'Perkara itu tak ada kena-mengena dengan saya'- Nora Danish enggan panjangkan isu Nedim Nazri, fokus hubungan baik demi anak
PELAKON Nora Danish enggan memberi penjelasan lanjut ekoran ciapan bekas suami, Nedim Nazri Aziz di Threads yang mencetuskan pelbagai reaksi netizen baru-baru ini.
Ketika ditemui SinarPlus, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, enggan memberi komen memandangkan hubungan bersama bekas suami telah berakhir.
Jelasnya, ciapan yang mencetus pelbagai spekulasi itu sama sekali tiada kaitan dengan dirinya.
"Sebenarnya saya tak mahu komen apa-apa mengenai perkara ini ditambah pula saya sudah tidak lagi bersama dengannya.
"Saya hormati hak dan privasi dia. Sebab itu saya memang tak nak komen apa-apa sebab tak ada kena mengena dengan diri saya," tegas wanita berusia 43 tahun itu lagi.
Pun demikian, ibu kepada dua cahaya mata lelaki tersebut memaklumkan, hubungannya bersama Nedim atau lebih dikenali dengan panggilan Boss Ned dalam keadaan baik.
Bahkan, duta Mirage berkenaan turut memilih untuk menjaga hubungan baik demi pembesaran anak-anak.
Saya tak baca sangat ciapan yang dibuat sebab sedang sibuk uruskan restoran.
"Saya tak ‘aware’ dan tak rasa ciapan itu ditujukan kepada saya sebab kami mempunyai hubungan yang baik.
"Pada msa sama, saya juga mengharapkan hubungan yang baik-baik dengan semua pihak.
"Seperti yang saya tekankan dari awal lagi, saya memang menitikberatkan hubungan baik untuk membesarkan anak-anak dengan sihat," ungkapnya lagi.

PENUNGGANG AGAMA
Sebelum ini, Nedim menyorot perhatian selepas hantarannya di Threads mengenai dakwaan individu yang cuba mengganggu anaknya.
Dalam hantaran sama, dia turut menyindir individu yang disifatkan sebagai ‘penunggang agama’ sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Nora berkata demikian selepas selesai tayangan perdana drama Saling Tak Terlihat yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur sebentar tadi.
Untuk rekod, telefilem tersebut adalah buah tangan terbaharu Usanita Entertainment Sdn. Bhd. melalui jenama UTV arahan Izuan Mokhtar yang bakal disiarkan pada 6 November 2025, jam 9 malam.

Menampilkan barisan pelakon popular seperti Remy Ishak, Nora Danish, Fattah Amin, Alicia Amin, Ummie Aida, Aleza Shadan dan Raja Azmi, telefilem ini mengangkat tema cinta, kehilangan dan semangat untuk bangkit dengan latar sinematik indah di Auckland, New Zealand.
Menurut pengarah, karya itu menggabungkan elemen emosi dan dunia kulinari, serta menonjolkan watak gadis buta bagi memperkukuh simbolik deria dan rasa.
Presiden UTV merangkap CEO Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan, berkata telefilem ini mencerminkan komitmen UTV dalam menghasilkan karya tempatan berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa.
Runut bunyi rasmi berjudul “Jadikan Aku Nadi Hidupmu” ciptaan Ajai dan dinyanyikan Lah Ahmad menambahkan lagi keindahan karya ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
