'Nak ambil hati mentua, masaklah...' Teruja bakal timang anak lelaki, Elisya Sandha ulas isu kahwin muda, suami anak emak

No Image Caption
A
A
A

PELAKON cantik manis,Elisya Sandha kini sedang menghitung hari untuk melahirkan anak keduanya.

Kandungannya sudah mencecah lapan bulan dan yang paling menggembirakan, kali ini menantu kepada penerbit terkenal Sheila Rusly itu bakal menimang cahaya mata lelaki pula.

Dalam nada penuh syukur dan wajah yang berseri-seri, Elisya berkongsi keterujaan dan rasa syukur kerana hasrat untuk mendapat sepasang cahaya mata akhirnya termakbul.

No Image Caption

“Doa saya dah lama. Saya minta pada ALLAH nak sepasang. Alhamdulillah, DIA makbulkan. Saya memang sangat-sangat gembira dan teruja nak besarkan anak-anak saya,” kata Elisya yang nyata tidak sabar menanti kehadiran hero kecil dalam hidupnya dan suami tersayang, Uzair Haqimy.

Mengulas mengenai keputusan berkahwin pada usia muda, adik kepada pelakon terkenal, Fasha Sandha itu menegaskan ia bukanlah keputusan tergesa-gesa, sebaliknya satu anugerah yang disambut dengan hati terbuka.

Elisya yang kini berusia 26 tahun mengakui, beliau dan suami merancang mempunyai anak awal.

“Saya kahwin awal sebab jodoh sudah sampai. Apa salahnya, kan! Kami memang pilih untuk ada anak secepat mungkin, dan saya rancang umur 30 tahun akan berhenti (mengandung), sebab nak fokus pada kerjaya pula,” jelasnya tenang.

Dalam perancangan keluarga, Elisya dan Uzair sudah menetapkan jarak tiga tahun antara anak pertama dan kedua.

Mereka percaya, tempoh ini paling sesuai untuk memastikan perhatian dan kasih sayang dapat diberi sepenuhnya kepada setiap anak.

No Image Caption

“Anak ini satu rezeki, tapi saya akui menjaga cahaya mata yang masih kecil terutamanya memang menguji kesabaran dan emosi.

“Sebab tu saya rasa waktu muda ini memang sesuai untuk ada anak. Bila umur 40 tahun, anak dah besar, kita pun boleh fokus pada fasa lain dalam hidup,” jelasnya.

Namun, kehamilan kali ini memberi cabaran tersendiri buat Elisya. Disebabkan kandungan yang agak ‘fragile’, Elisya memilih untuk tidak berlakon kerana tidak mahu mengambil risiko yang boleh menjejaskan kandungannya.

“Kandungan kali ini agak lemah. Jadi, doktor nasihatkan supaya saya tidak terlalu aktif. Disebabkan itu, saya memilih untuk berehat seketika dan tidak berlakon bimbang boleh memudaratkan kandungan.

“Namun, selepas bersalin dan habis pantang, saya akan kembali ke set penggambaran, insha-ALLAH!” katanya dengan semangat.

Air tangan

Walaupun sibuk, pasangan ini tetap meluangkan masa berdua untuk menjaga keintiman dalam hubungan.

“Kami tetap luangkan masa berdua, keluar tengok wayang dan sebagainya Itu semua penting untuk menambahkan lagi kasih sayang dan mengeratkan hubungan kami suami isteri,” kata Elisya.

Menurut Elisya lagi, suaminya juga bukan jenis yang suka merajuk atau menyimpan hati.

“Saya tak tahu bila masa dia merajuk atau tidak. Tapi yang saya tahu dia jenis yang cepat memaafkan, bila isteri dia minta maaf dia akan cepat cair. Sebab dia tahu isterinya ini banyak kekurangan,” ujar Elisya sambil tertawa.

Walaupun sedang sarat, anak bongsu daripada lima beradik tetap aktif melakukan kerja rumah, termasuk memasak untuk keluarga terutama suami tersayang.

Baginya, inilah cara terbaik untuk menunjukkan rasa tanggungjawab sebagai isteri dan menantu yang baik.

“Saya tetap masak walaupun mengandung. Itu cara tunjuk saya boleh jaga anak suami dengan baik.

“Mak mentua saya bukan jenis yang cerewet, tetapi dia nak tahu kita boleh jaga anaknya dengan baik bila dia tak ada nanti. Itu yang paling penting untuknya,” ujarnya.

Ditanya berkenaan pembawaan suasana keluarga mentua yang sedikit ‘loud’ berbanding familinya, akui ibu kepada Bunga Elhaq itu lagi, pada mulanya agak terkejut.

No Image Caption

“Memang kalau orang tengok mak dan ayah mentua saya jenis yang bersuara kuat dan ceria, berbeza dengan keluarga sendiri yang lebih tenang.

“Mula-mula terkejut juga, tapi lama-lama dah biasa. Orang tak tahu, sebenarnya keluarga mentua saya ini jenis yang kelakar, tetapi sangat penyayang,” kongsinya sambil ketawa.

Kepada para wanita muda yang mungkin masih dalam fasa awal menyesuaikan diri dengan keluarga mentua, Elisya menitipkan pesanan ikhlas dari hati.

“Nak ambil hati mentua, masaklah. Air tangan kita tu yang akan buat dia rasa yakin kita boleh jaga anak dia. Jika tak pandai, tidak mengapa. Teruskan mencuba. Lama-lama akan berhasil. Yang paling penting hormat tu kena utamakan. Kalau kita sorang je hormat, tak guna juga, kan!,” ungkapnya lagi.

No Image Caption

Penulis sempat memintanya berkongsi sisi peribadi sang suami yang dikatakan 'anak emak.

Tegas Elisya, imamnya itu seorang lelaki yang sangat memahami orangnya.

Walaupun wajah nampak tegas, anak sulung daripada dua beradik itu sebenarnya sangat kelakar dan lembut hati orangnya.

Tatkala persoalan mengenai suami sayang siapa lebih antara beliau dan ibu mentuanya, ini jawapan padu Elisya.

“Suami saya seorang yang seimbang. Dia tak lebihkan mana-mana pihak. Memang kalau orang tengok nampak dia anak emak, namun sebenarnya Uzair seorang suami dan ayah yang prihatin,” ujar Elisya penuh kasih.

Perbualan kami kemudiannya menjurus kepada karier lakonan memandangkan beliau sebelum ini berada di landasan sebagai anak seni.

Buka restoran

Jelas Elisya yang nampak anggun dalam menggayakan busana dari MAYANG By Anntsya, kerinduan terhadap dunia lakonan tetap membara. Jiwanya masih cinta kepada kamera, skrip dan set penggambaran.

No Image Caption

“Lama tak masuk set penggambaran memang rindu sangat. Rindu nak bawa watak-watak, nak hidupkan karakter macam dulu. Cuma kali ini saya kena lebih selektif. Kena pilih watak yang sesuai dengan status saya sekarang,” ungkap beliau lagi.

Pada masa sama, anak jati Kuala Lumpur itu turut mendedahkan keinginannya untuk membuka restoran satu hari nanti memandangkan minatnya yang mendalam dalam bidang masakan.

Namun, buat masa ini, fokusnya masih dalam dunia lakonan.

“Saya minat masak, tapi terlalu sayang nak tinggal dunia lakonan. Disebabkan tak boleh buat dua-dua, saya kena pilih salah satu dan lakonan didahulukan,” ujarnya lagi.

Dalam sesi temu bual yang sama, penulis turut berkesempatan menemu bual Uzair.

Dalam perkongsian beliau mengenai hubungan mesra antara isteri kesayangannya dengan syurga hatinya, Sheila Rusly, beliau mengakui bukan mudah untuk lihat hubungan mentua dan menantu begitu rapat, tetapi ia berlaku secara semula jadi.

“Ini kerana kedua-duanya (Elisya dan Sheila) memiliki karakter yang kuat dan dominan. Selain itu, isteri dan mama sama-sama tegas. Itu yang membuatkan mereka boleh jadi rapat,” jelasnya.

No Image Caption

Mengulas mengenai tanggapan segelintir pihak kononnya beliau ‘anak emak’, ini reaksi Uzair.

“Saya bukan sahaja rapat dengan mama tetapi juga ayah sebab dari kecil sudah dididik sedemikian.

“Malah, saya tidak pernah segan untuk menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa di khalayak ramai.

“Mama dan ayah peluk cium depan kawan-kawan pun saya tak malu. Itu mak ayah saya, nak malu buat apa? Saya pegang nasihat ayah, keluarga kita kecil, jangan kecilkan lagi,” ujar Uzair lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang