Neelofa lebih tenang, fokus keluarga & perniagaan

Neelofa selesa dengan apa yang dilalui kini.
Neelofa selesa dengan apa yang dilalui kini.
A
A
A

PENGACARA dan usahawan terkenal, Neelofa mengakui dirinya kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih tenang dan banyak memberi tumpuan kepada keluarga serta perniagaan yang dibangunkannya.

Menurut selebriti berusia 36 tahun itu, kehidupannya kini lebih perlahan dengan rutin sederhana bersama anak-anak, selain menghadiri kelas agama dan bahasa Arab.

“Sekarang memang susah orang nak jumpa saya. Hidup lebih tenang, lebih fokus kepada keluarga dan perniagaan. Saya juga cuba isi masa dengan kelas-kelas agama dan bahasa. Walaupun sibuk dengan mesyuarat dan urusan kerja, perkara itu yang buat hati saya rasa berbunga,” katanya.

Tambah isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu, walaupun lebih banyak menghabiskan masa di rumah, dia masih terlibat dengan operasi syarikatnya, NH Prima International Sdn Bhd. 

Malah, antara aktiviti harian yang membuatkan dirinya gembira ialah memasak untuk keluarga dan meluangkan masa bersama anak-anak.

No Image Caption

Berkongsi mengenai kerjaya seni, Neelofa tidak menolak masih menerima tawaran, namun lebih selektif agar seiring dengan imej yang dibawanya kini.

“Ada tawaran untuk program dan talk show, terutamanya berunsur spiritual. Saya pilih yang sesuai sahaja kerana mahu ia selaras dengan imej dan mesej yang saya bawa sekarang,” ujarnya.

Selesa berdiam diri

Dalam perkembangan lain, ibu kepada dua anak lelaki itu memilih untuk tidak memberi komen lanjut apabila diminta mengulas mengenai tumpuan warganet terhadap perhubungan cinta adiknya, Ameera Khan atau lebih dikenali sebagai Little Miss Khan dengan pelakon sensasi Indonesia, Jefri Nichol.

Menurut Neelofa, meskipun dirinya tidak keberatan menjawab pertanyaan berkaitan kerjaya atau kehidupan sendiri, dia lebih selesa berdiam diri apabila melibatkan orang lain termasuk keluarganya sendiri.

“Kalau mengenai saya, saya akan jawab. Tetapi untuk hal orang lain, saya lebih selesa berdiam diri kerana bimbang kenyataan boleh disalah tafsir. Kadang-kadang bila kita jawab pun tetap dikritik, jadi lebih baik saya simpan sahaja,” katanya.

Menyentuh mengenai perhatian luar biasa yang diterima Ameera di media sosial, bekas pengacara Meletop itu menjelaskan, situasi tersebut sudah menjadi kebiasaan dalam era digital hari ini.

Malah katanya, fenomena media sosial hari ini menjadikan ramai individu meraih perhatian seperti selebriti, sekali gus meletakkan mereka di bawah sorotan umum tanpa mengira latar belakang industri.

“Sebenarnya tak boleh nak samakan. Saya kan dalam dunia industri seni, dia (Ameera) pula bukan.

“Sekarang, dengan media sosial sesiapa pun boleh jadi terkenal dan kisah peribadi mudah diketahui ramai. Sama juga macam dulu orang hanya kisah tentang selebriti sahaja. 

"Jadi kalau nak banding pun tak boleh sebab dia bukannya penyanyi, pelakon atau pengacara. Jadi... itulah, nasib dia lah,” ujarnya ringkas.

Neelofa antara lapan majikan yang menerima anugerah Majikan Pesona Lindung daripada Perkeso baru-baru ini.
Neelofa antara lapan majikan yang menerima anugerah Majikan Pesona Lindung daripada Perkeso baru-baru ini.

Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berlangsung di EQ Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, NH Prima menerima pengiktirafan dalam Anugerah Majikan Pesona Lindung, sesuatu yang disifatkan Neelofa sebagai pencapaian bermakna buat syarikatnya.

“Pengiktirafan ini hasil usaha bersama keluarga yang sentiasa menyokong. Lebih 10 tahun saya dalam industri dan syukur syarikat kini mempunyai lebih 100 kakitangan. Pertumbuhan ini buat saya bangga dan lihat ia sebagai satu penghargaan besar,” jelasnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang