Syarikat hijab Fazura berhutang RM4.65 juta? Kilang tudung dakwa terima cek tendang, sukar kutip bayaran sejak Disember 2023

No Image Caption
A
A
A

TULAR di laman sosial dakwaan syarikat pengilang tudung, Feline Malaysia mendakwa syarikat milik pelakon dan usahawan wanita popular, Nur Fazura Sharifuddin berhutang mencecah jutaan ringgit!

Memetik The Rakyat Post, jumlah tuntutan mencecah RM4.65 juta. Menurutnya, menerusi dokumen tuntutan yang difailkan oleh Obor Holding Sdn Bhd (pemilik Feline Malaysia), mereka mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd milik Fazura hanya membayar RM2.68 juta daripada jumlah keseluruhan RM7.33 juta.

Manakala menurut BuzzKini, Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik kilang Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd yang diketahui umum sinonim dengan Fazura selaku pengasas bersama (co-founder) telah dibekalkan tudung dengan nilai RM7,330,197.04 sejak Jun 2022.

Namun Pink Fate hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah tersebut sekali gus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.

Obor Holding turut mendakwa pihaknya mula berdepan kesukaran untuk mengutip bayaran sejak Disember 2023.

Selain Pink Fate sebagai defendan pertama, dakwanya dokumen berkenaan turut menamakan syarikat Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua; abang Fazura, Ahmad Faiz Sharifuddin (defendan ketiga); dan Nur Fazura sebagai defendan keempat.

Difahamkan, menerusi dokumen yang sama, Obor Holding turut mendakwa hutang sebanyak RM4.65 juta tersebut adalah termasuk lima pesanan tambahan yang dilakukan pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta meskipun ‘Tudung Fazura’ belum menjelaskan tunggakan sedia ada pada waktu itu.

Tambah dokumen itu lagi, Faiz turut memberi keyakinan kepada Feline bahawa pesanan tambahan tersebut ditempah oleh Kementerian Pendidikan untuk inisiatif Koleksi Merdeka.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Dakwa kenyataan itu lagi, bagi meyakinkan status keupayaan kewangan syarikat, Faiz bersama Fazura turut menjelaskan bahawa mereka sedang menerima bayaran daripada kerajaan bagi projek-projek terdahulu selain kerjasama yang kukuh dengan rakan kongsi yang bereputasi tinggi antaranya Boh Plantations Sdn Bhd (BOH), Hotel Movenpick dan Institut Kanser Negara (IKN).

Menurut portal berkenaan, Obor Holding mendakwa ketika tambahan pesanan itu dibuat, pelakon itu bersama abangnya itu jelas mengetahui atau sepatutnya tahu yang pihaknya bergantung pada representasi selain terdorong untuk meneruskan pengeluaran pesanan tersebut, dengan jangkaan yang sah bahawa bayaran akan diterima bagi jumlah pesanan yang dibuat oleh pihak tudung Fazura.

Dakwanya lagi, kerana yakin dengan jaminan yang diberikan, pihak pengilang kemudiannya menyiapkan pesanan tambahan berkenaan dan kali ini ia diserahkan kepada syarikat Fazfit Sdn Bhd, yang dikenali umum sebagai pengeluar barangan penjagaan diri, Fazura Skincare.

Bagaimanapun, usaha mereka seolah sia-sia apabila tiada sebarang pembayaran yang diterima dari mana-mana pihak.

No Image Caption

Difahamkan, jumlah yang tertunggak telah disatukan dengan baki tertunggak sedia ada menjadikan jumlah tunggakan keseluruhan sebanyak RM4,650,029.14.

Tambah pernyataan itu lagi, meskipun Faiz ada menyerahkan cek yang ditandatanganinya bersama Fazura berjumlah RM1 juta pada 3 September 2024 selepas itu, namun pihak Obor Holding gagal “mencairkannya” di bank (cek tendang) sebaliknya menerima notis Return Cheque Advice.

Jelas Obor Holding lagi, semua transaksi ini dilakukan ketika Fazura masih lagi bergelar pengarah sebelum selebriti terkenal itu melepaskan jawatan sebagai pengarah Pink Fate pada Januari 2025. Pun begitu, Faiz masih lagi kekal sebagai pengarah syarikat itu.

Obor Holding ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang dalam proses memfailkan Penghakiman Ingkar (Judgement In Default) kepada Pink Fate memandangkan tempoh memberikan maklum balas yang diberikan sudah tamat.

Difahamkan, Fazura telah dihubungi menerusi pengurusnya berhubung pernyataan tuntutan ini namun belum menerima apa-apa maklum balas.

Sumber: Buzzkini

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang