Nadia Kesuma telah tinggalkan lapangan terbang Jeddah, agensi pelancongan tidak boleh lepas tangan
MENTERI Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi pada Khamis lalu telah meninggalkan lapangan terbang berkenaan.
Lapor Sinar Harian, pihak Konsulat Malaysia di Jeddah telah mengesahkan pelakon Syaitan Munafik itu keluar dari kawasan lapangan terbang selepas tiba di Arab Saudi.
Menurut Mohamad, laporan polis tempatan turut dibuat bagi membantu usaha pencarian. Pihak Konsulat juga telah berhubung rapat dengan polis dan imigresen negara itu bagi menjejaki Nadia atau nama penuhnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim.
"Ini bermakna Nadia sudah melepasi kawasan lapangan terbang. Laporan polis tempatan telah dibuat, namun mengikut peraturan di sana, laporan orang hilang hanya boleh diklasifikasikan selepas tempoh 20 jam.
"Sebelum tempoh itu, usaha pencarian perlu dijalankan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.
Suami Nadia, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, merayu kerajaan Malaysia segera menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian.
Difahamkan, ahli keluarga Nadia Kesuma telah membuat laporan kepada Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah.
Namun, pada masa ini, suami Nadia dinasihatkan untuk kekal berada di Malaysia dan tidak terbang ke Jeddah bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan, selain faktor jurang bahasa kerana beliau tidak fasih berbahasa Arab.
Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata, laporan mengenai kehilangan pelakon itu telah dibuat dan pihaknya sedang menunggu hasil siasatan polis Arab Saudi.
Jelas Mohamad, pihaknya telah mengarahkan pejabat Konsulat Malaysia di Jeddah untuk mengambil segala langkah perlu bagi membantu pencarian, selain menegaskan bahawa agensi pelancongan terlibat tidak boleh lepas tangan.
“Agensi pelancongan mesti bertanggungjawab sepenuhnya kerana Nadia ke sana melalui rombongan yang diuruskan oleh mereka,” ujar beliau.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan Nadia gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis, 6.20 pagi waktu tempatan.
Nadia yang berangkat ke Tanah Suci secara bersendirian dipercayai bersama jemaah dalam trip yang dia baharu dikenali.
Pelakon itu sepatutnya menaiki penerbangan ke London pada jam 8.30 pagi setelah transit sekitar dua jam di Jeddah. Namun dia tidak menaiki pesawat untuk ke London dan tidak dapat dikesan setelah ke tandas.
Beberapa kali nama dipanggil di lapangan terbang namun Nadia tidak muncul. Beg hand carry miliknya dijumpai di lapangan terbang manakala beg dalam kargo pesawat telah sampai di London.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

