'Tak kejar mewah, takut hidup berhutang.' Pengalaman makan kena catu, Fasha Sandha pilih hidup sederhana, tak suka show off

No Image Caption
A
A
A

DI mata ramai, hidup selebriti sering dilihat penuh kemewahan dan sorotan glamor.

Namun bagi Fasha Sandha, realitinya jauh lebih sederhana, penat bekerja, masa bersama keluarga yang terhad, dan usaha tanpa henti selagi kepercayaan masih diberi.

Pelakon dan usahawan itu mengakui fasa hidupnya kini menuntut komitmen sepenuhnya terhadap kerjaya.

Bukan kerana mengejar populariti, sebaliknya menghargai setiap peluang yang datang sebagai amanah.

“Sekarang memang fasa kerja all out. Selagi orang masih percaya, kita ambil kepercayaan itu. Kadang-kadang tidur pun tak cukup,” katanya ketika ditemui SinarPlus.

No Image Caption

Pun demikian, dia mendedahkan semuanya memerlukan pengorbanan termasuklah masa dengan kelaurga.

"Ada masanya, saya keluar rumah awal padi dan hanya pulang hampir tengah malam. Anak-anak pula sudah lena.

"Situasi itu bukan sesuatu yang asing, namun tetap memberi kesan buat diri saya sebagai seorang ibu.

"Rezeki mungkin cukup, tapi masa memang tak cukup,” luahnya jujur.

Faham dan saling menyokong

Bagi Fasha, komunikasi dengan keluarga adalah kunci. Dia dan suami, Aidil, saling memahami kesibukan masing-masing demi masa depan bersama.

“Ada masa Aidil datang ke lokasi penggambaran untuk jumpa saya. Saya pula pergi ke lokasi dia.

"Alhamdulillah, saya percaya konsep bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian,” katanya.

Walaupun sibuk, Fasha memilih untuk tidak hanyut dengan gaya hidup mewah.

Prinsip hidup sederhana yang dibentuk sejak kecil kekal menjadi pegangan hingga hari ini.

No Image Caption

“Saya tak percaya hidup berhutang semata-mata nak nampak senang. Saya lebih selesa kawal kewangan dan kumpul aset.

"Saya juga boleh berdikari, pergi pasar seorang diri, berjalan seorang diri,” ujarnya.

Bagi Fasha, menjadi artis hanyalah satu kerjaya, bukan identiti mutlak.

“Saya sentiasa anggap diri saya orang biasa. Populariti itu datang bersama kerjaya, tapi ia bukan siapa saya sepenuhnya.

"Jadi, kalau satu hari nanti saya tak dikenali atau tak disanjung, saya sudah bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut mengulas mengenai isu segelintir selebriti yang suka tayang kemewahan.

No Image Caption

Makan kena catu

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata itu, keputusan untuk tidak terlalu menonjolkan kemewahan dibuat atas dasar empati.

“Saya selalu fikir, bila kita tunjuk barangan mahal, sedangkan ada orang struggle nak makan atau bayar yuran sekolah, ia rasa tak kena.

"Saya sendiri datang dari keluarga sederhana, makan pernah kena catu, jadi saya faham perasaan itu,” katanya.

Dibesarkan oleh ibu tunggal dengan kehidupan yang serba berpada-pada, pengalaman itu membentuk cara fikir Fasha hingga kini.

“Walaupun hidup saya berubah, cara hidup saya tetap sama. Sederhana,” tambahnya ringkas.

Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu Dunia Herbs, losyen Mustajab Mini Sauna dengan pilihan wangian eksklusif, yang turut mengumumkan dirinya sebagai duta rasmi jenama berkenaan.

Sentiasa relevan

Menurut Pengarah Dunia Herbs, Wan Noramira Wan Rosdi, pemilihan pelakon drama Doa Yang Terlindung itu dibuat kerana personaliti dan nilai yang seiring dengan jenama tersebut.

“Fasha seorang yang konsisten dan sentiasa relevan. Kami melihat keserasian yang baik kerana berkongsi nilai yang sama,” katanya.

No Image Caption

Bagi Fasha sendiri, keputusan menerima tawaran itu hadir secara semula jadi kerana sudah lama menggunakan produk Mustajab bersama keluarga.

“Kami memang pengguna Mustajab. Bila ditawarkan sebagai duta, saya terfikir bagaimana nak tarik minat Gen Z. Dari situlah idea losyen dengan wangian ini muncul,” katanya.

Menurutnya, produk itu bukan sahaja memberi rasa selesa, malah lebih menyenangkan dari segi bau.

“Dulu suami menjauh sebab bau minyak terlalu kuat. Sekarang makin dekat sebab wangi,” katanya sambil ketawa kecil.

Losyen Mustajab Mini Sauna hadir dengan empat pilihan wangian iaitu Quince & Tulip, Golden Oud, Blooming Peach dan Amouge, direka untuk memenuhi cita rasa berbeza tanpa meninggalkan fungsi asal yang dipercayai pengguna.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang