Temui Kesenian Mek Mulung menerusi teater dan simposium 27-28 Oktober ini!

No Image Caption
A
A
A

SEMARAKKAN kesenian Mek Mulung dalam bentuk pementasan teater dan simposium yang bakal menemui orang ramai pada 27 dan 28 Oktober 2024 bertempat di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, Selangor.

Program Lestari Budaya: Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung “Putera Cahaya Bulan” oleh Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa dan Simposium Mek Mulung 2024 merupakan salah satu usaha pembangunan dan pelestarian kesenian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai “Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera” di peringkat UNESCO Disember tahun lalu.

Di samping memelihara dan memperkasa warisan budaya Melayu, teater itu turut menyediakan platform kepada penggiat seni untuk mempersembahkan bakat mereka serta menggalakkan penyelidikan dan kajian lanjut tentang Mek Mulung.

Pementasan yang bakal berlangsung dua hari itu anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berkisarkan pergolakan kisah Putera Cahaya Bulan, Puteri Nang Mara dan Raja Gergasi, saksikan perjalanan kisah mereka yang pasti mengusik emosi penonton hasil garapan pengarah Mohd Yusuf Azizan. Antara artis yang terlibat ialah Saiful Wazein Mohamad Jelani, Shamsul Nadia Zullkifli, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Din Latah, Kumpulan Kesenian JKKN dan Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus Kedah.

No Image Caption

Sementara, Simposium Mek Mulung 2024 pula akan berlangsung pada 28 Oktober 2024 bermula 8 pagi hingga 5 petang. Bertemakan “Lestari Budaya; Budaya kita masa depan kita”, ia akan mengupas mekanisme baharu bagi memastikan kesenian itu terus dilestarikan.

Dalam pada itu, kerjasama strategik antara JKKN dan UiTM Shah Alam dilihat sebagai batu loncatan untuk membicarakan secara akademik kesenian Mek Mulung terutama bagi pendidik dan pelajar dalam bidang seni budaya.

Antara objektif pelaksanaan simposium berkenaan adalah untuk melihat masa depan kesenian Mek Mulung meniti arus pembangunan dan kemodenan negara.

Selain itu, menilai tahap kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai lapisan untuk terus memelihara, membangunkan dan menyemarakkan keseniannya.

Seterusnya mengekalkan dan memastikan kesenian Mek Mulung terus relevan dengan teknologi dan arus perubahan negara melalui pelbagai kaedah penyampaian.

Simposium tersebut juga bakal menghimpunkan pembentang kertas kerja daripada pentadbir budaya, karyawan seni, ahli akademik dan penggiat seni.

Seramai 10 orang pembentang kertas kerja dari Malaysia, Indonesia dan Thailand akan terlibat dalam sesi pembentangan dan sesi soal jawab.

Sijil penyertaan juga akan diberikan kepada peserta yang menyertai simposium ini.

Keterangan lanjut boleh layari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun Facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya serta imbas Kod QR yang tertera di poster.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang