Ulang tahun Jebat Jayden ke-7, luahan emosi Sharnaaz Ahmad & Noor Nabila bikin sebak: ‘Baba mungkin tak sempurna…'

No Image Caption
A
A
A

KEHADIRAN anak sering menjadi alasan untuk seseorang insan itu untuk kembali kuat, walau pernah rebah dalam perjalanan hidup.

Itulah makna Jebat Jayden dalam kehidupan Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila, cahaya kecil yang membina semula kekuatan, menyulam kasih, dan mengajar mereka erti cinta yang tidak pernah pudar.

Pada ulang tahunnya yang ketujuh, Jebat sekali lagi menjadi saksi bagaimana kasih ibu dan ayah tetap utuh walaupun mereka tidak lagi bersama.

Dalam dua luahan yang berbeza, Sharnaaz dan Nabila menzahirkan rasa syukur, cinta dan harapan yang sama, yang mana anak kecil itu akan terus membesar dengan bahagia, meskipun jalan hidup keluarganya sudah berubah.

Sharnaaz, yang kini berusia 40 tahun, tidak melepaskan peluang meluahkan rasa hati penuh emosi di media sosial. Beliau mengakui kehilangan ayah tercinta tahun lalu masih terasa, namun kehadiran Jebat membuatkan dirinya kuat dan tabah meneruskan hidup.

No Image Caption

“Baba mungkin tidak sempurna dalam semua segi, tapi sepanjang tujuh tahun ini,

"Baba tak pernah hilang. Baba sentiasa ada,” coretnya penuh makna.

Lebih daripada sekadar ucapan ulang tahun, ia adalah janji seorang ayah untuk terus menjadi pelindung dan pendorong dalam kehidupan anaknya.

Dalam pesanan yang disampaikan, Sharnaaz turut menitipkan nasihat agar Jebat membina keyakinan diri meskipun dunia tidak selalu bersikap adil.

“Orang tak selamanya suka kita... bila orang cakap buruk tentang awak, kemudian awak akan tahu kehidupan awak lebih baik daripada mereka.

"Jadi senyum dan 'chin up’,” katanya lagi.

Kata-kata itu menggambarkan ketegasan seorang bapa yang mahu anaknya membesar sebagai insan kuat, matang dan berprinsip.

Sementara itu, dari sudut keibuan, luahan hati Nabila begitu menyentuh jiwa.

Kakak kepada Neelofa turut menggambarkan kelahiran Jebat sebagai momen yang mengubah seluruh kehidupannya dengan cinta.

“Kamu hadir dalam pelukan Mommy dengan tenang, tapi kehadiranmu menggegarkan seluruh hidup Mommy dengan cinta,” tulisnya.

Betapa besar makna seorang anak, seulas senyuman Jebat sahaja sudah cukup untuk membuatkan Nabila merasa utuh dan tabah melalui cabaran hidup.

Biarpun tidak melihat ibu dan bapanya hidup bersama, Jebat tetap membesar dengan pemahaman yang luar biasa.

Nabila juga menyifatkan anaknya itu sebagai penyelamat yang berulang kali menguatkan dirinya dalam menghadapi kehidupan.

“Kamu akan sentiasa menjadi cinta terbesar dalam hidup Mommy,” ungkapnya penuh kasih.

No Image Caption

Perkahwinan Sharnaaz dan Nabila pada 31 Mac 2017 tidak kekal lama apabila ikatan itu terlerai pada 9 Julai 2020.

Namun, hakikatnya mereka tetap bersatu hati dalam membesarkan Jebat dengan penuh kasih sayang. Ia membuktikan bahawa kesempurnaan keluarga bukan semata-mata pada satu bumbung yang sama, tetapi pada usaha dan keikhlasan untuk hadir dalam hidup anak.

Kisah ini bukan hanya tentang sambutan ulang tahun seorang anak selebriti. Lebih daripada itu, ia adalah kisah kasih sayang yang tulus, bagaimana dua insan yang pernah bersama kini tetap berganding bahu demi kebahagiaan permata hati mereka.

Sharnaaz dan Nabila mungkin membawa haluan berbeza, tetapi cinta mereka terhadap Jebat kekal selamanya, membalutnya dengan nasihat, doa, kelembutan dan pengorbanan yang tidak ternilai.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang