'Dulu kena rotan batang paip, sekarang didik perlu...'Bahagia & berjaya, Elly Mazlein kongsi rahsia seimbangkan kerjaya, keluarga

No Image Caption
A
A
A

DALAM lautan bintang di pentas seni, nama Elly Mazlein cukup dikagumi ramai.

Dari zaman kegemilangan muzik 90-an hingga kini, figura seni itu terus berkelip indah, membuktikan bahawa sinarnya bukan sekadar sementara.

Berbakat bukan hanya sebagai penyanyi, malah pelakon versatil itu juga cukup hebat dalam bidang pengacaraan dan celotehnya sentiasa menceriakan suasana.

Dikenali dengan personaliti bersahaja, penuh gelak tawa, dan ‘happy-go-lucky‘, Elly atau lebih mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom berjaya mencuri hati peminat bukan hanya dengan bakatnya, tetapi juga kejujurannya sebagai seorang selebriti.

No Image Caption

Setiap kali muncul di kaca TV, auranya yang ‘genuine‘ memang buat ramai terpikat!

Justeru, tidak hairanlah jika beliau tetap kekal relevan dan terus mencipta fenomena tersendiri.

Bahkan, lagu popularnya, Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan masih diingati hingga kini.

Ditambah pula dengan gelagat ‘gila-gila‘ tatkala berada di pentas seni, anak kelahiran Perak itu membuktikan kehadirannya dalam industri bukan sekadar tempelan.

Awal tahun 2024 membuka lembaran baharu yang cukup manis buat selebriti serba boleh, Elly Mazlein.

Baru-baru ini, beliau tampil dengan single terbaharu bertajuk Sayap, ciptaan tiga komposer berkaliber iaitu Naim Daniel, Omar K dan Iqie Hugh, selepas 17 tahun tidak muncul dengan lagu baharu.

“Memang agak berdebar juga kerana 17 tahun tiada lagu solo baharu, namun saya nekad buat yang terbaik.

“Bukan tidak rindukan bidang nyanyian, cuma kesibukan dengan jadual kerja yang padat membuatkan saya tidak berkesempatan untuk berbuat demikian,” ungkapnya yang pernah popular dengan lagu Janji Kekasih, Sabarlah Hati serta Empat Dara 2020 yang berkolaborasi dengan Faizal Tahir dan Zizi Kirana.

No Image Caption

‘Bolot‘ tawaran

Bukan itu sahaja, rezeki dalam cabang lain turut mencurah-curah apabila beliau dilantik sebagai duta beberapa jenama terkenal. Antaranya, jenama pakaian terkenal,Jakel dan kedai emas Merchant9.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan masih ada kerja. Saya berterima kasih kepada pihak yang memberi peluang ini kepada saya.

“Soal bayaran? Saya tidak meletakkan harga terlalu tinggi, yang penting kedua-dua pihak gembira dan berpuas hati. Ini adalah situasi menang-menang,” ujar Elly penuh rendah hati.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui, setiap tahun beliau masih aktif dalam dunia lakonan, walaupun tidak terlalu serius.

Bagi Elly, apa yang penting adalah setiap projek yang diambil memberi kesan kepada dirinya dan juga penonton.

Artis serba boleh yang terkenal dengan karakter Minah Selamat dalam drama Kampung People itu juga menolak tanggapan segelintir pihak kononnya beliau suka ‘bolot‘ semua tawaran yang datang.

No Image Caption

“Saya bukan jenis yang ambil semua tawaran. Bila dapat tawaran yang baik dan memberi impak, saya tidak akan menolak. Pada masa sama, saya tetap kena fikirkan tentang anak, keluarga, bidang pengacaraan, menyanyi dan sebagainya,” tegasnya.

Selain peramah, wanita tidak lokek dengan senyuman juga terkenal sebagai pelakon yang mampu membuatkan rakan lakonannya ‘rosak‘ kerana terlalu selesa bekerja dengannya.

“Mungkin kerana saya boleh ‘masuk‘ dengan sesiapa sahaja. Saya anggap mereka ibarat kawan. Bila berborak, rasa seperti sudah kenal bertahun-tahun.

“Itu sebenarnya permulaan yang baik untuk memudahkan urusan kerja. Kalau kita mudah mesra, semuanya akan jadi lebih mudah,” tambahnya dengan ketawa kecil.

Menyingkap tirai kehidupan peribadinya, kuntuman senyuman sentiasa mekar di bibirnya. Sinar kebahagiaan jelas terpancar diwajah ibu kepada sepasang cahaya mata itu.

Lima tahun hidup solo dan menyendiri dengan status ibu tunggal, Elly akhirnya memutuskan untuk menerima kehadiran jejaka dari Kelantan sebagai suami baharu.

No Image Caption



Rotan batang paip

Status sebagai seorang isteri kembali disandang sejak 2020 dan kini bahagia, sementelah anak-anak membesar dalam limpahan kasih sayang.

Wanita berusia 44 tahun itu juga amat bersyukur dipertemukan jodoh dengan Mohammad Azlan Che Noh yang menjadi sumber kekuatan buatnya.

Biarpun usia imamnya itu lebih muda 10 tahun, namun guru yang mesra dipanggil ‘papa‘ oleh Elly itu seorang yang cukup matang.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, yang diberi nama Haider Mateen.

No Image Caption

Melihatkan gayanya yang sentiasa ceria dan penuh keibuan, bagaimana agaknya karakter di rumah terutama dengan anak perempuannya, Sefhia?

“Mungkin orang nampak lemah lembut, tetapi saya seorang ibu yang tegas, tetapi hanya pada waktu-waktu tertentu.

“Saya buat anak seperti kawan. Tapi bila mereka buat salah, tetap tegas. Kalau dah bagi amaran, tetapi masih buat salah benda yang sama, nada menegur juga sudah lain dan itu anak sudah faham.

“Cuma saya elak untuk tegas 24 jam kerana anak-anak sekarang bukan seperti kita dulu yang dilatih dengan kekerasan,” katanya mengimbas pengalaman sendiri yang pernah dirotan dengan batang paip.

No Image Caption

Menurut Elly, cara mendidik anak zaman sekarang tidak boleh disamakan dengan dulu. Perlu ada keseimbangan antara ketegasan dan kelembutan.

“Kalau asyik marah-marah, mereka boleh baca tahap kemarahan kita. Lama-kelamaan, mereka tak kisah pun. Jadi kena tegas di tempat yang betul dan dalam situasi yang sesuai,” katanya.

Elly juga memastikan hubungan dengan anak-anaknya erat dengan selalu bertanya tentang kehidupan mereka.

“Bila Sefhia balik sekolah, saya akan tanya macam-macam. Cuma kalau waktu itu tengah penat, saya akan cakap baik-baik supaya dia faham situasi dan kami boleh sambung berbual nanti,” kongsinya.

Mengimbangi kerjaya dan keluarga bukanlah satu tugas yang mudah, tetapi pelantun lagu Bungaku Bakawali bersyukur kerana anak-anaknya memahami tanggungjawabnya.

“Saya selalu cakap, mama cari nak duit dan rezeki untuk keluarga kita. Sampai masa, mama akan berhenti dan jaga anak-anak, papa dan atuk. Alhamdulillah, suami dan anak-anak faham,” ujarnya sambil tersenyum.

Kongsi rezeki

Pengacara Gegar Vaganza dan Big Stage itu juga mementingkan masa berkualiti bersama keluarga. Jika bercuti, beliau akan memastikan perhatian sepenuhnya diberikan kepada anak-anak dan suami.

No Image Caption

“Bila bercuti, telefon pun entah ke mana, saya sudah tidak kisah dan ramai sedia maklum hal tersebut,” selorohnya.

Dalam soal privasi anak-anak, pemenang anugerah Pengacara TV Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH 35) itu mengakui memilih untuk tidak berkongsi gambar cahaya matanya di media sosial.

“Itu hak peribadi mereka. Bila besar nanti, kalau mereka nak kongsi, saya tak ada masalah. Anak-anak pun tak selesa bila orang nak ambil gambar mereka, jadi saya hormat keputusan tersebut,” jelasnya.

Selain kerjaya dan keluarga, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi turut menyimpan impian untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya kanak-kanak istimewa.

“Saya memang sayangkan kanak-kanak, lebih-lebih lagi mereka yang diuji. Bagi saya, menjadi seorang selebriti tidak salah jika kita menggunakan status itu ke arah yang baik,” katanya penuh keikhlasan.

No Image Caption

Akuinya dalam rezeki beliau, ada rezeki orang lain. Justeru, Elly mahu berkongsi dengan menghulurkan bantuan secara peribadi tanpa menghebahkan kepada umum.

“Kalau tahu ada yang memerlukan, saya akan bantu setakat yang termampu. Kalau tidak dapat melawat, memadai dengan saya memasukkan duit ke akaun mereka.

“Walaupun guna dana sendiri tanpa bantuan pihak lain, saya tidak kisah. Lagipun ini impian yang saya sudah tanam sejak dulu lagi,” dedah beliau lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang