Selepas tiga tahun hidup solo, Siti Saleha kini bergelar isteri Joshua Fitton. 'Kami 'satu kepala', saling memahami’
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/thumbs/900x900/3008493.jpg)
NAMPAKNYA minggu ini ramai selebriti yang naik pelamin. Terbaharu pelakon popular, Siti Saleha, 35, sah bergelar isteri dengan sekali lafaz oleh pereka fesyen, Joshua Fitton, 38.
Majlis pernikahan itu dikatakan berlangsung secara tertutup di sebuah resort mewah di Janda Baik, Bentong, Pahang, jam 9 pagi tadi.
Majlis akad nikah Siti Saleha dan Joshua disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Baharum Abdul Rahman.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008491.jpg)
Menerusi majlis ringkas itu, pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran, dibalas tujuh hantaran oleh pengantin perempuan. Bagaimanapun, mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan.
Menerusi laporan Berita Harian Online, aktres cantik manis itu mengakui tiada detik lebih bermakna buat dirinya selain bergelar isteri kepada insan dicintai.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008530.jpg)
"Alhamdulillah, majlis akad nikah pagi ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala-galanya.
"Selepas lebih tiga tahun hidup bersendirian, akhirnya saya menemui pasangan serasi. Hanya tiga bulan bertunang, saya kini kembali menggalas tanggungjawab sebagai isteri.
"Saya dan Joshua memiliki banyak persamaan, apatah lagi, kami berdarah kacukan Melayu-Inggeris. Jadi, kami 'satu kepala' dan saling memahami.
"Semoga perkahwinan kedua ini diberkati ALLAHdan kekal hingga penghujung usia," katanya lagi.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008528.jpg)
Majlis akad nikah yang bertemakan rona putih itu hanya dihadiri 40 tetamu dalam kalangan ahli keluarga dan kenalan rapat. Selepas itu, pasangan tersebut diraikan dalam majlis resepsi sebelah pihak perempuan di lokasi sama, jam 12 tengah hari ini.
Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan berlangsung secara besar-besaran, minggu hadapan di kampung halaman Joshua di Melaka dengan memilih tema majlis perkahwinan Jawa.
Terdahulu, bintang drama 7 Hari Mencintaiku itu secara terbuka memperkenalkan Joshua sebagai kekasihnya kepada khalayak pada 2022.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/15/3008529.jpg)
Siti Saleha kemudiannya berkongsi berita gembira apabila bergelar tunang Joshua pada November tahun lalu.
Sekadar info, pemenang trofi Bintang Asia Terbaik - Malaysia, Anugerah Drama Antarabangsa Seoul di Seoul, Korea Selatan, tahun lalu pernah mendirikan rumah tangga dengan pegawai kerajaan, Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, namun berpisah pada 2022.
Sumber: Berita Harian Online
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang