Peguam Dr Afifah dedah Nubhan sudah dua kali lafaz talak
PEGUAM syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, mendedahkan anak guamnya iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek pernah menerima dua lafaz cerai daripada suaminya, Ahmad Nubhan, masing-masing pada tahun 2017 dan Ogos lalu.
Menurut beliau, kedua-dua lafaz berkenaan tidak pernah didaftarkan di mahkamah sebelum ini.
“Sebenarnya, plaintif pada tahun 2017 pernah melafazkan cerai terhadap anak guam saya. Namun, dalam masa terdekat selepas itu mereka rujuk semula. Cuma kedua-dua tindakan itu tidak didaftarkan di mahkamah.
“Jadi, untuk permohonan kali ini, ia difailkan bagi pengesahan talak yang dilafazkan pada 2017 dan juga yang terkini pada Ogos lalu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis.
Tambah beliau, mahkamah akan menentukan sama ada kedua-dua kes itu akan didengar serentak atau mendahulukan lafaz talak pertama dan rujuk yang dibuat pada 2017 sebelum meneruskan dengan pengesahan lafaz talak kedua.
“Mahkamah juga akan menilai beberapa faktor seperti niat, keadaan waras serta sama ada lafaz dibuat tanpa sebarang paksaan atau ugutan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Akberdin turut mengesahkan bahawa penyanyi Oh Juwita itu pernah menawarkan perceraian kepada anak guamnya sebelum lafaz talak dibuat.
“Memang Nubhan ada mengemukakan tawaran dan pernah menghantar surat kepada anak guam saya pada bulan Ogos lalu yang turut menyentuh isu hak isteri selepas bercerai.
“Pihak kami juga ada memberikan maklum balas, namun ia diabaikan begitu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 39, hadir ke mahkamah sekitar jam 9.40 pagi bagi sebutan pertama kes pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Ketika ditanya mengenai harapannya terhadap prosiding berkenaan, Nubhan secara ringkas berkata, “Harapan saya, doakan yang terbaik untuk apa yang bakal berlaku. Saya pun tiada apa-apa untuk diperkatakan sekarang.”
Dr Afifah yang tiba lima minit kemudian bersama peguam dan ahli keluarga pula memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan kepada media.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; serta Afzan Nayille yang kini berusia tiga tahun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

