'Sekali dengar terus pikat hati.' Gandingan Siti Nurhaliza & bakat muda kembalikan irama zapin menerusi lagu Raya Nak Ke Mana

SIAPA yang tidak mengenali Datuk Sri Siti Nurhaliza, penyanyi kesayangan ramai yang suaranya sentiasa menjadi peneman dalam setiap musim perayaan?
Tahun ini, peminat setia beliau pastinya teruja dengan kemunculan single raya terbaharu berjudul Raya Nak Ke Mana?, yang sekali lagi membuktikan bahawa aura dan pesona Siti Nurhaliza dalam dunia muzik tidak pernah pudar.

Single istimewa ini merupakan hasil ciptaan dua beradik, Aisha Retno dan RADi, dengan lirik digarap oleh Aisha Retno serta Amylea Azizan.
Berentak zapin yang rancak dan ceria, lagu ini bukan sahaja mengembalikan nostalgia lagu-lagu raya klasik yang pernah didendangkan oleh Siti, malah mendapat daripada generasi muda yang berbakat besar.
Sementara itu, artis pertama naungan SN Legacy, Ummi Umairah, 14, juga tidak ketinggalan merancakkan suasana sambutan lebaran menerusi single Tak Balik Raya.
"Ini single raya pertama yang direkod di bawah SN Legacy. Saya terharu apabila single ini dapat sokongan positif. Jujurnya, saya tidak menunggu lama untuk bersetuju merakamkan lagu.
"Ketika dengar lagu ini, Mak Iti (Siti Nurhaliza) juga mendengar. Muzik dan emosi lagu ini sesuai dengan usia remaja seperti saya. Lagu ini mudah melekat dalam ingatan dan sejak saya mengeluarkan `teaser' atau petikan awal, saya terima komen positif," katanya.

Dia yang pernah meraih gelaran juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat, akui terharu atas sokongan diberikan sebagai artis baharu dalam industri muzik.
Karya sentuhan anak muda
Menurut Siti, lagu raya sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya, dan beliau berasa bertuah dapat menyanyikan sebuah karya sentuhan segar anak muda.

"Lagu raya cukup sinonim dalam kerjaya saya dan tahun ini saya berasa bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar.
"Sekali dengar, lagu ini terus memikat hati saya. Irama tradisional memang dekat di jiwa, dan saya berharap lagu ini diterima baik oleh semua," ujarnya penuh harapan.
Kolaborasi bersama Aisha Retno dan RADi juga membuktikan bahawa anak muda masa kini memiliki kreativiti dan keunikan tersendiri dalam penghasilan lagu-lagu perayaan. Raya Nak Ke Mana? adalah bukti bagaimana generasi baharu mampu menyuntik nafas segar dalam lagu raya yang tetap berpegang pada elemen tradisional.

Lagu ini telah dilancarkan secara rasmi pada 12 Mac lalu di semua platform digital, manakala video muziknya turut menemui peminat di saluran YouTube rasmi Siti Nurhaliza pada hari yang sama.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk merasakan kemeriahan Aidilfitri dengan alunan zapin moden yang pasti menggamit memori indah bersama keluarga dan sahabat handai.

Selamat Hari Raya, dan... Raya Nak Ke Mana?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang