‘Mungkin saya tak dapat cinta, kasih sayang lelaki tapi...’ Erra Fazira enggan anak terbeban dengan perhatian berlebihan

No Image Caption
A
A
A

SEBUT sahaja nama Erra Fazira, pasti terbayang wajah nan ayu yang tidak lokek dengan senyuman itu.

Biarpun memasuki separuh abad Februari lalu, namun kejelitaannya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Bahkan, aura dan pesona bekas ratu cantik itu masih memikat pandangan ramai sampai ke hari ini.

No Image Caption

Beliau baru-baru ini dipilih sebagai hos untuk episod kedua Borak Bibir Merah Eksklusif (BBM). Program anjuran SinarPlus itu turut mendapat tajaan daripada Courts Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nivea, Murcure Kl Glenmarie Hotel, SZBlooms, GUNG Jewellery, Tudung Ruffle, Aminah Hassan dan Zai Sri Gemilang katering.

Tampil anggun dalam persalinan rona merah jambu, penonton nyata terhibur dengan aksinya yang bersahaja menyakat panelis yang terdiri daripada Aina Abdul, Datuk Red dan Ustazah Asmak Husin yang turut hadir dalam program tersebut.

Dalam kesempatan itu, penulis abadikan insan seni yang menjadi gilaan ramai itu sebagai penghias muka hadapan SinarPlus bagi sisipan Sinar Ahad kali ini.

No Image Caption



No Image Caption

Disifatkan sebagai seorang wanita yang kental dan tabah orangnya dalam melayari kehidupan, pembabitan awal pemilik nama Fazira Wan Chek itu dalam kerjaya seni bermula pada usia 17 tahun.

Dinobatkan sebagai Miss Malaysia World 1992 pembuka jalan beliau dalam industri lakonan. Sejak itu, beliau mula diintai oleh ramai penerbit lebih-lebih lagi apabila wajahnya banyak muncul di pentas peragaan dan televisyen.

Maka, tidak hairanlah beliau menerima jolokan Primadona Filem Melayu. Bukan hanya ligat sebagai pelakon, bahkan turut laris dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.

“Setakat ini saya masih lagi aktif dalam bidang lakonan cuma pada masa ini agak selektif dan mencari kesesuaian masa dan watak memandangkan sibuk dengan pelbagai program lain.

“Alhamdulillah mungkin hasil kerja dahulu masih lagi bermain dan dipaparkan di media tempatan dan sosial media yang menjadikan saya masih diingati dan dikenali.

No Image Caption



No Image Caption

“Selain itu, mungkin juga kerana saya agak aktif dalam media sosial dan bidang baru seperti pengacaraan, menjadi juri juga adakalanya menjadi penyampai radio jemputan. Atas dasar itu, masyarakat masih nampak saya masih ‘ada’ dan aktif sebagai anak seni,” ungkap anak kelahiran Rawang, Selangor itu lagi.

Ditanya akan perancangan beliau seandainya tidak lagi aktif sebagai anak seni, Erra berhasrat menjadi seorang usahawan yang berjaya.

“Saya kagumi generasi muda sekarang begitu gigih dan kembang minda mereka dalam dunia perniagaan. Ia memerlukan minat, kerajinan dan komitmen yang tinggi untuk berjaya. Moga saya juga mampu mengejar impian,” ujarnya.

Persetujuan bersama

Perbualan kami kemudiannya menjurus kepada soal kehidupan peribadi beliau sebagai seorang ibu. Adakah beliau juga seperti segelintir selebriti yang memilih meletakkan privasi terutama bab kehidupan keluarga?

Ibu kepada seorang cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran itu rupa-rupanya mengambil pendirian untuk tidak terlalu membiarkan lensa kamera ‘meratah’ segala isi kehidupan anak remajanya itu.

No Image Caption

“Telah menjadi pilihan kami (dengan bekas suami) untuk tidak begitu menonjolkan anak dalam kerjaya saya. Apatah lagi beliau semakin membesar dan perlu ada rasa ‘bebas’ dalam menjalani kehidupan normal seperti remaja lain.

“Setakat ini, tiada sebarang masalah dan itu pendekatan yang cuba kami terapkan agar Aleesya tidak rasa tertekan atau terbeban dengan perhatian yang berlebihan daripada orang ramai,” ungkap Erra.

Pada masa sama, sebagai anak selebriti, pasti tidak terkecuali untuk disunting oleh jenama produk. Menurut Erra, hal tersebut sudah berlaku sejak dari usia Aleesya bayi lagi sudah ada pihak yang berminat mengambil anak perempuan kesayangannya itu untuk menjadi model untuk produk-produk tertentu.

“Pun demikian, atas persetujuan bersama dengan ayahnya, kami sepakat untuk tidak menonjolkan anakanda di usia muda dan selagi dia tidak bersedia. Apapun keputusan, haruslah ada persetujuan dari kami berdua dan tuan punya badan sendiri.

“Saya berpendapat di usia sekarang, sebaiknya kami harus memberi sokongan dan dorongan kepada Aleesya untuk lebih ke arah akedemik. Sehinggalah beliau sudah punya pilihan dan kecenderungan minat ke arah sesuatu yang sesuai dan disukainya, maka saya akan sokong dan dorong selagi ia baik untuk diri dan masa depannya,” tegas beliau lagi.

No Image Caption

Cinta universal

Alang-alang sisi peribadinya dikorek, penulis turut mencungkil isi hatinya yang masih solo usai dua kali menemui kegagalan dalam bahtera rumah tangga.

Bekas isteri kepada Datuk Yusri Abdul Halim dan Engku Emran Engku Zainal Abidin itu bagaimanapun mengakui kegagalan dalam mendapat 'MR Right' tidak membuatkan dirinya trauma dalam mencari pengganti suatu hari kelak.

“Tiada istilah trauma, cuma saya kini lebih berhati-hati. Mungkin juga belum ada jodoh atau rezeki untuk bertemu dengan insan yang sesuai dengan saya.

“Apapun pada masa ini, saya mensyukuri kehidupan solo. Meskipun mungkin ada rasa sepi, tapi saya bahagia dan hargai momen sekarang. Cinta ini universal, saya mungkin tidak mendapat cinta dan kasih sayang seorang lelaki, tapi ada anak, keluarga dan sahabat di sekeliling saya.

“Namun, bahagia bukan terletak pada individu, sebaliknya pilihan sendiri. Maka bahagialah dalam apa jua keadaan solo atau berteman. Andainya berjodoh satu hari nanti, apa salahnya. Doakan saya,” ulas wanita anggun berketinggian 168 sentimeter itu.

Diminta berkongsi pandangan mengenai tanggapan segelintir pihak kononnya wanita cantik tidak semestinya bahagia, ini jawapan padu dari beliau.

No Image Caption

“Nasib dan takdir manusia tidak sama. Ada lebih disini, mungkin kurang disana. Pada saya tiada insan yang sempurna bahagianya, tak kira cantik atau tidak. Yang penting, tugas kita doakan yang terbaik buat diri dan insan lain tanpa menjatuhkan hukum dan terus menilai secara pukal,” jelasnya.

Rahsia kekal cantikMalah, penulis sempat meminta pandangan beliau mengenai isu panas yang melanda pasangan selebriti kebelakangan ini, yang mana banyak menonjolkan sisi bahagia yang ‘fake’ di media sosial, Erra bagaimana pun memilih untuk tidak menghakimi mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu memandang dari sudut negatif seperti fake mahupun menunjuk-nunjuk. Bagi saya, mungkin mereka agak ekspresi dalam berkongsi suka dan duka.

“Cuma di sudut jangka masa panjang, kita tidak tahu mana letak duduknya kebahagiaan kita. Andai berpanjangan alhamdulillah, jika badai melanda takut ada orang yang bukan simpati tetapi mencebik atau bertepuk tangan. Maka atas dasar itu, pandai- pandai lah berfikir panjang kerana tidak semua perkara, kebahagiaan apatah lagi kedukaan molek untuk kita kongsikan,” ujar Erra.

No Image Caption

Penulis tutup bicara soal jodoh dengan titipan doa semoga sang ratu ini bakal bertemu dengan sang arjuna yang mampu membahagiakannya kelak.

Sebelum tirai perbualan dilabuhkan, rasanya tidak lengkap andai soal kecantikan tidak ditanya kepada wanita yang tetap anggun dan awet muda biarpun sudah memasuki usia 50 tahun. Justeru, kepada empunya diri, penulis meminta berkongsi rahsia kekal macam anak dara.

“Genetik saya yang mana punya keluarga yang agak bersaiz besar (sebelah ayah), sementara sebelah ibu agak kecil. Makanya saya senang naik badan lebih-lebih lagi di usia kini. Justeru, saya harus gigih untuk turunkan badan.

“Namun begitu, tanpa kawalan saya juga mampu menjadi terlalu kurus. Cuma dalam usia seperti sekarang, agak kurang sesuai jika terlalu kurus. Atas sebab itu, saya ambil berat tentang pemakanan dan senaman. Yang paling penting hindari stres,” jelasnya.

Tatkala diajukan perasaan apabila menjadi antara ikon dalam berfesyen, Erra mengakui hanya mengayakan mengikut keselesaan dan apa yang mampu dibawa oleh dirinya.

“Andai sesuatu stail atau fesyen sedang ‘in’ sekali pun, sekiranya tidak mampu ‘bawa’, maka saya akan berbalik kepada gaya yang selesa.

No Image Caption

“Soal ada segelintir selebriti yang membuka tudung dengan alasan mahu menjadi diri sendiri, pada saya dugaan setiap individu berbeza. Fahaman dan keyakinan jua tidak sama. Pertamanya saya pandang dari sudut usaha ke arah membaiki diri.

“Namun andai tewas di tengah jalan... siapalah kita untuk menilai. Memadai kita berdoa moga ALLAH jentik dan panggil lagi untuk kembali berhijab dengan lebih istiqamah,” tutur Erra lagi dengan penuh berhemah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang