'Saya banyak berkata-kata dalam hati je...'Kongsi anak kuat berjuang lawan kanser, luahan Amyza Aznan meruntun hati!

PELAKON Amyza Aznan sekali lagi menyebabkan ramai sebak, termasuk rakan artis dan peminatnya.
Ini selepas beliau memuat naik sepotong video yang memaparkan anaknya, iaitu Andre Mikhail Khairul, sedang menyanyi.
Anak sulung beliau yang berusia 22 tahun itu baru-baru ini disahkan menghidap kanser paru-paru dan kini berkepala botak, dipercayai kesan rawatan kemoterapi.
Beliau dilihat menyanyikan lagu popular Datuk Jamal Abdillah berjudul Di Sudut Kamar Hatiku bersama anggota keluarganya, termasuk Amyza.

Dalam hantaran video itu, kapsyen yang ditulis meruntun hati ramai. "Assalamualaikum semua. Ni anak saya, status terkini... selepas dikemo.... DOAKAN YE UNTUK ANDRE MIKHAIL.. @mikaa_alfonzo saya hanya banyak berkata-kata dalam hati je... tak terluah...," tulisnya.
Perkongsian terbabit kini mendapat tanda suka lebih 3,000 pengikut. Rata-rata yang memberikan komen melahirkan perasaan simpati terhadap Andre Mikhail dan kagum dengan kekuatan serta ketabahan Amyza melalui ujian terbesar dalam hidupnya ini.
"Ya ALLAH.. aku doakan kau dan anak kau terus kuat!! Syafakallah Andre.. @amyzaaznankaaia."
"Kau memang kuat, Ten @amyzaaznankaaia. Semoga kau terus kuat dan semoga anakmu sembuh seperti dulu, seperti mana Allah sembuhkan aku. Love u."
Turut berbuat demikian ialah pelakon Didie Alias yang sememangnya rapat dengan Amyza. Beliau menitipkan doa semoga Andre Mikhail kembali sembuh.
"Ya ALLAH anak,.. semoga Andre kuat ye sayang mummy," tulisnya.
Terdahulu, Andre Mikhail dimasukkan ke hospital pada awal Februari lalu dan pada awalnya hanya disangka mengalami kekejangan otot.

Bagaimanapun, pada pertengahan Februari, doktor mengesahkan Andre Mikhail menghidap kanser paru-paru tahap tiga. Amyza, menerusi hantaran di media sosialnya, memohon agar Andre Mikhail diberikan kesihatan yang baik.
Pada masa sama, beliau memaklumkan air daripada paru-paru anaknya sudah memasuki jantung, manakala paru-paru sebelah kanan juga sudah tidak lagi berfungsi.
Pun demikian, Andre Mikhail anak yang kuat, kata Amyza, dan sangat tenang ketika ditolak ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk prosedur. Menurut Amyza lagi, anaknya itu seorang yang aktif bersukan.
Namun, suatu hari beliau mengadu sakit bahu dan hanya mendapatkan rawatan di klinik serta mengambil ubat tahan sakit dan menjalani pemeriksaan lain, tetapi keputusannya baik.
Simptom ini lama-kelamaan berterusan apabila Andre Mikhail mengalami demam, batuk berpanjangan, dan sesak nafas ketika berjalan.
Andre Mikhail turut mengalami kesukaran untuk tidur dalam keadaan baring kerana setiap kali berbuat demikian, akan diserang sesak nafas yang menyesakkan dada.
Ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan) yang dilakukan akhirnya mengesahkan terdapat ketumbuhan dalam paru-parunya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang