'Rezeki yang ada dikongsi, tidak pernah syok sendiri.' Utamakan keluarga dan tanggungjawab, pegangan hidup Abby Abadi

No Image Caption
A
A
A

JARANG memuatnaik gambar berseorangan, bukan sebab rendah diri tetapi kerana hidupnya penuh dengan tanggungjawab. Itulah luahan pelakon dan personaliti terkenal, Abby Abadi yang sekali lagi mencuri perhatian warganet.

Sedang bercuti di Jepun, perkongsian Abby di Instagram membuka cerita tentang prinsip hidup yang dipegangnya iaitu mendahulukan anak-anak dan orang di sekeliling berbanding diri sendiri. 

Jelas Abby, nukilan berkenaan bukan untuk meraih simpati, sebaliknya sebagai peringatan agar tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap kehidupan seseorang.

Katanya, apa sahaja rezeki yang diperoleh tidak pernah dinikmati sendirian sebaliknya dikongsi, bukan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk dan sentiasa berjimat cermat.

"Saya memang sejenis yang sibuk fikirkan orang lain selepas itu baharu fikir tentang diri sendiri. Itulah saya, buruk ke perangai macam ni?

"Dari dahulu apa rezeki yang ada semua saya kongsi untuk sesiapa sahaja di sekeliling saya. Tidak pernah saya syok sendiri.

“Mahu beli itu ini pun fikir banyak kali, apatah lagi mahu berjalan seorang diri.

"Saya berjimat hendak beli itu ini, nak berjalan seorang memang tidak ada," kongsinya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, keadaan rumah dan kenderaan yang besar bukanlah simbol kemewahan, sebaliknya mencerminkan realiti hidupnya yang menanggung ramai orang di bawah tanggungjawab sendiri.

"Tengoklah saya duduk rumah macam mana? Kereta besar seperti bas semua sebab apa? Sebab ramai orang di sekeliling saya yang menjadi tanggungjawab saya. Bukan sebab mahu tunjuk kaya,” katanya secara terbuka.

Apa yang lebih menyentuh hati, pemilik nama Arbaiyah Abdul Manan itu mengakui tidak pernah terlalu risau soal kewangan. Baginya selagi berusaha, dia yakin ALLAH tidak pernah menutup jalan rezeki.

“Duit ada atau tiada, saya relaks sahaja sebab saya tahu saya ada ALLAH Yang Maha Kaya,” luahnya.

Ketenangan itulah yang membuatkan ramai warganet mengagumi prinsip hidupnya, tidak bergantung pada manusia, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Tuhan.

Di akhir perkongsian, Abby menitip harapan agar orang ramai mendoakan menjadi seorang yang kaya bukan untuk kemewahan peribadi, tetapi supaya dapat terus memikul tanggungjawab dan berkongsi rezeki dengan sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana jua.

"Jangan judge, doakan saya menjadi orang kaya supaya saya boleh terus bertanggungjawab dengan tanggungan dan boleh berkongsi dgn sesiapa sahaja. Bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Doakan ya" kongsinya 

Warga maya bersetuju dengan pegangan hidup Abby dan memuji ketulusan pelakon itu membahagiakan keluarga.

Pemain watak Inspektor Aliza dalam drama penyiasatan Gerak Khas itu kini kini bergelar isteri kepada Muhammad Faizal. Berumahtangga pada tahun 2015, mereka memiliki tiga orang anak angkat.

Terdahulu, Abby berkahwin dengan pelakon Norman pada tahun 2002 namun berpisah Disember 200 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Danish Hakim, 22, dan Marissa Dania Hakim, 20 dan Maria Danisha, 18.

Abby pernah berahwin dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar pada Julai 2013 namun bercerai pada 2014.

Sumber: Instagram

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang