'Jantung berhenti 8 kali, wayar berselirat' – Ameng dedah detik cemas A. Aida di ICU, syukur sedar lepas 4 hari koma

No Image Caption
A
A
A

KHABAR duka yang hampir meragut nyawa insan seni, A. Aida nyata mengejutkan ramai.

Siapa sangka penerbit terkenal itu terpaksa bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) selepas mengalami komplikasi serius baru-baru ini.

Lebih memilukan, bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Spring, Ameng, menceritakan detik cemas yang masih segar dalam ingatannya.

Memetik perkongsian Ameng menerusi video temu bual bersama portal F8Buzz, penyanyi itu berkata, semuanya bermula apabila anak sulung mereka, Wan Az Aleesa, menghubungi dirinya dalam keadaan panik.

“Anak saya telefon sambil menangis teresak-esak. Saya ingatkan kucing dia mati sebab sebelum itu dia ada kongsi di media sosial tentang kucingnya yang sakit. Rupanya mama dia yang sakit.

“Lepas dapat panggilan, saya terus ke hospital bertemu anak saya. Dia beritahu doktor suruh baca Yasin. Jantung ibunya sudah berhenti sebanyak lapan kali.

“Saya sempat melawat A. Aida, waktu itu memang nampak wayar berselirat di badannya. Memang saya sedar ini bukan biasa-biasa, tetapi sakit kronik,” katanya lagi.

SEDAR DARI KOMA

Menurut Ameng, pada awalnya dia menyangka bekas isterinya itu terkena serangan jantung. Namun, jangkaannya meleset selepas mendengar bicara daripada doktor.

“Rupanya dia mengalami komplikasi. Mungkin ada makanan yang tak sesuai dan sebagainya. Kebetulan dia ada buat pembedahan lutut.

"Namun itu semua di luar kemampuan manusia, terjadi atas kehendak Tuhan,” ujarnya lagi.

Syukur, selepas empat hari koma, A. Aida kembali sedar.

“Saya tengok seolah-olah dia sudah tiada harapan. Jadi kami lakukan bacaan Yasin dan solat hajat. Alhamdulillah pagi tadi saya dapat panggilan daripada anak saya, maklumkan ibunya sudah sedar.

“Yang paling penting bila dia sedar, dia kenal anak dia. Maknanya otak dia masih berfungsi. Selalunya kalau orang sedar daripada koma mereka susah untuk ingat.

“Tetapi dia masih belum boleh bercakap kerana ada tiub di dalam mulut. Cuma bila anak saya tanya kenal tak dia, ibunya angguk. Insya-ALLAH dalam masa terdekat dia mungkin akan dipindahkan ke wad biasa,” jelasnya penuh syukur.

Terdahulu, A. Aida dilaporkan rebah selepas menjalani rawatan fisioterapi. Difahamkan, dia baharu sahaja menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya dua hari sebelum kejadian.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang