Skoliosis, kehamilan & rezeki Proton X50 – Keymi Hot FM kongsi cabaran & rezeki berganda

No Image Caption
A
A
A

PERJALANAN hidup seseorang seringkali penuh dengan persimpangan. Ada yang jatuh lalu bangkit, ada yang diuji dengan kelemahan namun menemui kekuatan di celah-celah rapuh.

Begitu jugalah dengan kisah seorang wanita muda bernama Nurul Kamilia Afiqah Mohd Kamaruzaman atau lebih mesra disapa Keymi, yang hari ini menjadi antara suara segar di gelombang Hot FM.

Kisahnya bermula di Molek FM, stesen radio pantai timur yang menjadi rumah pertamanya sebagai penyampai. Dia bukan sahaja terpilih, tetapi muncul sebagai pemenang pertandingan Cek Mek Molek. Dari situ, rezekinya terus bertambah.

Tidak sampai setahun, pintu lebih besar terbuka apabila tawaran ke Hot FM datang, mengendalikan segmen FYP@Hot.

Namun di sebalik langkah meyakinkan itu, hadir cabaran yang tidak semua mata nampak. Dialek Terengganu yang sebati sejak kecil menjadi satu ujian.

“Mula-mula siaran tu memang agak sukar kerana saya sudah biasa bercakap dialek negeri. Sampai Hot FM pun saya sebut ‘Hok FM’.

“Cuma bagi saya, kesilapan tu yang menjadikan pengalaman lebih manis. Kalau tak pernah silap, kosonglah cerita hidup kita,” katanya sambil tertawa.

Malah, apa yang lebih menguatkan langkahnya adalah penerimaan pendengar.

Artikel Berkaitan:

Walaupun berdepan dengan masalah kesihatan, Keymi tidak menjadikan ia sebagai penghalang.
Walaupun berdepan dengan masalah kesihatan, Keymi tidak menjadikan ia sebagai penghalang.

Wanita berusia 27 tahun itu mengakui, dia suka apabila ada suara di luar sana yang mendengar, menegur malah memberi cadangan. Bagi dirinya, setiap teguran bukan kelemahan tetapi ruang untuk memperbaiki diri.

“Saya gembira bila ada yang mesej kata suka suara saya. Ada juga yang tegur tentang sebutan atau gaya bercakap. 

“Semua itu dianggap sebagai cermin untuk saya. Dari situ saya belajar, menjadi lebih baik untuk siaran berikutnya. Kalau tiada yang menegur, maksudnya tiada yang mendengar suara saya.

“Sebelum ini, saya fikir penyampai radio hanya perlu bercakap, orang dengar dan kemudian dengar lagu. Tetapi saya silap, sebab apa yang kita sampaikan masih boleh memberi kesan kepada orang.

“Saya pula sebenarnya lagi suka kalau pendengar kenal diri ini daripada radio dan bukan media sosial. Rasa lebih dekat kerana mereka kenal menerusi suara saya,” katanya dengan senyum yang sarat keikhlasan.

Rezeki

Namun, perjalanan hidupnya tidak hanya berputar pada mikrofon dan gelombang radio. Di sebalik senyum ceria, anak jati Kemaman, Terengganu itu menyimpan kisah peribadi yang tidak semua orang tahu.

Sejak beberapa tahun lalu, dia berdepan dengan masalah tulang belakang yang sekali-sekala membataskan geraknya. Ada hari yang tubuh terasa lemah, ada ketika dia terpaksa menahan sakit tanpa sesiapa menyedari.

Bagaimanapun, ujian itu tidak pernah mematahkan semangat. Malah, ia menjadikan dirinya lebih menghargai peluang yang ada.

“Saya memang lasak sejak kecil dan selalu sertai kelas seni mempertahankan diri. Mungkin daripada situ ada kecederaan tanpa disedari.

“Bila kerap sangat sakit belakang dan suatu hari badan rasa lembik seperti sotong. Bila buat pemeriksaan lanjut, rupanya saya ada masalah skoliosis dan bentuk tulang belakang sudah seperti huruf S.

“Sebelum ini saya ada buat fisioterapi, tetapi sejak mengandung saya terpaksa hentikan seketika. Memang agak mencabar bila mengandung dan ada masalah skoliosis,” cerita Keymi lagi.

Suami menjadi antara penyokong penting dalam karier dan kehidupannya.
Suami menjadi antara penyokong penting dalam karier dan kehidupannya.

Mudah mesra dan tertawa, bicara kami melewati rezeki demi rezeki yang dikecapi sejak akhir-akhir ini termasuk hadiah berupa kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dimenangi di Anugerah Melodi Terhangat.

Cerita Keymi, dia langsung tidak menjangka akan membawa pulang kenderaan itu, meskipun pernah terfikir untuk membeli kereta yang lebih besar, lantaran bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

“Bila dapat tahu saya hamil, memang ada perancangan untuk tukar kereta lebih besar kerana saya juga menetap bersama ibu dan adik-beradik.

“Cuma kekangan kewangan menjadi penghalang dan kami letak ke tepi dahulu angan-angan itu, tetapi tidak sangka ia menjadi kenyataan. Betullah orang kata, anak itu pembawa rezeki,” cerita Keymi.

Malah, perniagaan lasagna yang dibuat bersama suami kini semakin mendapat sambutan hangat.

Pada asalnya, dia dan suami yang gemar memasak hanya membuat jualan kecil-kecilan dalam kalangan jiran tetangga.

“Awalnya berpunca daripada mengidam dan sebab ada lebih dengan bekas cantik, kami saja jual pada jiran. 

“Siapa sangka daripada main-main, kini dapat sambutan hangat sehingga ada personal shopper bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang