'Tiada yang mustahil selagi berusaha dan berdoa' – Reen Rahim buka cerita jatuh bangun dalam dunia bisnes

No Image Caption
A
A
A

SEBUT sahaja nama Reen Rahim, ramai terus terbayang gelagat lucunya yang bersahaja, penuh tenaga positif dan sentiasa menceriakan suasana. 

Sejak awal kemunculan, personaliti selambanya menjadi antara sebab utama dia dekat di hati peminat. 

Namun di sebalik karakter happy-go-lucky itu, tersimpan sisi wanita yang matang, kuat bekerja dan sentiasa mencari ruang untuk berkembang.

Pemilik nama penuh Noreen Ashikin Abdul Rahim ini sudah lebih 15 tahun bergelumang dalam industri seni. 

Selain dunia lakonan, Reen melangkah ke medan baharu sebagai usahawan dalam industri penjagaan diri.

Perjalanan baharunya ini bukan dirintis seorang diri. Bersama suami tercinta, Hazim Zainal, mereka membina empayar kecil yang bermula dari bawah. 

Mereka mengaku bukan pasangan paling matang, namun itu tidak pernah mematahkan semangat untuk bekerja keras.

“Betul… kami ini bukan pasangan paling matang. Kadang-kadang bergaduh manja, kadang-kadang gelak tidak masuk akal, kadang-kadang main lebih daripada buat kerja. 

"Cuma satu benda yang kami tidak pernah ambil mudah ialah tanggungjawab. Lagi-lagi apabila melibatkan perniagaan dan produk yang kami keluarkan sendiri,” katanya.

Dalam nada jujur, Reen berkongsi bahawa setiap tawa dan gurauan sebenarnya menyembunyikan proses pembelajaran yang mematangkan mereka dari hari ke hari.

No Image Caption

“Di sebalik gelak tawa itu, ada dua orang yang belajar untuk menjadi lebih dewasa… yang belajar untuk melakukan sesuatu dengan hati dan yang belajar untuk melakukan sehabis baik setiap hari. 

"Kami mungkin tidak sempurna, tetapi kami serius apabila melibatkan usaha. Serius apabila membabitkan rezeki dan menjaga kualiti. 

"Ini perjalanan kecil kami… dan kami bersyukur ramai mendapat manfaat,” ujarnya.

Penerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025 itu, pada usia 36 tahun, mahu membuktikan bahawa perjalanan hidup boleh terus berkembang selagi seseorang itu berani mencuba.

Bagi Reen, doa, usaha dan disiplin adalah kunci segala rezeki. Dalam nada rendah hati, dia mengakui dirinya bukanlah pakar motivasi, namun percaya pada satu perkara.

“Saya tidak pandai memberi nasihat, tetapi percayalah, tiada yang mustahil dalam hidup selagi kita berusaha dan berdoa kepada Tuhan. 

"Jangan pernah abaikan impian anda. Teruskan bermimpi dan berdoa agar dimakbulkan,” katanya.

Saat bercakap tentang perjalanan membina perniagaan bersama suami, Reen cukup terbuka berkongsi jatuh bangun mereka. 

Mereka pernah bermula dari bawah, pernah penat dan pernah hilang arah, namun semangat untuk bertahan itu tidak pernah padam.

“Kami bermula dari bawah. Kami jatuh dan bangun semula. Jadi kalau ada sesiapa di luar sana yang sedang berusaha membangunkan perniagaan sendiri, teruskan. 

"Jangan berhenti. Selagi ada doa dan usaha, insya-ALLAH, pasti akan terbuka jalan itu,” tambahnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang