Tya Arifin sayu lihat Arif & Ara mula bersekolah, pesan luang masa dengan anak-anak: ‘Hari ini takkan sama esok’

No Image Caption
A
A
A

DETIK yang selalu ditunggu, namun tetap buat hati seorang ibu tersentuh.

Begitulah perasaan yang dirasai usahawan dan pempengaruh terkenal, Tya Arifin, apabila menyaksikan dua anak kesayangannya kini melangkah ke alam persekolahan. Satu fasa baharu yang sarat dengan emosi dan kenangan.

Menerusi perkongsian di Instagram, Tya memuat naik foto anaknya, Arif Jiwa Asyraf dan Azzahra Jiwa Asyraf atau mesra dipanggil Ara.

Masing-masing tampil segak dan manis mengenakan seragam sekolah. Momen ringkas itu sudah cukup membuatkan hati seorang ibu dilanda rasa sayu, bercampur bangga.

Menurut Tya, masa berlalu terlalu pantas hingga dia sendiri tidak menyedari anak-anak yang dahulu masih kecil kini sudah membesar di depan mata.

“Dulu ingat lagi, saya yang duduk di bangku sekolah itu… tapi sekarang kita pula yang hantar anak ke sekolah,” luahnya penuh nostalgia.

Tambahnya lagi, hari pertama persekolahan itu cukup menyentuh perasaan apabila Arif kini berada di darjah tiga, manakala Ara pula memulakan langkah sebagai murid darjah satu.

“Hari pertama persekolahan. Ara darjah 1 dan Arif darjah 3.

"Perasaan sayu sebab cepat betul masa berlalu. Baru rasa kelmarin pipipao dan bocil main sama-sama.

“Rasa baru je mereka gaduh rebut mainan. Rasa baru je Arif puk-puk bagi Ara tidur, sekarang dah pergi sekolah sama,” tulisnya jujur dari hati.

No Image Caption

Menghargai detik bersama

Bukan sekadar berkongsi emosi seorang ibu, Tya atau nama penuhnya Nurtria Wulandari Arifin turut menitipkan pesanan bermakna buat semua ibu bapa agar menghargai setiap detik bersama anak-anak.

“Percayalah, selagi ada waktu dengan mereka, luangkan sebaik dan sebanyaknya.

"Kerana mereka hari ini takkan sama di hari esok,” ungkapnya penuh makna.

Dalam perkongsian sama, Tya turut mendoakan agar Arif dan Ara membesar menjadi insan yang soleh dan soleha, bijak serta sentiasa berbakti kepada keluarga.

Untuk rekod, Tya mendirikan rumah tangga bersama Asyraf Khalid pada 1 November 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Arif Jiwa (8), Azzahra Jiwa (6) dan si bongsu Aghnia Amira Jiwa yang kini berusia setahun.

Momen kecil seperti menghantar anak ke sekolah, rupanya mampu menjadi kenangan besar dalam hidup seorang ibu, penuh rasa syukur, rindu dan cinta yang tak berpenghujung.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang