Sedut lemak bukan jalan singkat untuk kurus! Perlu amal gaya hidup sihat

No Image Caption
A
A
A

PROSEDUR sedut lemak telah lama diperkenal dalam dunia perubatan iaitu sejak 1978 dan mula mendapat sambutan sekitar tahun 1980.

Ramai kaum wanita dan tidak kurang juga segelintir lelaki yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik.

Lebih-lebih lagi zaman sekarang, yang mana terdapat banyak kes penurunan berat badan yang ketara, menerusi pembedahan bariatrik dan sebagainya.

Pakar Plastik, Pembedahan Rekonstruktif dan Estetik di MSU Medical Center, Dr Siti Muyassarah Rusli dalam satu sesi temu bual memberikan definisi sedut lemak (liposuction) sebagai salah satu rawatan perkonturan badan yang mana menggunakan teknik pecah lemak di bawah kulit dan kemudian lemak itu disediakan oleh satu mesin sebagai targered area treatment untuk dikecilkan.

No Image Caption

“Tidak dinafikan ada orang sedut lemak untuk kecantikan. Malah, di dalam pembedahan rekonstruktif pun ada menggunakan teknik ini. Dalam sesetengah kes, ia lebih kepada fungsi untuk menghilangkan ketumbuhan atau benjolan lemak yang tidak normal kepada normal.

“Sementara pembedahan estetik pula berkisar kepada soal kecantikan yang melebihi apa yang normal. Maksudnya, walaupun sudah cantik ataupun normal, tetapi masih ada yang mahu nampak lebih lagi.

“Disebabkan itu juga, timbul keadaan yang mana ia boleh bertindih iaitu dalam pembedahan rekonstruktif ada juga elemen estetik,“ kata beliau.

Perkonturan atau sedut lemak

Tambah Dr Muyassarah lagi, individu yang menjalani rawatan perkonturan atau sedut lemak itu antaranya disebabkan oleh mereka mempunyai lebihan atau geleberan kulit dan lemak yang sangat teruk sehingga mendatangkan masalah kesihatan.

“Contohnya, melecet di bawah kulit, mendatangkan jangkitan kuman dan fungus. Ia adalah satu isu kesihatan yang objektif yang mana apabila doktor membuang lemak dan kulit itu, sekali gus membantu pesakit itu mencapai satu matlamat kesihatan yang nyata dan seperti yang diinginkan.

“Dalam prosedur itu juga ada elemen yang mana dia juga mendapat perkonturan badan dan lebih kurus. Maksudnya dua dalam satu, kesihatan dan kecantikan,“ jelas beliau.

Lain pula bagi sesetengah kes kata beliau, individu berkenaan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan tetapi di matanya ada sesuatu yang tidak cantik pada diri.

Keadaan ini membuatkan mereka rasa keyakinan diri rendah atau dirinya tidak nampak elok jika mengenakan mana-mana pakaian. Disebabkan itu, mereka akhirnya bertindak untuk menjalani rawatan perkonturan. Situasi ini lebih kepada kosmetik.

Dalam pada itu, ada juga wanita yang mengalami perubahan selepas melahirkan anak memilih untuk menjalani rawatan itu. Walaupun kesihatan tidak terjejas, namun perbezaan yang ketara terhadap tubuh badan membuatkan mereka tidak boleh menerima situasi tersebut.

Mengulas lanjut berkenaan proses pengkonturan, terdapat beberapa bahagian tubuh yag boleh disasarkan. Antaranya leher, lengan, badan, perut, peha dan betis.

Pun begitu, ia bergantung kepada seseorang individu tersebut untuk mensasarkan bahagian mana yang menjadi pilihan atau bermasalah. Oleh itu, tidak perlu melibatkan semua bahagian tubuh badan.

“Kecantikan seseorang bergantung kepada pandangan masing-masing. Sesetengah orang, mungkin bahagian betis atau pinggul mereka sudah memuaskan hati.

“Namun, berbeza pula dengan individu lain yang mana mereka tidak dapat menerima sesuatu keadaan itu. Malah turut rasa kurang selesa dengan bentuk badan mereka.

“Jadi, semua itu subjektif. Oleh yang demikian, kita perlu mengambil kira semua aspek tersebut dan tidak boleh memberikan rawatan yang sama kepada semua orang,“ tambah Dr Muyassarah.

No Image Caption

Daripada perkongsian info dari segi matlamat, pakar itu kemudiannya merujuk pula kepada sudut kesihatan.

Menurut beliau, jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan kronik seperti masalah paru-paru, jantung yang lemah atau penyakit lain yang boleh menjejaskan proses penyembuhan luka, mereka mungkin tidak sesuai untuk menjalani pembedahan kosmetik yang tidak begitu diperlukan ini.

“Jadi, pertimbangan yang sewajarnya perlu dilakukan dari aspek kemudaratan, risiko dan kebaikan. Selepas itu, barulah membuat keputusan berdasarkan keperluan seseorang individu itu,“ ujarnya.

Berkongsi lanjut, beliau berkata proses perkonturan badan bermula daripada kaedah tidak invasif (bukan pembedahan) sehingga kepada pembedahan. Ada kaedah tidak invasif, minimal invasif, dan pembedahan yang sepenuhnya invasif.

“Namun ia bergantung kepada apa yang diperlukan dan mana yang lebih sesuai berdasarkan faktor untuk memilih kaedah terbaik bagi pesakit. Sekiranya pesakit terlalu takut untuk menjalani pembedahan, sudah tentu terdapat pilihan seperti kaedah tidak invasif yang menggunakan teknologi dan peralatan terkini.

“Pun demikian, hasilnya mungkin kurang ketara. Semakin rendah tahap invasif, risikonya yang perlu ditanggung juga rendah dan begitu juga sebaliknya. Jadi, kita perlu menimbang pilihan mana yang sesuai dari segi kesihatan pesakit, apa yang mereka inginkan dan mana yang paling sesuai,“ jelas pakar itu lagi.

Beliau turut menambah, memandangkan rawatan berkenaan menjurus kepada prosedur kosmetik, seseorang pesakit itu perlu melebihi umur yang ditetapkan iaitu 18 tahun ke atas. Namun, terdapat kes-kes tertentu yang memerlukan rawatan rekonstruktif dijalankan ke atas pesakit bawah umur.

“Contohnya, bagi pesakit dengan lipodistrofi (lipodystrophy) yang mana sesetengah individu dilahirkan dengan benjolan lemak yang tidak normal.

“Benjolan ini boleh muncul di bahagian badan, tangan, atau kaki dan kelihatan pelik bagi pesakit tersebut. Salah satu cara rawatannya adalah dengan sedut lemak. Tetapi, jika untuk tujuan kosmetik, biasanya kita nasihatkan agar pesakit berusia 18 tahun ke atas,“ kongsinya.

Kata pakar itu lagi, ada segelintir pesakit yang mengalami berat badan berlebihan dan memilih untuk menjalani rawatan demi mendapatkan keselesaan berbanding sekadar kecantikan.

“Sebagai contohnya, apabila badan geleber, mereka sukar untuk berjalan dan bersenam kerana kulit bergesel. Justeru, prosedur ini menjadi penting dan jatuh dalam kategori yang kita panggil sebagai ‘grey line‘ kerana ada elemen rekonstruktif kosmetik,“ ujarnya.

No Image Caption

Pemakanan dan gaya hidup

Mengulas lanjut berkenaan pengkonturan badan, ada juga segelintir yang menganggap ia sebagai cara menurunkan berat badan secara keseluruhan.

“Penting untuk ditekankan di sini bahawa, kaedah tersebut memberi fokus kepada kawasan tertentu sahaja. Jadi, ia bukan tentang menurunkan berat badan keseluruhan badan sehingga menjadi lebih kurus.

“Dalam masa sama, proses rawatan itu menumpukan pada kawasan yang tertentu, seperti perut atau lengan. Hasilnya, kita akan nampak lebih kurus, tetapi bukan bermaksud jika buang lemak pada bahagian perut berkenaan, berat badan akan turun secara keseluruhan sebanyak mana berat lemak yang dibuang,“ ujar beliau.

Tambah pakar itu lagi, jika seseorang mempunyai lemak di perut yang beratnya lapan kilogram, secara logiknya, bila ia dibuang, berat tersebut akan berkurangan.

“Pun begitu, jika seseorang bertanya untuk menurunkan lapan kilogram dengan hanya membuang lemak perut, itu tidak berfungsi dengan cara demikian.

“Pengkonturan badan akan membuatkan anda lebih kecil di kawasan yang disasarkan, tetapi bukan secara keseluruhan,“ ujar pakar itu lagi.

Justeru diet dan gaya hidup sihat perlu dititikberatkan, terutama selepas melakukan pembedahan tersebut.

“Walaupun lemak yang disedut akan hilang secara kekal, lemak yang tinggal masih boleh membesar jika tidak dijaga dengan baik.

“Jadi, jika tidak menjaga pemakanan dan gaya hidup sihat, anda mungkin akan mengalami peningkatan berat badan semula,“ ujarnya menutup perbualan bersama SinarPlus.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang