'Trauma masih ada, tapi saya pilih untuk 'move on'.' Zahnita bangkit dari luka, kejar bahagia bersama anak-anak
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/thumbs/900x900/3011681.jpg)
KEHIDUPAN sering kali melukis takdir yang tidak mampu kita ramal.
Demikian juga dengan perjalanan hidup seorang wanita cantik bernama Zahnita Wilson.
Pastinya langkah beliau kini menjadi cerminan bagaimana kekuatan jiwa dan harapan mampu mengatasi kegelapan.
Di sebalik segala ujian dan cabaran, wanita bertubuh langsing itu kini berdiri sebagai seorang yang lebih kuat, ibu penuh kasih sayang dan seorang insan yang mengejar impian dalam setiap langkahnya.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/3011486.jpg)
Setiap luka dialaminya sebelum ini menjadi pedoman untuk terus melangkah dan mencari sinar baharu.
Beliau juga menjadi inspirasi bahawa dalam setiap kejatuhan, ada peluang untuk bangkit semula dengan lebih kuat.
Bagi pelakon filem Kuliah Cinta dan Gila-Gila Pengantin Remaja itu, setiap pengalaman pahit ibarat sekolah kehidupan yang membentuk dirinya hari ini.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku dan percaya ada hikmah yang ALLAH berikan di sebalik semua ini,” ujarnya dengan nada tegas tetapi penuh kelembutan.
3 Disember 2024, Zahnita nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang susulan pendedahan dirinya berdepan penderaan domestik.
Mangsa keganasan
Abdul Zackery ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan namun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isteri.
Sebaliknya, lelaki tersebut mendakwa dia yang menjadi mangsa keganasan oleh isterinya itu.
Untuk rekod, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata, Zahrafeena, 18; Zasharayna Ghouse, 13; Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.Membina semula hidupSelepas hampir dua dekad melalui perkahwinan yang penuh onak duri, Zahnita kini memilih untuk membina semula hidupnya.
Beliau tidak lagi sekadar melihat ke belakang, tetapi fokus mencipta masa depan yang lebih baik, bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk anak-anaknya.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/3011661.jpg)
Ketika penulis mengutarakan penerimaan anak-anak dengan keputusan beliau untuk berpisah dengan ayah mereka, nada suaranya berubah menjadi lebih sebak.
Kongsi wanita yang mesra disapa Zahni itu, kes tersebut tidak disembunyikan waima kepada anaknya yang bongsu walaupun masih kecil.
Biarpun masih kecil untuk benar-benar memahami sepenuhnya apa yang berlaku, sebagai ibu, menjadi tugasnya bukan hanya memberikan kasih sayang, tetapi juga keberanian untuk berterus terang akan situasi sebenar.
“Saya cuba terangkan bahawa pilihan yang diambil itu bukan suka-suka namun itu (keputusan) yang membuatkan ibu mereka (saya) lebih bahagia dengan kehidupan sekarang.
“Alhamdulillah, anak-anak boleh menerima. Jika nampak saya sedih atau ‘down‘ mereka akan datang memeluk dan menenangkan,” ceritanya dengan mata yang sedikit berkaca.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/3011487.jpg)
Diambang kemurungan
Jelasnya lagi, selain anak-anak, ahli keluarga turut menjadi tulang belakang dan sistem sokongan yang terbaik buat dirinya.
“Mereka (keluarga) banyak memberikan sokongan dan meminta saya untuk fokus pada anak-anak dan bisnes. Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang yang tak henti mendoakan saya,” tambahnya lagi.
Berkongsi cerita dengan media baru-baru ini, Zahnita mengakui pengalaman pahit yang menimpa 2019 membawa dirinya ke titik terendah dalam hidupnya.
Ketika itu, beliau berada di ambang kemurungan sehingga hampir menyerahkan diri ke wad psikiatri.
“Terus terang saya pernah ke wad psikiatri dihantar oleh suami ketika itu untuk mendapatkan rawatan.
“Namun, bila di sana, saya lihat ada lagi orang lain (pesakit) yang nasibnya lebih teruk daripada saya. Lantaran itu, saya membatalkan hasrat untuk mendapatkan rawatan,” ujar beliau.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/3011483.jpg)
Tambahnya lagi, pengalaman itu menjadi titik perubahan dalam hidupnya bahawa masih ada jalan untuk bangkit.,
“Saya memilih untuk kembali ke rumah dan mencari ketenangan dengan membaca al-Quran serta berdoa kepada ALLAH.
“Selain itu, saya juga banyak menghabiskan masa di taman, menikmati alam semula jadi untuk mendamaikan hati. Ia benar-benar membantu saya bertenang dan menyusun semula kekuatan diri.
“Alam ini adalah ciptaan ALLAH yang sangat indah. Bila rasa diri ‘berat‘, saya ingatkan diri bahawa DIA ada bersama dalam setiap langkah,” jelasnya.
Kini, Zahnita memilih untuk fokus kepada perkara yang memberinya kebahagiaan.
Beliau tidak mahu membiarkan luka lama menghalang kebahagiaan masa depan.
“Kepada wanita-wanita di luar sana yang senasib dengan saya, dan masih lagi takut untuk ‘move on‘, nasihat saya, jangan terus biarkan diri anda menderita dengan membuat kesilapan yang sama,” tegasnya.
Pemilik nama sebenar, Zahnita Dorothy Hussein Wilson itu kini menemui kebahagiaan baharu dalam dunia perniagaan.
Dengan pengalaman mengusahakan kedai nasi campur sebelum ini, beliau mula fokus dalam bisnes pai secara dalam talian.
“Bisnes ini punca rezeki untuk diri saya sekeluarga. Tambahan pula, saya memang minat berniaga dari dahulu lagi,” jelasnya.
Perniagaan Humble Pie yang diusahakan wanita berusia 39 tahun itu kian mendapat sambutan.
“Saya dapat banyak maklum balas positif, dan itu membuatkan diri rasa dihargai. Saya percaya ini juga salah satu rezeki yang ALLAH susun untuk saya dan anak-anak,” katanya dengan senyuman.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/3011664.jpg)
Memeluk hikmah
Selain itu, model dan pelakon Malaysia berdarah kacukan Melayu dan New Zealand itu sebelum ini merasakan, bidang seni bukan lagi rezekinya.
Namun, terbaharu, Zahnita dilantik Wajah Baharu Raya 2025 NR Cosmetics.
“Saya sedikit menyesal kerana pernah menolak peluang sebelum ini. Pun begitu, saya belajar dari kesilapan. Rupa-rupanya masih ada rezeki saya,” katanya tatkala ditanya kenapa memilih untuk kembali ke industri seni.
Beliau melihat peluang itu bukan sahaja sebagai platform untuk kembali aktif dalam dunia seni tetapi juga sebagai cara untuk menginspirasi wanita lain agar tidak berputus asa dalam mengejar impian.
“Kita tidak tahu apa yang ALLAH rencanakan. Kadang-kadang pintu yang tertutup itu sebenarnya membawa kita ke jalan yang lebih baik,” ujarnya penuh makna.
Memeluk hikmah di sebalik ujian, akui empunya diri, walaupun masih trauma dengan apa yang menimpa diri, Zahnita selesa dengan kehidupan sekarang. Fokus dalam bisnes dan pada masa sama tetap bahagia di samping anak-anak.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/3011484.jpg)
Menyentuh mengenai kes rumah tangga beliau yang menjadi perhatian ramai, tidakkah timbul rasa malu dengan apa yang berlaku? Ini jawapan beliau.
“Bukan soal malu yang dirasai, namun lebih kepada kesedihan,” tegasnya.
Kata Zahnita, keputusan yang beliau ambil itu diakui membuatkan ramai yang sedih dan menangis, namun itulah yang terbaik untuk dirinya.
“Saya tak menyesal dengan apa yang berlaku dalam diri terutama dalam hal perkahwinan sebelum ini.
“Mungkin ada hikmah dengan apa yang Tuhan berikan kepada saya untuk melalui semua ini.
“Setakat ini status masih lagi isteri orang, namun saya berharap mungkin dalam masa terdekat ini kes kami selesai tanpa sebarang masalah,” ungkap Zahnita lagi.
Kesempatan itu juga, penulis memintanya berkongsi sambutan Ramadan yang semakin menghampiri.
Jelas anak kelahiran New Zealand itu, tiada sebarang perbezaan dengan sambutan sebelum ini.
Cuma, beliau bakal sibuk memandangkan harus melakukan persiapan untuk membuka gerai di bazar Ramadan nanti.
Sementelah katanya, pai yang diusahakan itu semakin mendapat permintaan tinggi.
“Pada masa sama, tanggungjawab sebagai ibu tetap sama dalam membantu anak-anak bangun sahur dan bersedia ke sekolah,” katanya dengan ketawa kecil.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/17/3011663.jpg)
Sebelum tirai perbualan berlabuh, sempat penulis lontarkan persoalan akan adakah kemungkinan kembali ‘berdamai‘ dengan suaminya?
“Saya hanya akan setuju untuk berdamai demi anak-anak tetapi bukan akan kembali bersama seperti dulu kerana itu adalah sesuatu yang tidak akan berlaku,” tegasnya ringkas namun cukup bermakna.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang