada 120 orang anak yatim dan pelajar tahfiz dari Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
