Dua dekad dalam industri seni, Aedy Ashraf buka langkah ke dunia penerbitan!

No Image Caption
A
A
A

DIAM-DIAM ubi berisi. Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan tentang figura yang mula berlakon sejak kecil dalam filem Tentang Bulan, kini bakal melebarkan sayapnya ke dunia penerbitan filem.

Selepas membuat kemunculan dalam filem Kahar: Kapla High Council, Aedy Ashraf memilih untuk tidak menerima sebarang tawaran berlakon buat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada filem yang bakal diterbitkan sendiri.

“Lepas Kahar: Kapla High Council, saya memang tidak terima sebarang tawaran berlakon, sama ada drama atau filem, sebab saya sibuk dengan syarikat saya untuk hasilkan filem sendiri pada masa akan datang.

“Sekarang ini, projek itu masih dalam proses dan fokus saya 100 peratus adalah pada projek ini.

“Insya-ALLAH, filem pertama yang saya terbitkan akan ditayangkan di pawagam tahun depan,“ kata beliau.

Lebih dua dekad dalam industri seni, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini pastinya sudah melalui pelbagai fasa dalam industri hiburan.

Cabaran pasti berbeza, tetapi baginya, itulah yang membentuk diri dan kerjayanya.

“Seperti semua orang tahu, semakin kita dewasa, semakin banyak cabaran yang perlu kita hadapi. Dan setiap cabaran itu sebenarnya menjadikan kita lebih kuat.

“Jadi, kalau tanya apa perbezaannya, pastinya cabaran akan bertambah bila kita semakin membesar.

“Tapi saya suka cabaran-cabaran itu sebab tanpa semua rintangan ini, saya takkan ke mana-mana,“ ulas Aedy.

No Image Caption

Baginya, setiap halangan bukan alasan untuk berhenti, malah satu peluang untuk terus maju.

“Pada akhirnya, semua cabaran ini yang akan buat kita lebih kuat. Dan saya bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini,“ tambahnya.

Penat lelah seakan berbayar apabila pemilik nama Mohammad Addy Ashraf Rosmadi itu akhirnya memenangi kategori Pelakon Filem Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36.

Namun bagi dirinya, perjalanannya lebih daripada sekadar anugerah. Ia lebih kepada perasaan kecintaan terhadap dunia seni.

“Saya suka perjalanan sebagai anak seni dalam industri filem Malaysia. Saya betul-betul minat.

“Walaupun industri ini bukan yang terbaik, tapi ia juga bukan yang terburuk. Saya suka keseimbangan yang ada.

“Saya mahu sentiasa berada dalam industri ini, memeriahkan dunia seni kita dan pada masa yang sama, memberi sesuatu kepada penonton dan peminat,“ kata beliau lagi.

Walaupun sudah mencapai banyak kejayaan, Aedy masih merasakan ada banyak perkara yang belum tercapai.

Namun, bagi beliau, setiap langkah dalam industri ini adalah satu pengalaman yang bermakna dan beliau bersedia untuk terus mencipta impak yang lebih besar.

Kritikan bukan penghalangSebagai seorang selebriti, Aedy tidak terlepas daripada menjadi buah mulut orang ramai.

Namun bagi jejaka berkulit sawo matang tersebut, kritikan bukan sesuatu yang boleh menghalang fokusnya.

“Saya sentiasa fokus pada matlamat besar dalam kerjaya. Walau apa pun badai yang melanda atau kritikan yang datang, saya berpegang pada tujuan itu setiap hari.

“Bila saya bangun pagi dan buat kerja, semua itu tidak mengganggu walaupun sedikit.

“Memang tak dinafikan, apa sahaja jalan yang kita pilih dalam hidup, pasti ada rintangan dan halangan. Namun, bagi saya, semua cabaran berkenaan yang akan menjadikan kita lebih kuat,“ tambahnya lagi.

Ada yang beranggapan, usia 30-an boleh dianggap sebagai kemuncak hidup, sama ada kerjaya mahupun dalam sesebuah perhubungan.

Namun berbeza dengan Aedy yang menganggap fasa tersebut hanya satu perjalanan untuk beliau ke kemuncak.

“Rasanya belum lagi sampai ke arah itu. Saya percaya kemuncak kerjaya mungkin akan berada sekitar umur 40 hingga 45 tahun.

“Jadi, sekarang ini saya masih dalam perjalanan nak ke puncak. Namun begitu, jika rezeki itu datang lebih awal ataupun lebih lambat, saya tetap akan bersyukur asalkan rezeki itu ada.

“Ini kerana, saya percaya rezeki daripada ALLAH sentiasa ada. Cuma cepat ataupun lambat sahaja,“ jelas beliau lagi.

No Image Caption

Duta produk minuman

Selain kerjaya sebagai pelakon, model dan pengacara ini turut diangkat menjadi duta dalam beberapa produk besar.

Baru-baru ini, Aedy telah dilantik sebagai duta bagi produk minuman berkarbonat, Warrior.

Bagi Aedy, beliau merasakan minuman ini benar-benar mencerminkan gaya hidupnya yang aktif dan sibuk.

“Saya seorang yang sangat aktif dan sibuk tetapi pada masa yang sama pastikan dua perkara dalam hidup saya kekal stabil, iaitu tenaga dan fokus.

“Kadangkala bila saya penat, berlari ke sana sini dan perlu fokus pada kerja, minuman ini membantu saya untuk meningkatkan tenaga saya.

“Ia bukan sekadar minuman untuk tenaga, tetapi juga diperkaya dengan vitamin B3, B6, dan B12 iaitu sesuatu yang saya perlukan dalam rutin harian saya,“ tambahnya lagi.

Malah, tiga aspek utama yang sangat dekat dengan dirinya tentang minuman ini adalah, tenaga, keseimbangan dan semangat.

“Bagi saya, sifat warrior yang paling kena dengan perjalanan kerjaya saya adalah bertenaga.

“Saya suka bila bersama peminat kerana walaupun masing-masing ada tenaga sendiri, bila kami berkumpul, kami saling selari dan mencipta suasana yang lebih meriah,“ kata Aedy.

No Image Caption

Selain itu, jejaka pujaan ramai itu juga menekankan kepentingan tenaga tambahan dalam kehidupan seharian yang sibuk.

“Saya perlukan vitamin yang cukup sebab jadual memang padat dan saya juga seorang yang aktif. Itu sebabnya pilih Warrior kerana memberi tenaga yang diperlukan sepanjang hari.

“Rasanya sangat ceria dan sedap. Tak terlalu manis, tapi cukup seimbang. Itu antara sebab saya suka minuman ni,“ tambahnya lagi.

Bukan sekadar duta, Aedy Ashraf juga bakal bertemu peminatnya dalam sebuah acara berbuka puasa dan beraya bersama Warrior menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh produk tersebut.

Menurut beliau, ia bukan sekadar pengalaman, tetapi satu momentum yang akan membina lebih banyak kenangan indah pada masa hadapan.

SinarPlus turut bertanyakan tentang aktiviti di bulan Ramadan, kongsi Aedy, tahun ini beliau lebih santai.

“Mungkin tidak akan ada penggambaran. Memang lebih santai, tapi sebenarnya apabila saya terlibat dalam penerbitan, ia jadi lebih mendalam dan mencabar.

“Tapi, saya rasa tahun ini akan lebih bermakna kerana bakal beraya bersama Warrior dan saya juga akan bawa keluarga pergi jalan-jalan di luar,“ ungkapnya.

No Image Caption

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang