Syah Inteam hampir pengsan selepas persembahan di Algeria, peminat risau dan doakan kesembuhan

No Image Caption
A
A
A

 

PERKONGSIAN Syah Inteam di akaun Instagram miliknya semalam mengundang kerisauan peminatnya.

Video pendek itu memaparkan penyanyi jemputan kumpulan ini, Ustaz Husaini Mahmur sedang memicit belakang badan Syah yang kelihatan kurang bermaya.

“ALLAH uji hampir pengsan selepas persembahan di Algeria semalam. Alhamdulillah syukur selamat pulang ke Malaysia hari ini,” kata Syah secara ringkas.

Ruangan komen dibanjiri dengan doa kesembuhan buatnya. Ada juga yang mengatakan mungkin beliau banyak sangat kerja dan tidak cukup rehat.

Pada 29 Jun lalu, Inteam diberi penghormatan untuk menyertai Mahrajan Al-Insyad Al-Duwali, sebuah festival nasyid bertaraf antarabangsa yang berlangsung di Constantine, Algeria.

Festival ini bukan calang-calang. Ia menghimpunkan kumpulan dan artis nasyid dari seluruh dunia termasuk negara-negara Arab, Afrika Utara dan Eropah.

Malaysia sungguh bertuah kerana mendapat jemputan rasmi daripada Kementerian Kebudayaan dan Ketua Pemerintah Wilayah Constantine.

Inteam menjadi wakil yang membawa nama negara ke pentas besar ini. Setiap ahli kumpulan ini bersyukur kerana dapat membuat penampilan sulung di negara itu sekali gus melakar sejarah baru dalam karier seni dakwah mereka.

Melalui ucapan di akaun rasmi Facebook Inteam, laungan ‘Ya Hanana’ ahli kumpulan ini disambut penuh semangat oleh ribuan penonton yang bukan sahaja terpukau malah bangkit meminta agar mereka mengulanginya sekali lagi!

Lebih mengujakan apabila suasana dewan bergema dengan selawat dan qasidah, mencipta getaran rohani yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Dalam persembahan tersebut, Inteam membawa lagu-lagu popular seperti Dia Muhammad, Taybah, Setanggi Syurga, Solatullah, Ya Hanana dan Qamarun, yang mengangkat mesej cinta dan ketuhanan.

Apa yang paling penting, kejayaan ini mampu menjadi inspirasi kepada artis-artis nasyid baru. Ia membuktikan bahawa nasyid bukan lagi genre lama atau ‘old school’ sebaliknya ia boleh menjadi medium dakwah global yang menyentuh hati semua tanpa mengira bangsa.

Semoga nasyid terus menyatukan hati umat, merentasi sempadan bahasa dan budaya.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang