Utamakan kebahagiaan anak-anak, Emma Maembong pilih beraya bersama bekas suami. 'Walaupun perkahwinan tak kekal, kena ambil gambar keluarga'
PELAKON terkenal, Emma Maembong, mengakui bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbeza baginya, namun beliau tetap berusaha untuk menjadikannya istimewa, terutamanya buat anak-anaknya.
Menurut pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 33, dia tetap akan beraya bersama bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar, demi memastikan kedua-dua anak mereka tidak merasa perubahan atau kekurangan dalam keluarga.

"Tahun ini raya berbeza sikit sebab mula-mula beraya dengan keluarga, selepas itu ada keluarga sendiri dan sekarang kembali beraya dengan keluarga.
"Tapi apa yang pasti, tahun ini saya beraya untuk anak-anak. Mereka semakin membesar dan sudah tahu meminta duit serta baju raya," kata Emma.
Untuk memastikan anak-anak merasai suasana raya yang penuh kemeriahan, Emma dan bekas suaminya telah menyusun jadual beraya bersama.
"Saya akan bawa anak-anak beraya di rumah bekas suami di sebelah pagi, selepas itu dia pula akan ikut beraya di rumah kami," tambahnya.
Memetik laporan OhBulan, walaupun sudah berpisah, Emma menegaskan bahawa hubungannya dengan bekas suami masih rapat dan mereka sentiasa berkomunikasi demi kepentingan anak-anak.
"Agak sedih dan ada rasa perbezaan raya itu, tetapi tidak terasa kekok kerana hubungan saya dengan bekas suami rapat. Kami tiada masalah sehingga tidak berhubung dan sebagainya.
"Malah, kami juga berjumpa sebelum ini untuk membeli baju raya anak-anak," katanya lagi.

Emma dan bekas suaminya telah bersepakat sejak awal untuk mengekalkan hubungan baik demi kebahagiaan anak-anak mereka.
"Sebelum ini saya pernah bercakap dengan bekas suami, apa-apa pun yang terjadi, sekiranya hubungan perkahwinan kita tidak kekal, kita tetap perlu mengambil gambar keluarga.
"Setiap tahun akan ada gambar bersama supaya anak-anak tahu bahawa tiada apa yang berubah." ujarnya.
Berkongsi pengalaman peribadinya sebagai anak yang melalui perceraian ibu bapa, Emma memahami kepentingan menjaga emosi anak-anak.
"Saya datang dari keluarga yang ibu bapa bercerai, jadi saya tahu bagaimana perasaan itu.
"Pernah sekali saya sampai terpaksa melukis sendiri gambar kami sekeluarga bersama kerana tidak pernah berpeluang bergambar satu keluarga lengkap.
"Saya faham perasaan seorang anak yang inginkan sebuah keluarga yang sempurna.
Pada masa sama, Emma berharap agar langkah yang diambil ini dapat memberi kebahagiaan dan kestabilan emosi kepada anak-anaknya walaupun mereka membesar dalam situasi yang berbeza.
Bagi pelakon drama Seribu Tahun itu lagi, , kebahagiaan anak-anak adalah keutamaannya, dan dia berusaha untuk memastikan mereka tetap merasakan kasih sayang dan kehangatan keluarga setiap kali menyambut hari raya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
