Sweet Qismina & Adam Lee dedah kunci rumah tangga harmoni, doakan Fattah-Amira kekal bahagia- 'Sebelum kahwin jangan sembunyi apa-apa...'

No Image Caption
A
A
A

CINTA, kahwin muda dan bahagia. Tiga perkara yang sering jadi bualan apabila melihat pasangan selebriti Sweet Qismina dan Adam Lee.

Walaupun usia mereka masih di awal dua puluhan ketika memilih untuk melayari bahtera perkahwinan, pasangan itu membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mengecap bahagia.

Ditemui SinarPlus ketika majlis pelancaran deodoran NIVEA Derma Control baru-baru ini, Sweet dan Adam tampil berkongsi tip ikhlas tentang bagaimana mereka menjaga rumah tangga sejak hari pertama bergelar suami isteri.

Bagi mereka, perkahwinan tidak boleh dibina atas ilusi indah semata-mata, sebaliknya bermula dengan kejujuran. Adam secara berseloroh menyebut bahawa sebelum kahwin janganlah berpura-pura segalanya wangi dan sempurna.

No Image Caption

“Sebelum kahwin, mestilah jujur. Jangan nak kata, contoh ibaratkan kalau sebelum kahwin itu kentut bau wangi. Tidak.

"Jujur dengan pasangan dan insya-ALLAH yang penting nawaitu kena betul hala tujunya. 

"Minta kepada YANG MAHA KUASA sehingga kekal hingga ke Jannah,” katanya penuh makna.

 

Sweet pula menambah, niat yang betul adalah kunci utama agar hubungan itu kekal hingga ke akhir hayat.

Menurutnya, nawaitu kena jelas, hala tuju hidup kena benar, dan selebihnya serahkan kepada ALLAH untuk mengatur perjalanan rumah tangga.

Bagi Sweet pula, fokus utama selepas berkahwin adalah menjaga keluarga dan tidak sibuk membandingkan diri dengan orang lain.

“Yang penting jangan jaga tepi kain orang. Just focus on your family, insya-ALLAH, hidup kita akan lebih tenang.

"Bila kita fokus pada diri kita keluarga, takkan ada benda negatif. Pada masa sama, tak ada masa nak kacau rumah tangga orang lain,” ujarnya.

Pasangan ini percaya bahawa jodoh adalah takdir yang telah ditentukan. Kalau Allah kata itu bukan jodoh kita, jangan risau.

"Memang tidak mudah untuk kahwin muda, namun jika hati sudah bersedia, buatlah yang terbaik. 

"Kalau memang DIA sudah susun itu rezeki kita, walaupun jodoh pada usia muda, itulah yang terbaik. Sepertimana jodoh kami yang datang pada usia muda. Sentiasa jaga semoga berkekalan hingga ke syurga," ungkap Sweet lagi. 

No Image Caption

Bagi mereka, pengalaman berkahwin muda menjadikan mereka lebih matang dan memberi peluang untuk membesar bersama-sama. Walaupun ada cabaran, semuanya mampu dihadapi dengan doa, sokongan dan keikhlasan hati.

Menariknya, dalam perbualan santai itu, Sweet dan Adam turut menitipkan ucapan tahniah buat pasangan sensasi, Fattah Amin dan Amira Othman yang bakal melangsungkan pernikahan pada 14 September ini.

“Tahniah Fattah dan Amira! Semoga berbahagia dan taniah untuk hari bahagia pada 14 September nanti.

"Kami doakan kamu berdua berkekalan hingga akhir hayat, insya-ALLAH. Amin,” kata mereka penuh mesra.

No Image Caption

Bagi Sweet dan Adam, melihat pasangan artis lain bersatu di bawah ikatan halal adalah sesuatu yang wajar diraikan.

Perkahwinan bagi mereka bukan sekadar majlis besar atau trending di media sosial, sebaliknya perjalanan hidup panjang yang menuntut kesabaran, saling melengkapi dan reda ALLAH.

Kata Sweet lagi, kalau hati sudah bersedia, jangan takut untuk membuat keputusan besar.

“Kalau itu rezeki dan jodoh yang ALLAH sudah bagi, jangan tolak.

 

“Kalau itu rezeki dan jodoh yang ALLAH sudah bagi, jangan tolak.

"Yang penting kena pandai jaga, barulah rumah tangga boleh kekal lama," ungkapnya lagi.

Daripada perkongsian ikhlas pasangan ini, jelaslah bahawa perkahwinan bukan sekadar tentang cinta manis dua jiwa, tetapi perjalanan penuh kejujuran, doa dan tawakal.

Semoga nasihat mereka ini bukan sahaja menjadi inspirasi buat pasangan muda di luar sana, tetapi juga buat Fattah dan Amira yang bakal melangkah ke alam rumah tangga tidak lama lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang