Ernie Zakri dedah rahsia kejayaan, anggap Syamel ‘tiang seri’ – 'Anak & suami rezeki terbesar saya'

No Image Caption
A
A
A

SEKILAS pandang nampak ayu dan lembut. Namun, apabila mula melontarkan vokal, terus buat semua terpaku tanpa kata. 

Dalam tubuh genit itu tersembunyi anugerah mahal, iaitu suara lunak yang apabila ‘dibuka’, boleh saja buat bulu roma merinding.

Setiap nyanyiannya bukan sekadar hiburan, tapi cerita beremosi yang membuai jiwa pendengar.

No Image Caption

Nama Ernie Zakri mula menjadi sebutan selepas menjuarai Bintang RTM 2009. Namun ketika itu, dia ibarat bunga yang baharu nak berputik dan belum bersedia dari segi populariti mahupun mentaliti industri. Ernie memilih untuk membina kerjaya perlahan-lahan, berpaksikan asas muzik yang kukuh. 

Tahun 2017 menyaksikan lagu Aku Cinta bersama suami tersayang, Syamel, meletup di carta, sekali gus mencetuskan semula fenomena dalam kariernya. 

Gabungan dua suara hebat itu berjaya memenangi Vokal Terbaik Anugerah Juara lagu (AJL) ke-32. Setahun kemudian, Ernie muncul solo menerusi Ku Bersuara dan sekali lagi memenangi Vokal Terbaik AJL33. Satu pencapaian luar biasa! 

Kini, lagu-lagu seperti Gundah, Boneka, Astana dan Takkan Terlerai membuktikan kekuatannya bukan sekadar pada lagu popular, tetapi jiwa seni dan kualiti vokal miliknya.

Berstatus suara lyrical soprano, dia juga memiliki kelulusan dalam bidang muzik selain bekas guru vokal. justeru, dirinya sering menjadi rujukan ramai. 

Namun di sebalik pentas, siapakah Ernie sebagai isteri dan ibu? Teruskan membaca sisi peribadinya yang tidak pernah pura-pura sempurna. 

Kecil molek orangnya, tapi bikin tubuh merinding apabila dengar lontaran suara. 

Itulah Ernie Zakri. Kalau orang lain bawa peti suara biasa, dia miliki versi edisi premium. Dengan tubuh comel dan senyuman manis, ramai tak sangka bila dia mula menyanyi, boleh bergegar pentas. 

Vokalnya bukan calang-calang, penuh teknik, kawalan dan emosi yang buat orang terpaku. 

Malah, tidak keterlaluan andai dilabelkan dirinya ibarat berlian dalam industri yang bersinar tanpa perlu ‘menjerit’, cukup buka mulut dan magis pun berlaku. Dia bukti, tak perlu tinggi lampai atau garang gaya diva, cukup menjadi diri sendiri dan selebihnya suara yang berbicara. 

Namun, di sebalik cahaya lampu pentas dan gemerlapan dunia seni, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, adalah seorang wanita biasa. 

Seorang isteri kepada penyanyi Syamel dan ibu kepada anak perempuan comel bernama Nur Khawla Soleha yang mesra dipanggil Lala. 

No Image Caption

“Saya keluar rumah sebagai Ernie Zakri, namun pada masa sama, takkan lupakan hakikat saya seorang isteri dan ibu. Itulah kerja sebenar saya,” ungkapnya penuh makna. 

Sebagai figura popular, Ernie mengakui kehidupannya kini tidak semudah dahulu. Selain tuntutan kerjaya seni, fasa sebagai ibu muda memberikan pengalaman yang benar-benar mendewasakan. 

Walaupun kelihatan ceria, Lala sebenarnya mewarisi sifat malu si ibu, bukan sifat ‘happy-go-lucky’ seperti ayahnya. 

“Saya dan Syamel sangat teruja melihat perkembangan Lala termasuk bila dia mula menunjukkan minat terhadap muzik dan persembahan. 

"Tapi kami berusaha untuk tidak memberinya tekanan. Dekat rumah nampak dia nyanyi dan menari-nari. Jadi, kami galakkan sahaja apa yang dia suka buat,” katanya. 

Sebagai pasangan selebriti, pasangan berkenaan tidak terlepas daripada pandangan dan penilaian masyarakat. 

Namun, apa yang dikongsi kepada umum adalah atas persetujuan bersama. 

“Mungkin orang melihat luaran yang cantik-cantik dan tenang-tenang saja. Sedangkan, hanya kami berdua tahu apa yang dilalui. 

"Saya pula bukan seorang yang gemar kongsi segala jenis kesusahan. Sejujurnya saya tak suka simpati. Kalau boleh, saya mahu mereka di luar sana tahu kemanisan yang saya dapat. Sekurang-kurangnya ia boleh jadi inspirasi buat orang lain," ungkapnya penuh makna. 

No Image Caption

KEJAYAAN HASIL PENGORBANAN

Ernie juga percaya, kejayaan takkan hadir tanpa pengorbanan. Walau berapa tinggi sekalipun pujian dan gelaran diberikan, dia tetap berpijak di bumi yang nyata. 

“Saya tidak akan menafikan kalau orang kata saya penyanyi yang hebat. Sebab gelaran itu hadir kerana kita dah berusaha sekeras mungkin. 

Tapi saya juga ada sistem sokongan yang sangat kuat. Mereka selalu ingatkan saya supaya tahu nilai diri terutama suami dan keluarga,"ujarnya yang menyimpan impian untuk menjadi sehebat ikon-ikon tersohor seperti Datuk Siti Nurhaliza dan nama-nama besar industri muzik tanah air. 

Di sebalik kejayaan, Ernie tidak pernah melupakan ‘tiang seri’ yang menjadi penyokong kuatnya iaitu Syamel. 

“Kalau suami tak izinkan, saya tak boleh nak bernyanyi. Alhamdulillah, Syamel tak pernah hentikan impian saya. 

"Dia sentiasa membakar semangat... Saya bangga jadi miliknya,” kongsinya jujur. 

Bagi Ernie, reda dan kepercayaan suami terhadap dirinya untuk terus mengejar impian adalah anugerah terbesar. Setiap langkah dalam kerjaya disokong dan diraikan bersama. 

No Image Caption

Selain sibuk dengan kerjaya dan keluarga, Ernie juga teruja apabila bakal berkongsi pentas bersama suami tercinta, Syamel, serta bapa dan ibu saudaranya, Ziana Zain dan Anuar Zain dalam konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025. Persembahan istimewa itu bukan sahaja menemukan empat suara hebat dalam satu pentas, malah mengikat erat hubungan kekeluargaan yang sudah sedia rapat.

Bukan itu sahaja, pasangan tersebutbakal mengadakan persembahan istimewa sempena sambutan Tahun Baharu apabila Hotel Le Méridien Petaling Jaya berkolaborasi dengan Universal Music Malaysia membawakan ‘Nostalgia’, makan malam dan konsert eksklusif pada 31 Disember 2025 di Grand Ballroom.

Selama tiga jam, Ernie dan Syamel akan menghidangkan rangkaian lagu hit dan klasik penuh emosi, sebelum DJ Fuzz memanaskan suasana menjelang detik 12 malam.

No Image Caption

Bagi Ernie, ‘Nostalgia’ bukan sekadar konsert, tetapi momen peribadi yang ingin dikongsi secara dekat dengan peminat.

“Harapnya semua yang hadir dapat rasa apa yang saya rasakan dan bawa pulang memori indah malam itu,” katanya.

PERUBAHAN WAJAH

Menyentuh mengenai penampilan diri selebriti yang sering menuai perhatian ramai sehingga ada yang sanggup berhabisan ribuan ringgit demi cantik, Ernie tidak menolak pernah terfikir tentang perubahan wajah atau pembedahan kosmetik. 

Namun, dia lebih selesa dengan rupa semula jadi yang dimilikinya kini. 

“Tipulah kalau saya kata tak pernah terfikir. Tapi setakat hari ini, alhamdulillah, saya rasa muka masih okay. Belum perlukan bantuan apa-apa lagi,” katanya sambil tersenyum. 

Kini pada usia 33 tahun, dengan kerjaya yang berkembang, keluarga yang bahagia serta semangat yang tidak pernah pudar, Ernie melihat kehidupannya sebagai satu anugerah yang wajar dihargai setiap saat. 

“Kejayaan yang saya capai hari ini adalah hasil usaha dan doa. Tapi yang paling dihargai, saya tetap ada rumah untuk pulang, ada suami dan anak untuk saya sayang. Itu lebih besar daripada segalanya," jelasnya sebelum menutup perbualan. 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang