Dari dunia rock ke persada global: Amy Search antara 36 tokoh dirai di The Knights Award 2025
DALAM dunia yang penuh persaingan dan inovasi, tidak ramai mampu berdiri megah di persada antarabangsa dengan membawa nama Malaysia ke puncak kebanggaan.
Namun, itulah semangat yang dizahirkan dalam The Knights Award 2025 Musim Ke-4: Beyond Borders. Bertempat di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), seramai 36 tokoh serta syarikat cemerlang daripada pelbagai industri diraikan pada malam tersebut sekali gus mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.
Di sebalik tirai acara, berdiri sosok berwawasan, Dr. Zyro Wong, pengasas dan presiden The Knights Award. Bersama barisan Majlis Tertinggi (Council of Lords) yang merangkumi tokoh pelbagai bidang, daripada seni dan akademik hingga ke dunia korporat. Beliau terus memperkukuh platform ini sebagai pentas menghimpunkan idea dan inovasi dari seluruh dunia.

Penganjuran tahun ini juga menyaksikan buat julung kalinya dianjurkan bersama Commonwealth Youth Innovation Hub (CYIH) yang mewakili 56 negara anggota Komanwel.
Majlis kali ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Mulia Engku Dato’ Abdul Aziz, mewakili DYTM Raja Muda Perak, sekali gus menambah seri pada malam yang meraikan tokoh-tokoh luar biasa dari lebih 30 negara.

Antara yang mencuri tumpuan, nama-nama besar yang tidak asing lagi di hati rakyat Malaysia. Antaranya Datuk Dr Yusof Haslam, penerbit legenda yang tidak pernah luntur semangatnya; Datuk Rosyam Nor, pelakon yang kekal relevan merentas generasi; dan Datuk Amy Search, ikon rock tanah air yang terus menjadi inspirasi dunia muzik.
Dari luar negara pula, hadir bintang antarabangsa seperti Peabo Bryson, pemenang dua Anugerah Grammy dan legenda soul ballad Amerika; serta Wayne Lai, pelakon hebat dari Hong Kong yang tiga kali dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik TVB.
TIGA GELARAN, SATU SEMANGAT
Mereka bukan sekadar nama besar, tetapi lambang bahawa kejayaan tidak mengenal sempadan. Seiring tema tahun ini, Beyond Borders.
The Knights Award tidak hanya menilai kejayaan dari sudut populariti, tetapi juga impak dan nilai sebenar dalam dunia profesional. Anugerah dibahagikan kepada tiga kategori, Duke, Earl dan Baron. Masing-masing mengiktiraf tahap pencapaian dan sumbangan berbeza.
Dalam kategori Duke, pengiktirafan tertinggi diberikan kepada individu serta organisasi yang mencipta legasi luar biasa. Antara penerimanya bagi individu perseorangan merangkumi saintis negara, Tan Sri Emeritus Profesor Datuk Dr. Augustine S. H. Ong; penyanyi balada Amerika Syarikat, Peabo Bryson; penerbit legenda; Datuk Dr. Yusof Haslam serta pengembara global yang menginspirasi, Yusuf Hashim.

Sementara itu, kategori Earl meraikan mereka yang tekal menunjukkan komitmen terhadap kecemerlangan dan kelestarian. Nama seperti Jenn Beaupre (Rozette) sebagai Jurulatih Vokal Sensasi Tahun Ini (Kanada); Gabriel Henrique, Penyanyi Cemerlang Tahun Ini (Brazil); Medhat Mamdouh, Beatboxer Cemerlang Tahun Ini (Mesir); Datuk Amy Search, Ikon Rock Legenda Sepanjang Zaman (Malaysia); Wayne Lai, Raja Serba Boleh Pentas dan Layar (Hong Kong); Lawrence Cheng Tan Shui, Hos Ikonik Sepanjang Zaman (Hong Kong); Jack Neo, Penerbit Ikonik Sepanjang Zaman (Singapura); Vic Teo, Artis Baharu Paling Menyerlah Tahun Ini (Hong Kong); Foong Wai Leon, Pelakon Paling Diraikan Sepanjang Zaman (Malaysia); Datin Sri Aishah Chong, Usahawan Wanita Dedikasi Tahun Ini (Malaysia) serta Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, Ikon Sukan Terunggul Tahun Ini.
Bagi kategori Baron, fokus diberikan kepada bintang baharu dan jenama yang mencipta gelombang inovasi baharu. Antaranya Spacedollah, pencipta kandungan edutainment yang kreatif, dan MUSH-E, syarikat IT yang sedang meningkat naik dengan solusi digital futuristik.
Namun, apa yang menjadikan The Knights Award benar-benar istimewa ialah pendekatannya yang holistik. Ia bukan sekadar satu malam pengiktirafan , tetapi permulaan kepada perjalanan panjang untuk membina impak global.

Para penerima anugerah mendapat akses kepada peluang jaringan eksklusif, strategi pemasaran berimpak tinggi serta khidmat konsultansi bagi memperkukuh jenama dan reputasi mereka. Pendek kata, The Knights Award membuka ruang kepada “wira sebenar” dunia korporat dan kreatif untuk berkembang di pentas antarabangsa.
Dengan sokongan pelbagai organisasi, acara itu turut memperlihatkan bagaimana Malaysia semakin dikenali sebagai hab inovasi dan keusahawanan serantau.
Bersandarkan slogan Bond, Build & Bloom, The Knights Award terus menjadi jambatan menghubungkan bakat global dengan semangat tempatan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

