‘Selagi belum bersedia’ – Ika Nabella pertahan tindakan bawa anak lelaki masuk tandas wanita raih pelbagai reaksi
SOAL keselamatan anak bukan perkara kecil. Bagi pelakon Ika Nabella, biarlah orang berkata apa sekalipun, dia tetap berpegang pada pendiriannya untuk membawa anak lelakinya masuk ke tandas wanita jika berada di tempat awam.
Menurut Ika, 35, selagi dirinya belum yakin anaknya benar-benar bersedia menggunakan tandas lelaki sendiri, dia tidak akan membiarkan anaknya masuk sendirian. Katanya, keselamatan anak lebih utama daripada pandangan orang.
“Cakaplah apa pun, tetapi anak saya akan tetap ikut saya ke tandas wanita selagi saya belum rasa dia bersedia untuk masuk tandas lelaki sendiri. Keselamatan dia tidak boleh dirunding.
"Kalau perkara itu buatkan sesiapa rasa tidak selesa, itu bukan masalah saya,” katanya menerusi perkongsian di Threads miliknya.
Hantaran tersebut dibuat selepas seorang individu menyuarakan pandangan bahawa ibu tidak wajar membawa anak lelaki berusia sekitar 7 hingga 9 tahun ke tandas wanita.
Namun, kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai. Ada yang bersetuju dengan tindakan Ika, tidak kurang juga yang berpendapat sebaliknya.

Ada netizen yang berkongsi pengalaman membawa anak sepupu masuk ke tandas lelaki walaupun masih kecil kerana bimbang keselamatan.
Ada juga yang menegaskan isu keselamatan tidak boleh dibuat main terutama dengan kes pedofil yang semakin merisaukan, namun dalam masa sama ibu bapa perlu belajar melepaskan anak secara berperingkat.
Seorang pengguna pula menceritakan pengalaman membiarkan anak lelakinya yang berusia enam tahun masuk tandas lelaki sendirian, tetapi dengan berjela pesanan dan hati yang penuh risau menunggu di luar.
Pun begitu, ada juga yang menyuarakan rasa tidak selesa kerana pernah berdepan dengan kanak-kanak lelaki mengintai bawah pintu tandas, walaupun niatnya mungkin sekadar bermain.
Perbincangan tentang isu ini jelas membuktikan setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam melindungi anak mereka. Bagi Ika, soal keselamatan tetap nombor satu – biarpun pandangan itu mungkin tidak disenangi segelintir pihak.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

