‘Saya tak sempurna, tapi mahu jadi ayah yang tulus.'- Hafiz Hamidun


TANPA ikatan darah tetapi dengan kekuatan hati, figura seni ini telah membuka pintu rumah dan jiwanya dalam memayungi hidup si kecil bernama anak.
Sekali gus, membawa harapan dan cahaya dalam hidupnya. Sebut sahaja nama Hafiz Hamidun, pasti ada yang mengenali penyanyi, komposer dan usahawan ini.
Namun tidak ramai yang mengetahui, jejaka kelahiran Sitiawan, Perak itu memiliki seorang anak angkat yang diberi nama Hamdee yang kini sudah memasuki usia lima tahun.
Menyentuh mengenai keputusan tersebut, anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui ia bukanlah satu perkara kecil.
Dalam hal tersebut, dia tidak terburu-buru. Sebaliknya, pemilik syarikat penerbitan muzik, Arteffects Sdn Bhd itu mengambil masa yang panjang, berbincang dengan keluarga dan yang paling penting, melakukan solat istikharah.
Ketahui kisah selanjutnya mengenai penyanyi, penerbit dan komposer lagu ketuhanan itu yang menghiasi paparan muka depan SinarPlus kali ini.
Dalam dunia hiburan yang penuh glamor, sorotan kamera dan perhatian khalayak, ada segelintir selebriti memilih untuk tidak terlalu menonjolkan kehidupan peribadi mereka, lebih-lebih lagi mereka yang sudah berkahwin.
Demikian juga insan seni bernama Hafiz Hamidun ini. Justeru, tidak hairanlah ramai yang tidak mengetahui dirinya memiliki anak angkat.
Terdahulu, pada 10 Mac 2020, bekas ahli kumpulan UNIC itu mengumumkan tentang keputusannya mengambil seorang anak angkat lelaki bernama Hamdee sebagai penyeri hidupnya dan keluarga.
Dalam satu perkongsian bersama SinarPlus baru-baru ini, pemilik nama sebenar Mohammad Hafiz Hamidun itu mengakui kehidupannya berubah usai menerima satu cahaya baharu apabila hadirnya si kecil yang kini mengisi ruang hati dan hidupnya.
“Bila saya lihat wajahnya buat pertama kali, hati saya tersentuh... rasa seperti ada satu ikatan yang sangat kuat,“ katanya memulakan bicara awal bersama penulis.
Keputusan itu, katanya lagi, lahir daripada rasa tanggungjawab dan naluri keibubapaan yang semakin kuat dalam dirinya.
“Saya yakin, kalau mampu beri kasih sayang dan masa, kenapa tidak? Mungkin ini jalan yang ALLAH bukakan untuk saya beri makna dalam hidup insan lain,“ ujarnya lagi.
Namun seperti yang dijangka, dalam dunia selebriti yang serba terbuka, tidak semua orang memahami.
Justeru, timbul suara-suara yang mempersoalkan keputusannya itu. Ada yang sinis, menyindir kononnya dia hanya mengikut trend selebriti.
Bahkan ada juga yang bertanya kenapa ambil anak angkat, bukan kahwin dulu?
“Saya dah belajar bahawa kita tak akan pernah dapat kawal mulut orang, tapi kita boleh kawal niat dan tindakan kita sendiri,“ katanya tegas tetapi tenang.
Bahkan, dirinya tidak pernah membuat keputusan untuk memuaskan hati orang lain. Sebaliknya, dia percaya keputusan tersebut betul dan lahir dari hati, bukan dari tekanan luar atau mahu meraih perhatian.

Sejarah perkahwinan
Sebagai salah seorang figura umum, Hafiz mengakui bahawa dia tidak terlepas daripada bebanan persepsi masyarakat. Apatah lagi dengan sejarah perkahwinannya yang pernah menjadi perhatian ramai. Namun kali ini, dia mahu bergerak ke hadapan dengan lebih jujur dan ikhlas.
“Saya manusia biasa, tak lari dari kekurangan dan sejarah. Tapi menjadi seorang bapa, walaupun ayah angkat, adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan ikhlas.
“Pada masa sama, saya bukan mahu dilihat sempurna di mata masyarakat, hanya ingin ulus di mata anak,“ ungkapnya penuh makna.
Menjawab tuduhan kononnya mahu menunjuk kekayaan atau hidup mewah, Hafiz menyatakan bahawa dia tidak berkongsi hanya untuk dipuji.
“Kalau benar saya niat nak menunjuk, mungkin saya dah ‘jual‘ kisah ini daripada awal lagi. Tapi saya pilih untuk bercerita hanya bila waktunya sesuai, bukan untuk dipuji, tapi untuk beri inspirasi bahawa kita boleh buat kebaikan dalam bentuk yang berbeza,“ katanya jujur.
Dalam pada itu, Hafiz turut berkongsi perasaan dan pengorbanan yang telah dilaluinya sejak bergelar abah angkat.

Katanya, perubahan paling ketara adalah gaya hidup dan pengurusan masa.
“Banyak benda saya tinggalkan demi nak pastikan saya ada untuk dia selalu.
“Bahkan, itulah sumber ketenangan dan kebahagiaan baharu dalam hidup saya kini.
“Sejujurnya, anak ini mengubah hidup saya. Dia hadir dalam waktu saya sangat perlukan satu cahaya. Dan saya tahu, ini bukan beban, sebaliknya satu rahmat yang tak ternilai,“ tambahnya penuh syukur.
Bicara kami kemudiannya dilencongkan kepada tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
“Seboleh mungkin, saya mahu luangkan masa setiap hari untuk bercakap, bermain, atau sekadar duduk bersama, walau sesibuk mana pun dengan urusan kerja.

“Pada masa sama, saya mahu anak rasa dirinya penting selain tak mahu dirinya rasa terabai.
“Saya manusia biasa, tapi sebagai ayah, saya mahu anak tahu yang dia disayangi. Sepenuh hati,“ tegasnya lagi.
Sebagai seorang selebriti, soal privasi juga menjadi perkara yang sangat dijaga, Justeru, dia sama sekali tidak akan mendedahkan secara berlebihan kerana mahu anaknya membesar tanpa tekanan.
“Saya sangat berhati-hati bila melibatkan anak. Saya percaya dia berhak pada masa depan yang bersih dan tidak terbeban dengan identiti anak selebriti,“ ungkapnya penuh makna
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
