Kieda Crepe jaga batas, kongsi sebab enggan bergambar dengan lelaki — 'Suami syurga saya'

No Image Caption
A
A
A

DALAM dunia yang sarat dengan kamera, lensa dan kandungan viral, tidak semua perkara perlu dirakam, apatah lagi dikongsi.

Ada kalanya, sebuah keputusan yang kelihatan kecil, seperti menolak untuk bergambar sebenarnya lahir daripada prinsip besar yang berakar pada kasih sayang, kepercayaan dan tanggungjawab sebagai isteri. Itulah pendirian yang dipegang teguh oleh pempengaruh media sosial dan usahawan popular, Kieda Crepe.

Nama Kieda bukan asing dalam dunia keusahawanan digital. Dengan personaliti ceria dan gaya komunikasi yang dekat di hati pengikut, dia sering menjadi tumpuan di media sosial. Namun di sebalik populariti dan perhatian yang tidak pernah surut, Kieda memilih satu jalan yang tidak semua orang sanggup lalui iaitu menjaga batas pergaulan dengan tegas, walaupun dengan pelanggan atau pengikut sendiri.

Menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya, dia ysng sedang hamil anak ketiga secara terbuka menjelaskan sebab mengapa tidak pernah mengambil gambar dengan mana-mana lelaki. Keputusan itu, katanya, bukan dibuat tanpa sebab, tetapi lahir daripada rasa hormat terhadap suami tercinta, Mohd Hilmi Mohd Zaki.

No Image Caption

“Kamu jaga batas kamu, ingat saya tak suka apa,” kongsi Kieda ketika mengimbas permintaan suami yang menjadi pegangan hidupnya sejak bergelar isteri.

Bagi sesetengah orang, bergambar bersama pelanggan mungkin dianggap perkara biasa, sekadar kenangan atau tanda sokongan. Namun bagi Kieda, sekeping gambar mampu membawa seribu tafsiran dan di situlah lahirnya kebimbangan tentang fitnah yang boleh mencalar keharmonian rumah tangga.

“Sebab tu sampai sekarang Kieda tak pernah ambil gambar atau melawak lebih kurang dengan mana-mana lelaki, tak kira customer atau followers.

"Sekeping gambar boleh jatuh fitnah, dan benda tu akan membuatkan suami saya kecewa,” luahnya jujur.

Kata-kata itu bukan sekadar penjelasan, tetapi cerminan prinsip seorang wanita yang meletakkan perasaan pasangan di tempat teratas.

Dalam nada yang lembut namun tegas, Kieda mengingatkan bahawa menjaga hati suami bukan satu pengorbanan yang merugikan, sebaliknya satu pilihan yang mendamaikan.

“Suami syurga saya tau. Dia pun tak buat semua hal yang sakitkan hati Kieda.

"Untuk buat apa saya nak buat benda yang menyakitkan hati dia,” tambahnya lagi.

Mesra  pelanggan

Dalam landskap media sosial hari ini, sempadan antara profesional dan peribadi sering kali menjadi kabur. Namun Kieda membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya menuntut kita mengorbankan nilai dan batas.

Sebagai usahawan, dia tetap mesra dengan pelanggan. Sebagai pempengaruh, dia masih berinteraksi dengan pengikut. Bezanya, semuanya dilakukan dalam garis yang jelas dan beradab.

Perkongsian Kieda itu pantas mendapat perhatian ramai. Ada yang memuji ketegasannya mempertahankan prinsip, tidak kurang juga yang melihatnya sebagai contoh isteri yang memahami makna sebenar hormat dan setia.

Dalam diam, kisah ini membuka perbincangan lebih luas tentang bagaimana wanita moden menyeimbangkan kerjaya, populariti dan tanggungjawab dalam rumah tangga.

Bagi Kieda, kebahagiaan bukan diukur pada jumlah gambar atau interaksi di media sosial, tetapi pada ketenangan hati apabila tahu dia tidak mengkhianati kepercayaan orang yang paling penting dalam hidupnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang