'Saya teringin nak lalui kehidupan macam ibu normal lain...' - Elyana masih teruskan rawatan kemoterapi

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI dan pelakon, Elyana, mengakui dirinya masih berdepan cabaran kesihatan meskipun sudah disahkan bebas kanser tiga tahun lalu.

Menurut pemilik nama penuh Erneelya Elyana Emrizal itu, kesan daripada rawatan kemoterapi yang dijalaninya selama bertahun-tahun masih meninggalkan kesan pada tubuh hingga kini, terutama dari segi tenaga dan sistem saraf.

"Kesihatan saya, kadang-kadang saya okay, ada masa tidak. Macam orang lain juga, kadang demam, kadang perlu rehat. Tapi kesan daripada rawatan kemo dulu masih ada sebab banyak saraf dah rosak.

"Proses untuk pulih sepenuhnya ambil masa panjang,” katanya ketika ditemui di kempen Nivea Moments of CARE di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Elyana mengakui lebih memilih tawaran dengan kesesuaian tahap kesihatannya kini.
Elyana mengakui lebih memilih tawaran dengan kesesuaian tahap kesihatannya kini.

Pelantun Kalis Rindu itu menjelaskan, biarpun pernah berhenti seketika daripada rawatan selepas disahkan bebas kanser, dia kini kembali menjalani sesi kemoterapi bagi memastikan penyakit itu tidak berulang.

"Tiga tahun lepas saya bebas kanser, doktor nasihatkan teruskan rawatan jangka panjang, tapi waktu itu saya minta rehat dulu.

"Saya dah lama sangat jalani kemo, jadi saya nak beri masa untuk menikmati hidup tanpa rawatan. Gambar saya tanpa rambut itu yang saya kongsikan sebelum ini adalah ketika saya menjalani sesi kemo sembilan bulan lepas. 

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini saya berhenti seketika dan akan sambung semula tidak lama lagi,” katanya yang tetap kelihatan positif dan ceria.

Elyana mengakui mengimpikan untuk kembali menjalani rutin normal sebagai ibu.
Elyana mengakui mengimpikan untuk kembali menjalani rutin normal sebagai ibu.

Berkongsi tentang kehidupannya sebagai seorang ibu, Elyana mengakui dia teringin menikmati kehidupan seperti ibu-ibu lain menghantar dan menjemput anak dari sekolah serta menyertai aktiviti mereka.

“Sejujurnya, saya sekarang tak selincah dulu. Kawan-kawan anak boleh aktif hantar dan jemput anak, sertai aktiviti sekolah, tapi saya agak terhad di situ.

"Saya teringin nak lalui kehidupan macam ibu normal lain juga. Insya-ALLAH bila badan dah pulih sepenuhnya, saya nak buat semua tu. Itu doa dan impian saya,” ujarnya.

Elyana yang mempunyai dua anak perempuan berusia 14 dan enam tahun berkata, kedua-dua anaknya sudah terbiasa dengan keadaan kesihatannya sejak kecil.

“Sejak baby lagi mereka dah tengok saya sakit. Anak sulung saya belum pun setahun waktu saya disahkan menghidap kanser. Jadi mereka memang faham keadaan ini.

"Tapi kelebihannya, mereka jadi matang dari usia sebenar dan faham situasi yang dilalui pesakit kanser,” katanya.

Penyanyi yang terkenal sejak zaman remaja ini memilih untuk tidak terlalu mendedahkan keadaan kesihatannya kini.
Penyanyi yang terkenal sejak zaman remaja ini memilih untuk tidak terlalu mendedahkan keadaan kesihatannya kini.

Ditanya keadaan kesihatannya kini, Elyana memilih berhati-hati dalam berkongsi hal peribadi dan mengakui dahulu dia terlalu jujur hingga tanpa sedar “jujur itu memakan diri”.

"Dulu saya terlalu banyak berkongsi sebab nak luahkan rasa. Tapi sekarang saya lebih memilih untuk diam dan tenang. Kalau sakit, saya ke hospital. Kalau sihat, saya keluar berjalan. Sekarang biarlah yang tahu, tahu,” katanya ringkas.

Dalam masa sama, penyanyi berusia 37 tahun itu menasihati pesakit kanser lain agar tidak terlalu bergantung pada orang sekeliling, sebaliknya membina kekuatan sendiri.

"Jangan terlalu harapkan sesiapa. Suami, ibu bapa atau kawan, semua ada kehidupan masing-masing.

"Sakit macam mana pun, cuba buat sendiri. Dari situ kita akan rasa bangga sebab mampu berdikari,” ujarnya.

Elyana menutup bicara dengan pesanan penuh semangat buat semua pesakit kanser untuk terus kuat melawan penyakit, tanpa mengorbankan keyakinan diri.

“Kanser memang menakutkan, tapi kalau kita fikir benda senang, hidup pun jadi senang. Fake it until you make it. Walaupun susah, buat macam senang sampai ia betul-betul jadi senang.

"Senyum selalu, jangan putus asa. Teruskan jadi cantik walaupun sakit, sebab cantik boleh naikkan semangat kita,” katanya penuh makna.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang