Muzik dan keluarga, Nabila Razali buktikan wanita boleh berjaya di kedua-duanya

No Image Caption
A
A
A

KATA orang, pengalaman adalah satu perjalanan untuk mendewasakan setiap individu. Ada yang melalui proses itu dengan lantang, ada yang melaluinya dalam diam.

Bagi penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, pendewasaan itu hadir dalam bentuk kesedaran yang perlahan, tidak terburu-buru, namun cukup jelas untuk mengubah cara dia melihat diri dan seninya.

Selama ini, Nabila dikenali dengan imej lembut dan santun, hadir dengan senyuman yang menenangkan dan pembawaan yang halus.

Namun, kelembutan yang lama dipelihara itu juga pernah menjadikan dirinya mudah disalah tafsir seolah-olah dia tidak mempunyai pendirian, atau tidak berani menggerakkan perubahan. Tetapi di sebalik kelembutan itu, ada sisi diri yang sedang berkembang, mencari ruang untuk bernafas dengan cara yang lebih matang.

No Image Caption

Transisi yang dilaluinya bukan sekadar soal muzik atau visual. Bahkan lebih mendalam daripada itu. Ia adalah usaha untuk mendefinisi semula batas dirinya, bagaimana dia mahu dipandang, dihormati dan terus diterima tanpa meninggalkan keaslian siapa dirinya.

Perubahan itu tidak dibuat untuk membalas sesiapa, bukan juga untuk menepis kritikan. Ia adalah keputusan yang tumbuh dari dalam diri daripada keinginan untuk terus belajar, terus mencuba dan terus membenarkan dirinya berkembang mengikut masa dan pengalaman.

Nabila masih membawa sisi santun yang sama, tetapi dalam kelembutan itu, ada pendirian yang lebih kukuh. Ada keyakinan yang tidak tergesa. Ada kesedaran bahawa kebaikan juga memerlukan batas yang dijaga dengan sedar. Inilah transformasi Nabila Razali - lembut, matang dan tahu nilai dirinya.

NILAI DIRI

Ada satu ketika, seseorang akan sampai ke titik yang membuatkan dia berkata, 'cukuplah'.

Namun bukan kerana penat, tetapi kerana dia mula menyedari nilai dirinya sendiri.

Demikian juga dengan Nabila. Kesedaran itu hadir bukan dalam bentuk perubahan yang mendadak.

No Image Caption

Sebaliknya ia datang secara perlahan dan senyap, namun cukup kuat untuk mengubah keutamaan dan arah fikirannya mengenai siapa dirinya dalam seni, serta bagaimana dia mahu dilihat selepas ini.

Selama ini, beliau sinonim dengan imej lembut dan penyampaian vokal yang halus. Lagu-lagunya sering dipaut pada perasaan dan kesyahduan. Namun, kelembutan itu juga menjadikan dirinya mudah disalah erti, seolah-olah tidak berpendirian atau hanya menurut arus.

“Saya rasa saya sudah terlalu lama berada dalam zon selesa. Sampai satu tahap, saya tahu saya perlu keluar dan mencuba sesuatu yang baharu. Saya mahu berkembang,” katanya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui SinarPlus pada pelancaran single terbaharunya, Balas Baik, di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, baru-baru ini.

Kritikan bukan perkara asing dalam perjalanan seninya. Ada yang membina, ada yang menyinggung terus ke hati.

Namun, Nabila memilih cara yang paling dekat dengan jiwanya, iaitu tidak membalas dengan keras, tetapi memperbaiki diri.

“Berbuat baik bukan bermaksud kita biarkan orang memperlekeh. Kebaikan pun ada batas. Saya masih mahu kekalkan kelembutan itu, tetapi kali ini saya tahu hadnya,” tegasnya.

Kemunculan Balas Baik membuktikan keinginan Nabila untuk bergerak ke arah lain.

Selepas sekian lama dikenali dengan lagu bernada galau, penyanyi berusia 32 tahun itu kembali kepada genre pop sesuatu yang sebenarnya sudah lama dirancang dan juga dinanti peminat yang mahu melihat sisi dinamik daripadanya.

Namun, membawa pembaharuan bukan perkara muda kerana untuk karya kali ini, Nabila menggabungkan nyanyian dan tarian dalam persembahan, memerlukan latihan vokal dan stamina yang konsisten.

“Untuk kali ini, saya bukan sekadar menyanyi. Saya perlu menari sekali. Itu cabaran paling besar. Latihan berganda, tetapi saya mahu cuba,” jelasnya.

BALAS BALIK

Dari sudut penerimaan peminat, reaksi yang diterima lebih banyak bersifat positif, malah ramai yang terkejut dengan kelainan yang ditampilkan, serta menyambut baik keberanian tersebut.

No Image Caption

“Saya nampak di ruangan komen, ramai yang kata ‘lain Bella sekarang’, ‘Bella on fire’. Saya rasa itu satu perkembangan yang baik. Kalau perubahan itu mengejutkan, itu bermakna orang perasan usaha kita,” katanya dengan senyuman.

Balas Baik ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak itu hadir sebagai suara refleksi iaitu bukan dendam, bukan jawapan kepada sesiapa, tetapi pendirian bahawa kelembutan boleh membawa kekuatan tersendiri.

“Membalas dengan baik bukan tanda lemah. Ia tanda hati yang besar. Kita boleh berdamai tanpa perlu balas jahat,” katanya.

Selain pembentukan diri melalui pengalaman, peranan sebagai isteri dan ibu turut memberi dimensi baharu kepada beliau untuk melihat dunia.

Baginya, status itu bukan halangan, tetapi sumber kekuatan yang menyokong pendiriannya untuk terus berkarya.

“Saya rasa penting untuk bezakan antara Nabila di rumah dan Nabila di pentas. Kalau dua dunia itu digabung, kita akan rasa terbatas.

“Pada masa sama, saya mahu terus 'explore' dan mahu anak saya nampak ibunya ini berani mencuba,” kata ibu kepada Nik Muhammad Nik Iruwan, 10 bulan.

No Image Caption

Dengan sokongan suami, Nik Iruwan Nik Izani dan pasukannya menjadi tulang belakang kepada keyakinan baharu itu.

“Selagi tidak menjatuhkan maruah keluarga, suami saya sokong. Itu sangat penting untuk saya,” ujarnya dengan nada tegas.

Nabila mengakui perubahan itu bukan untuk membuktikan kepada sesiapa atau meraih pengiktirafan baharu, tetapi adalah untuk menjaga jiwa dan raganya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang