Kesedaran baharu atau obsesi? Dr terangkan realiti rawatan bariatrik dan gaya hidup
FENOMENA rawatan bariatrik kini semakin menjadi topik hangat, bukan sahaja dalam kalangan pesakit obesiti, tetapi juga di media sosial.
Ramai mula melihat ia sebagai jalan baharu menuju tubuh idaman.
Namun, menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HIM Wellness Sdn Bhd, Dr Ahmad Samhan Awang, trend tersebut perlu dilihat secara seimbang antara keperluan kesihatan dan obsesi untuk kurus segera.

“Terus terang, dua-dua ada. Dari satu sisi, bagus bila makin ramai mula ambil berat tentang kesihatan. Cuma, apabila rawatan bariatrik dilihat sebagai 'jalan pintas' untuk kurus tanpa usaha, ia boleh jadi bahaya,” jelasnya.
Bariatrik bukan rawatan kosmetik, sebaliknya prosedur perubatan untuk membantu pesakit obesiti serius yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35 hingga 40, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi terhadap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung.
Menurut Dr Ahmad Samhan, pengaruh selebriti memberi kesan besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap rawatan bariatrik.
Namun, mesej kesihatan sering kali tersasar apabila tumpuan hanya diberi kepada hasil 'sebelum dan selepas' tanpa mendedahkan proses sebenar di sebaliknya.
“Kita nampak lepas pembedahan terus kurus dan bahagia, padahal perjalanan selepas bariatrik sangat mencabar.
“Pesakit kena ubah cara makan, rutin harian, malah perlu pemantauan pakar nutrisi dan psikologi,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi, selepas pembedahan bariatrik, hormon dalam badan seperti ghrelin dan leptin yang mengawal rasa lapar dan kenyang turut berubah.

Perubahan itu bukan sahaja mempengaruhi selera makan, tetapi juga kestabilan emosi.
Sesetengah pesakit boleh mengalami kemurungan atau rasa kehilangan identiti apabila berat badan turun dengan cepat.
Di hospital bertauliah, pemantauan psikologi sudah menjadi sebahagian daripada pelan rawatan. Tetapi di banyak tempat, ia masih belum menyeluruh. Ini perkara yang perlu diperbaiki,” ujarnya.
'Potongperut'
Dr Ahmad Samhan menegaskan bahawa rawatan bariatrik bukan sekadar 'potong perut', sebaliknya melibatkan transformasi menyeluruh dari segi fizikal, mental dan emosi. Malah, sistem kesihatan negara katanya masih berada dalam fasa penyesuaian terhadap peningkatan kes bariatrik.
Walaupun Malaysia mempunyai pakar bedah bariatrik berpengalaman, jumlah mereka masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Kita perlukan lebih banyak latihan, protokol standard dan pasukan multidisiplin termasuk pakar nutrisi, psikologi dan perubatan dalaman supaya rawatan ini benar-benar selamat dan efektif,” ungkapnya.
Malah kata beliau lagi, ada pesakit yang mengalami kenaikan berat semula selepas dua atau tiga tahun menjalani bariatrik.
Namun pakar itu menolak istilah 'gagal' kerana obesiti merupakan penyakit kronik yang memerlukan pemantauan jangka panjang.
“Bariatrik hanyalah alat bantu. Ia beri permulaan, tetapi gaya hidup sihat yang menentukan kejayaan jangka panjang.
"Kalau pesakit kembali ke tabiat lama, hasilnya memang tidak akan kekal,” jelasnya.
Selain cabaran fizikal, tekanan sosial juga menjadi isu besar bagi pesakit selepas pembedahan.

“Masyarakat kita cepat menilai. Dulu diejek sebab gemuk, sekarang bila sudah kurus, tertekan pula sebab kena kekal begitu.
"Saya percaya bimbingan emosi dan komuniti sokongan amat penting supaya pesakit tidak terperangkap dalam kitaran tekanan bentuk badan,” ujarnya.
Beliau berkata, kesihatan sebenar bukan diukur pada angka di penimbang, tetapi keseimbangan fizikal, mental dan sosial.
Malah kongsi pakar itu lagi, rawatan bariatrik bukan simbol kemewahan, sebaliknya lambang keberanian untuk berubah.
“Jangan pandang ia sebagai rawatan orang kaya. Ini tentang peluang untuk hidup lebih lama, lebih sihat dan lebih yakin.
“Kalau mahu kurus, biarlah kerana ingin sihat, bukan kerana mahu dilihat sempurna di depan kamera.
“Kesihatan sebenar bukan kerana muat baju saiz S, tetapi apabila jantung, hati dan minda kita tenang serta berfungsi dengan baik,”ulas beliau lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
