Uqasha enggan kait isu anak dalam kes perceraian


PELAKON popular, Uqasha Senrose, meminta untuk tidak mengaitkan hal anak dalam isu rumah tangga yang sedang dihadapinya bersama suami, pelakon Kamal Adli.
Ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur selepas prosiding sebutan pertama kes perceraian pagi tadi, Uqasha berkata fokus utama ketika ini hanyalah terhadap proses perundangan yang sedang berjalan.
“Kalau boleh, kita tidak mahu sentuh apa-apa berkaitan isu anak. Kita fokus kepada perceraian sahaja,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas prosiding.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keadaan dirinya, Uqasha memaklumkan dia berada dalam keadaan sihat dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir.
“Saya okay, apa yang tidak memudaratkan diri saya dan kesihatan saya, saya akan teruskan untuk diri dan anak.
“Anak ada bersama dengan saya… Setakat ini saya okay, insya-Allah,” ulasnya.
Kakak kepada aktres Nelydia Senrose itu juga memilih untuk tidak memberi komen terhadap hantaran yang dimuat naik Kamal beberapa hari lalu yang menunjukkan seolah-olah tiada masalah antara mereka.
“Fikir sendiri,” katanya sebelum beredar dari lokasi.
Untuk info, Uqasha hadir seawal jam 9 pagi untuk menghadiri prosiding pertama sebutan kes yang difailkan pada 1 Oktober lalu, manakala pihak defendan, Kamal, tidak hadir dan hanya diwakili oleh peguam syarie.
Disebabkan ketidakhadiran tersebut, prosiding ditangguhkan ke 28 Oktober ini bagi pengesahan sama ada defendan bersetuju atau tidak dengan tuntutan perceraian berkenaan.
Menurut peguam yang mewakili pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada persefahaman antara pasangan terbabit.

Terdahulu, menurut sumber terdekat, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.
Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.
Namun, ketika ditemui di program MeleTOP malam tadi, Uqasha enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan memilih untuk mengunci mulut.
Untuk rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

