'Suami tempat berpaut, anak-anak nyawa perjuangan' – Ifa Raziah buktikan usia 50 bukan halangan, raih Ijazah Keusahawanan TVET

No Image Caption
A
A
A

TIADA yang mustahil, selagi berani bermula. Pada saat ramai memilih untuk memperlahankan langkah, penyanyi dan pengacara terkenal Ifa Raziah membuktikan bahawa usia bukan noktah kepada impian.

Menginjak ke usia 50 tahun, figura versatil ini mencipta detik peribadi yang cukup bermakna apabila berjaya menggenggam segulung ijazah, satu pencapaian yang lahir daripada perjalanan panjang penuh jatuh bangun, air mata dan doa.

Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha menerima Ijazah Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Detik bersejarah itu disambut dengan rasa syukur mendalam, bukan sekadar atas kejayaan akademik, tetapi kemenangan terhadap diri sendiri.

“Syukur alhamdulillah. Hari ini bukan sekadar sebuah hari, ia adalah titik kemenangan selepas 50 tahun perjalanan hidup yang penuh jatuh bangun, air mata dan doa.

"Dengan izin ALLAH SWT, saya menggenggam segulung ijazah Keusahawanan dan Kemahiran daripada TVET TEC Malaysia bertempat di USIM,” katanya penuh emosi.

Menurut Ifa, pencapaian tersebut bukan miliknya seorang. Ia berdiri atas nama jenama yang dibina daripada keberanian, dibesarkan dengan keringat dan dipertahankan dengan keteguhan jiwa.

“Kemenangan ini bukan milik saya seorang. Ia berdiri atas nama STARVENDORS jenama yang lahir dari keberanian, dibesarkan dengan keringat dan dipertahankan dengan keteguhan jiwa.

"Ijazah ini bukan tentang gelaran, tetapi tentang perjalanan yang tidak pernah menyerah,” jelasnya.

Lebih menyentuh hati, Ifa turut menzahirkan penghargaan kepada insan-insan terdekat yang menjadi nadi kekuatannya sepanjang perjalanan menuntut ilmu, terutama suami dan anak-anak.

No Image Caption

“Untuk suami tercinta, terima kasih kerana menjadi tempat saya berpaut ketika dunia terasa terlalu berat. Kepercayaanmu adalah kekuatan terbesar saya. Untuk anak-anak Mama, kamu adalah nyawa perjuangan ini.

"Ijazah ini bukti bahawa ilmu tidak pernah mengenal usia, dan impian tidak pernah mengenal penamat," ungkapnya lagi.

Pembakar semangat

Dalam masa sama, Ifa tidak melupakan jasa dan doa kedua-dua ibu bapanya yang telah pergi, namun sentiasa hidup dalam setiap langkah perjuangannya.

“Untuk arwah abah dan mak, walaupun jasad tiada di sisi, doa kalian sentiasa hidup dalam setiap langkah saya.

"Hari ini, saya tahu abah dan mak pasti bangga melihat anakmu berdiri teguh,” katanya sebak.

Mengimbas kembali perjalanan pengajiannya, Ifa mengakui tempoh tersebut mengambil masa yang panjang kerana perlu diseimbangkan antara pelajaran dan kerjaya.

Namun, segala kritikan yang diterima dijadikan pembakar semangat untuk terus melangkah.

“Kritikan itulah yang membuatkan saya ingin membuktikan kepada diri sendiri bahawa usia, status atau populariti bukan penghalang untuk terus berkembang dan memperbaiki diri.

"Bidang keusahawanan ini sangat dekat dengan diri saya dan selari dengan perjalanan hidup yang telah lama saya lalui,” katanya.

Ifa turut menitipkan nasihat kepada golongan selebriti dan masyarakat agar tidak terlalu bergantung kepada populariti semata-mata, sebaliknya menjadikan ilmu sebagai bekalan jangka panjang.

“Populariti itu sementara dan akan hilang bersama waktu. Tetapi ilmu akan kekal dan membimbing kita selamanya.

"Pelajaran bukan untuk menunjuk, tetapi untuk membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak dalam hidup dan kerjaya,” katanya.

No Image Caption

Menutup bicara, Ifa menegaskan bahawa tiada istilah terlalu lambat untuk belajar, selagi seseorang itu masih berani bermula.

“Umur hanyalah angka. Semakin banyak angka itu, semakin bernilai kerana semakin banyak pengalaman.

"Dengan ilmu sebagai asas, iman sebagai pegangan dan keberanian sebagai nadi, saya percaya masa depan itu boleh dibina,” ujarnya.

Tahniah SinarPlus ucapkan buat Ifa Raziah. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi bahawa ilmu tidak pernah mengenal usia dan impian sentiasa menunggu mereka yang tidak pernah menyerah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang