'Pernah buat April Fool sampai mak pengsan’ - Zahiril Adzim syukur, restu & doa ibu bapa kunci rezeki dalam dunia seni
PELAKON versatil Zahiril Adzim baru-baru ini berkongsi pengalaman lucu ketika zaman kecilnya yang masih segar dalam ingatan.
Melalui sesi siaran di TikTok yang dimuat naik miss.ziera92, pelakon drama dan filem itu mendedahkan kisah bagaimana dia pernah mengenakan ibunya sendiri pada sambutan April Fool.
Menurut Zahiril atau nama penuhnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, gurauan nakal tersebut bukan calang-calang, malah membuatkan ibunya benar-benar percaya sehingga jatuh pengsan.
Cerita itu kembali diperkatakan selepas seorang peminat bertanya sama ada dia kah artis yang pernah ‘scam’ ibu sendiri dengan menyamar kononnya cedera parah.
“Betul, memang saya. Cuma saya tak guna sos, saya pakai watercolour,” katanya sambil ketawa.

Bercerita lanjut, pemenang Pelakon Filem Lelaki Popular, ABPBH ke-33 berkata, dia sengaja menunggu ibunya pulang ke rumah sebelum melakonkan adegan kecemasan.
Dengan kreativiti yang luar biasa untuk seorang kanak-kanak, dia menggunakan batu, basikal serta cat merah untuk menghasilkan situasi seolah-olah dirinya mengalami kemalangan.
“Saya pecahkan batu, jatuhkan basikal, kemudian lumur cat warna merah dekat kepala macam darah. Saya baring atas batu tu, pura-pura pengsan tunggu mak balik,” katanya.
Namun, gurauan yang dirancang akhirnya mengundang kecoh apabila ibunya benar-benar percaya.
“Mak keluar kereta terus menjerit, ‘Ya ALLAH, anak aku!’ Lepas tu mak pengsan.
"Nasib baik ayah sempat sambut dan bawa masuk ke rumah. Saya pula kelam-kabut cakap sorry, nak buat April Fool je,” ujarnya sambil mengimbas detik mencemaskan itu.
Walaupun hampir membuat ibunya trauma, pengalaman tersebut menjadi titik penting dalam perjalanan hidupnya. Minat terhadap seni lakonan jelas terserlah sejak kecil lagi.

RESTU IBU BAPA
“Sejak darjah lima saya memang suka berlakon. Dari situ mak nampak saya ada bakat.
Dia kata, kalau minat sangat, teruskanlah. Sebab itu saya ambil keputusan sambung belajar di ASWARA dalam bidang teater,” jelasnya.
Zahiril juga menegaskan bahawa restu serta doa kedua-dua ibu bapa adalah kekuatan utama dalam kerjayanya. Katanya,
“Masuk bidang seni bukan mudah. Bukan semua ibu bapa boleh terima. Ada yang kata belajar teater tak ada masa depan.
"Tapi alhamdulillah, mak ayah percaya pada saya. Hari ini, terbukti ia boleh jadi kerjaya yang bernilai," ungkapnya.
Daripada sekadar gurauan April Fool yang menyebabkan ibunya pengsan, kini Zahiril Adzim berdiri sebagai salah seorang pelakon berbakat besar di Malaysia.

“Saya bersyukur berkat doa mak ayah dan keluarga, saya sampai ke tahap ini.
"Restu ibu bapa itu sangat penting, itu kunci rezeki saya,” katanya dengan penuh syukur.

Dengan karisma serta keikhlasan dalam setiap watak yang dibawanya, dia membuktikan bahawa minat, usaha dan doa keluarga mampu membawa kejayaan yang berpanjangan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
