'Bukan gimik, ini fasa hidup saya' – Fasha Sandha pilih bahagia demi anak
JIKA ditanya apakah resipi kejayaan pelakon terkenal Fasha Sandha, pasti ramai mengaitkannya dengan disiplin dan komitmennya yang jitu.
Dari sorotan filem ke sinar televisyen, itulah tuah buat wanita cantik berwajah klasik ini. Sikapnya yang ramah dan tidak kedekut dengan senyuman menjadikannya mudah didekati ramai.
Mula aktif sejak usia 18 tahun pada tahun 2002, Fasha membuat kemunculan sulung dalam filem Black Maria sebagai pelakon pembantu.

Dua tahun kemudian, dia membintangi filem komedi muzikal Bintang Hati yang melonjakkan namanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu perlahan-lahan mencipta eksistensi dalam dunia lakonan menerusi watak kecil yang akhirnya memberi impak besar.
Sebagai jentera seni, setiap skrip yang diterima dihayati sepenuh jiwa. Reputasinya turut diperkukuh di pentas anugerah apabila merangkul pelbagai pengiktirafan seperti pelakon tv wanita popular dan pelakon wanita terbaik dan banyak lagi.
Malah, dia turut menjadi pilihan jenama terkenal. Antaranya dilantik sebagai duta Maybelline menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2007.

Walau sibuk dan kuat bekerja, Fasha tetap mengutamakan keluarga dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Ikuti kisah pengorbanan dan sisi peribadinya dalam ruangan eksklusif muka depan SinarPlus minggu ini.
Dahulu hingga kini, wajah cantik manisnya cukup sinonim dengan drama-drama hit di kaca televisyen.
Dikenali sebagai pelakon yang komited dan berdedikasi, Fasha Sandha turut berkongsi sedikit perkembangan tentang dirinya.
Terbaharu, dia dilihat semakin menonjol sebagai figura wanita moden yang aktif dalam kerja amal.

“Kejayaan yang kita dapat ini, kita gunakan dengan cara yang betul,” ungkapnya ketika memulakan sesi temu bual eksklusif bersama SinarPlus.
Pemilik nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan itu berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan pembinaan masjid di Palestin anjuran Inayah Beauty x Yayasan Nurjiwa.
Diam tak diam, tahun ini merupakan tahun keempat wanita berusia 41 tahun itu bersama jenama Inayah Beauty.
“Alhamdulillah, ini tahun keempat saya bersama Inayah Beauty. Saya anggap itu sebagai satu bentuk rezeki yang tidak ternilai.

“Sebagai orang yang menghubungkan mereka (duta), saya gembira kerana rasa macam terselitlah sedikit bakti di situ.
“Pada saya, kerja amal dan perniagaan boleh bergerak seiring, malah apabila pelanggan tahu mereka turut menyumbang secara tidak langsung melalui pembelian produk, ia mencipta kesedaran yang lebih luas,” ujarnya kepada penulis.
Bercerita tentang peranan kaum Hawa dalam masyarakat hari ini, Fasha mengakui wanita kini bukan lagi duduk di belakang tabir.

Pun begitu, keluarga tetap menjadi keutamaan selain kekal komited dalam kerjaya seni.
Biarpun tumpuannya lebih banyak dalam bidang lakonan, namun dalam diam-diam, anak kelahiran Johor itu mengorak langkah untuk mencuba bidang perniagaan.
Namun, tuan punya badan enggan berkongsi lanjut kerana segalanya masih dalam perancangan.
Mengimbas kembali perjalanannya sebagai anak seni yang bermula tatkala usianya 18 tahun, Fasha tidak menolak mengakui hidupnya banyak mengajar tentang kesabaran dan kematangan.

Salah satu perkara yang sering dipuji warganet ialah hubungan baiknya dengan bekas suami, Toh Muda Datuk Rizal Ashram Ramli atau mesra dipanggil Jejai.
Biarpun mereka sudah berpisah, namun hubungan tetap harmoni demi anak-anak.
“Sebenarnya semua pun mesti kena ambil masa juga lah. Rasanya pengalaman membuatkan kita, insya-Allah, sentiasa kekal harmoni untuk keluarga dan cahaya matanya.
“Dalam membuat keputusan, keutamaan kami harus diberikan kepada perasaan anak-anak, bukan ego orang dewasa. Kita tak boleh ikut apa yang diri sendiri rasa, sebaliknya kena bergantung kepada apa yang anak-anak rasa. Sebab mereka inilah yang memerlukan keharmonian dalam sesebuah rumah tangga,” tegasnya.
KELUARGA JADI TERAPI
Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, isteri kesayangan Aidil Aziz itu tidak menolak bahawa setiap seorang daripada mereka memiliki ragam yang berbeza.

“Anak-anak ini semakin membesar dan sekarang mereka dalam proses daripada kanak-kanak nak masuk remaja. Jiwa dah lain. Sebab itu, sebagai ibu bapa, kena memahami karakter mereka.
“Pada masa sama, terbit juga kebimbangan pengaruh dunia luar. Justeru, saya mengguna pakai pendekatan sederhana yang mana tidak terlalu tegas atau terlalu lembut,” tutur Fasha.
Malah, dia jujur mengakui lebih gemar bersantai dan bersama keluarga.
“Healing saya? Kadang-kadang pergi spa, tengok wayang dengan anak-anak. Tapi yang paling utama, terapi saya adalah habiskan masa dengan keluarga,” kata beliau.
Penampilannya yang kini dilihat lebih kurus dan bertudung turut menjadi perhatian peminat.

Penerima Pingat Jasa Baik (P.J.B) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail itu tidak menafikan perubahan tersebut merupakan satu fasa lebih tenang dan matang.
“Ini bukan gimik, tapi cerminan fasa kehidupan yang lebih terarah. Apabila usia makin matang, kita belajar kurangkan benda yang tak perlu. Fokus pada yang penting sahaja.
“Demikian juga dalam dunia lakonan. Bakat perlu tapi kesungguhan dan disiplin sangat penting untuk menjadikan kita bertahan.
“Tanpa komitmen dan disiplin, kita takkan ke mana. Tapi bukan dalam lakonan sahaja. Dalam kehidupan seharian pun,” tambahnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
