Ayda Jebat kini berdikari lepas pindah rumah. 'Dulu tak boleh masak, sekarang semua saya urus'
CERIA, peramah dan bibirnya tak lekang dek senyuman.
Itu gambaran karakter si kecil molek Ayda Jebat yang mula dikenali menerusi program Akademi Fantasia 9.
Pemilik nama sebenar, Nur Suhada Jebat itu kemudiannya mencipta nama sebagai pelakon dan penyanyi selain laris sebagai duta produk, termasuklah Watsons.
Kini bergelar isteri kepada usahawan dan pengacara, Nabil Mahir, pasangan tersebut terus melakar bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata, Ana Nayla dan Aali Mateen.
Biarpun status isteri dan ibu kini tersandang di bahu, namun anak jati kelahiran Melaka tersebut tetap mengekalkan reputasinya sebagai figura yang disegani dalam industri hiburan.

Minggu ini, SinarPlus memilih pelantun lagu Nakal Nakal Nakal itu sebagai penghias muka hadapan.
Berpeluang bersua muka dengan wanita putih mulus yang cukup terkenal dengan karakternya yang ceria dan penuh tenaga baru-baru ini memberi peluang penulis bertanya khabar dirinya.
Pada 1 Mac lalu, Ayda memaklumkan dirinya menerima rawatan di sebuah pusat perubatan selepas mengalami slipped disc ringan.
Nyata masalah kesihatan tersebut membuatkan tuan punya badan terpaksa melalui fasa hidup yang berbeza.
Kalau dulu, dia antara artis yang paling ligat beraksi di lokasi penggambaran dan pentas persembahan, kini Ayda mengakui terpaksa memperlahankan rentak selepas mengalami masalah kesihatan yang mengejutkan.
Segalanya berlaku secara tiba-tiba, ketika dia sedang tunduk untuk meletakkan barang.
“Macam mana boleh berlaku slipped disc? Tak pasti... memang berlaku secara tiba-tiba sahaja. Saya tunduk nak letak barang, terus rasa sakit itu datang. Doktor cakap, banyak punca sebenarnya. Tapi sejak tu memang tak boleh angkat berat," kongsinya yang kini lebih berhati-hati dalam melakukan kerja harian.
Menurut Ayda, selepas diberi amaran oleh doktor, dia kini mengelakkan sebarang aktiviti berat.
"Bila tengok orang lain dukung anak, kita pula tak boleh... memang rasa rindu. Tapi nak buat macam mana, sekarang kena jaga diri.
“Apa-apa kerja yang memerlukan tenaga, Nabil yang akan buat.
"Saya akan cakap, ‘Boleh tak tolong angkatkan barang?’ dan dia akan buat. Dulu semua buat sama-sama. Sekarang memang saya princess sikit lah,” katanya sambil ketawa.
Namun di sebalik nada bersahaja itu, Ayda tidak menafikan ada rasa sayu apabila tidak dapat mendukung anak-anaknya.
“Sebenarnya bila tengok orang lain dukung anak dia, kita pula tak boleh... memang rindu. Tapi nak buat macam mana? Tambah pula anak saya yang nombor dua tu, berat dia sama dengan kakak dia, tapi tak tinggi. Jadi dia padat. Pegang sekejap pun dah sakit. Memang kena jaga betul-betul,” jelasnya.
Justeru, dia kini lebih selektif dan kreatif dalam menyesuaikan komitmen kerja dengan keadaan fizikal.

Walaupun kesihatannya tidak sekuat dahulu, namun Ayda masih aktif dalam bidang seni.
Wanita berusia 33 tahun itu bakal muncul di kaca televisyen menerusi rantaian drama Mandul Bukan Pilihan terbitan Astro Ria tidak lama lagi.
“Kadang-kadang tengah shoot, ada babak kena dibelasah atau terjatuh, saya boleh buat semua tu cuma agak berisiko sebab kejadian sakit baru saja jadi. Pengarah dan saya kena cepat fikir idea alternatif. Nasib baik produksi dan jenama yang bekerja dengan saya faham dan beri ruang,” jelasnya.
Dilarang masuk dapur
Dedah pelantun lagu Pencuri Hati itu lagi, bukan mudah untuk menerima keadaan sekarang, namun dia bersyukur kerana suami dan keluarga banyak memberi sokongan.
Dalam pada itu, Ayda dan Nabil memilih untuk berpindah ke rumah sendiri selepas hampir empat tahun tinggal bersama mentuanya.
Rumah yang sudah lama dimiliki itu akhirnya siap diubah suai dan dihias, menjadikan momen berpindah sebagai langkah besar dalam kehidupan mereka sebagai satu famili.
“Dulu memang tak perlu fikir apa-apa. Makan, jaga anak dan beli barang semua ada orang tolong. Tapi sekarang, walaupun ada pembantu, kita tetap kena fikir sendiri.
"Hari ni nak masak apa, barang dapur cukup ke tak... benda-benda macam tu lah yang buat saya rasa, ‘eh boleh ke aku uruskan semua ni?" katanya, menggambarkan realiti kehidupan selepas berpindah.
Lebih menarik, Ayda turut berkongsi kisah lucu apabila sebelum ini dia memang ‘dilarang’ masuk dapur untuk memasak.

“Masa duduk dengan abang mentua, saya masuk dapur je dia tanya, ‘nak buat apa?’ Saya cakap nak masak telur... terus dia kata tak payah.
"Demikian juga dengan mak saya. Takut dapur rosak. Tapi sekarang ni dapur sendiri, tak tahu lah apa jadi nanti,” katanya sambil ketawa.
Bahkan dedah Ayda, suaminya sendiri pernah berseloroh agar jangan masak, sebaliknya menyerahkan urusan tersebut kepadanya.
“Tapi saya tetap cuba. Pernah sebelum ini saya buat telur omelet, Nabil kata menu itu paling sedap dia pernah makan. Tapi saya rasa dia tipu je. Apa ada, dia makan sahaja sebab dia bukan jenis cerewet,” ujarnya sambil tertawa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
