Nilam Ortiz & Azlan Komeng timang anak sulung, dedah sebab rahsiakan kehamilan- 'Dua kali 'KJ' masuk hospital...'

No Image Caption
A
A
A

SETIAP ibu pasti melalui cabaran tersendiri, namun perkongsian terbaru Nur Nilam Ortiz benar-benar meraih perhatian ramai. 

Pelakon dan usahawan ini membuka cerita sebenar mengenai anak sulungnya, ‘KJ’, yang baharu berusia lima minggu, dalam sesi siaran langsung di TikTok, sekali gus menyingkap sisi kehidupan peribadi selebriti yang sering tersimpan di sebalik senyuman.

Bayi comel itu dilaporkan sudah dua kali dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam darah. Dalam perkongsian tersebut, Nilam berkongsi sebab merahsiakan tentang kehamilannya.

“Ramai tertanya-tanya sejak bila saya mengandung… sedar-sedar saya sudah mempunyai bayi. 

"Sengaja saya merahsiakan kehamilan untuk mengelakkan perkara tidak diingini. Saya pernah melalui keguguran sebelumnya. 

"Jadi, saya memilih untuk memberi fokus kepada perniagaan dan kemelut rumah tangga tanpa perhatian umum,” luah Nilam jujur.

No Image Caption

Lebih menyentuh hati, wanita itu turut berkongsi cabaran menjaga bayi di tengah tekanan emosi sepanjang kehamilan menerusi Instagram miliknya.

“Anak saya keluar masuk hospital, daripada kuman di paru-paru, sekarang kuman pula masuk dalam darah.  Siang malam saya tak tidur, menjaga, berdoa, menahan takut yang tak pernah saya tunjuk depan orang. 

"Dalam masa yang sama saya tetap meniaga, tetap buat live… sebab itu saja cara saya bertahan," dedahnya.

Pada masa sama, dia turut memohon orang ramai menitipkan doa kesembuhan buat bayinya.

“Sebab itu hari ini, saya minta kalian doakan anak kami. Bukan untuk kasihan, tapi untuk kekuatan. 

"Kadang-kadang doa dari orang yang tak pernah kita jumpa, itulah yang ALLAH angkat paling tinggi,” katanya.

Selain itu, Nilam menjelaskan bagaimana tekanan emosi sepanjang kehamilan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kesihatan bayi itu.

“Saya bukan sahaja perlu menjaga kandungan, tetapi juga diri sendiri. Namun dalam keadaan penuh tekanan, ia sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan. 

"Kesan tersebut mungkin menjadi antara punca keadaan anak saya sekarang,” jelasnya dengan nada sayu.

Sebagai seorang ibu yang prihatin, dia tidak henti-henti memohon doa agar si kecil segera sembuh dan kembali sihat.

No Image Caption

“Saya mohon doa semua agar ‘KJ’ segera sembuh. Sebagai seorang ibu, saya hanya mahu memberi sepenuh perhatian kepada anak kedua saya ini, tanpa terheret lagi dalam masalah yang tidak membawa kebaikan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, KJ merupakan anak sulung hasil perkongsian hidup Nilam bersama suaminya, pelakon Azlan Komeng, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga. 

Nilam juga mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Kisah Nilam bukan sekadar membuka lembaran kehidupan selebriti, tetapi turut menjadi pengingat tentang kepentingan kesihatan mental, sokongan keluarga, dan kekuatan doa sepanjang proses kehamilan. 

Bagi pengikutnya, perkongsian ini memberi inspirasi tentang kecekalan seorang ibu menempuh cabaran hidup, sambil tetap mengekalkan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya kepada anak tersayang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang