'Tiada lagi doa ayah, tinggal mak sahaja' – Ziana Zain reda pemergian bapa, kongsi pesanan terakhir arwah

No Image Caption
A
A
A

SETIAP anak mengimpikan doa seorang ayah dan ibu sebagai penguat semangat dalam kehidupan. Namun, bagi penyanyi kesayangan ramai, Ziana Zain, hakikat itu kini hanya tinggal kenangan apabila insan bergelar ayah pergi buat selama-lamanya.

Luahan hati penyanyi berusia 57 tahun itu cukup meruntun jiwa. Dalam nada sebak, Ziana mengakui ketiadaan bapa tercinta, Zain Abdullah, benar-benar meninggalkan kekosongan besar dalam hidupnya.

“Saya tiada lagi doa daripada seorang ayah. Tiada figura ayah yang mahu mendoakan saya di dunia ini. Sekarang hanya ada doa daripada mak sahaja.

“Sebagai anak, sudah pasti kita mahukan doa daripada kedua ibu bapa. Sekarang tiada lagi doa ayah, itu yang buat saya betul-betul sedih,” kongsinya.

Bagi Ziana, sepanjang hayatnya, arwah ayah bukan sekadar pelindung malah dianggap sebagai pengawal setia yang sentiasa menjaga dirinya.

No Image Caption

SATU KELUARGA BERSATU

Walau pun diuji dengan kehilangan besar, pelantun lagu Senja Nan Merah itu tetap cuba menguatkan hati dengan sokongan keluarga yang sentiasa berada di sisi.

“Namun, saya perlu kuat. Saya masih ada mak, adik-beradik, anak-anak dan keluarga. Kami sebuah keluarga yang sangat bersatu.

“Arwah ayah selalu pesan, kita satu keluarga perlu sentiasa ‘united’ walau apa jua keadaan sekali pun,” kata Ziana lagi sambil menyifatkan pesanan terakhir itu sebagai bekalan meneruskan kehidupan.

No Image Caption

Terdahulu, Allahyarham Zain Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam, pada Selasa lalu.

Allahyarham yang disahkan menghidap kanser prostat sejak Disember tahun lalu, dilaporkan mengalami kemerosotan tahap kesihatan sebelum pergi menghadap Ilahi.

Kehilangan ini nyata meninggalkan luka di hati Ziana, namun jelas kelihatan beliau cuba menguatkan diri demi keluarga yang masih memerlukan kasih sayang dan semangatnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang