Bola sepak berjalan: Senaman santai tapi luar biasa, bantu kuatkan jantung, hilangkan stres & kekalkan gaya hidup sihat
MODENISASI dunia bukan sahaja mengubah cara hidup, malah membuka laluan kepada pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Gaya hidup sedentari menjadi antara punca utama kerana ia menyebabkan tubuh kurang bergerak dan mudah mengalami masalah kesihatan jangka panjang.
Justeru, senaman yang mudah, selamat dan sesuai untuk semua peringkat umur amat diperlukan bagi mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental.
Salah satu pendekatan yang kini semakin mendapat perhatian ialah bola sepak berjalan.
Seperti namanya, permainan ini adalah versi bola sepak yang dimainkan dengan berjalan, tanpa larian laju atau sentuhan fizikal agresif.
Walaupun kelihatan sederhana, aktiviti ini menawarkan pelbagai manfaat kesihatan, terutamanya bagi golongan dewasa pertengahan umur dan warga emas yang ingin kekal aktif tanpa risiko kecederaan tinggi.
Menurut Pakar Fisiologi Senaman ntarabangsa, Dr Dee Dee Mahmood, bola sepak berjalan bukan sekadar sukan santai.

Ia merupakan intervensi kesihatan yang mampu menurunkan risiko penyakit tidak berjangkit, mengawal berat badan, dan meningkatkan kualiti hidup peserta secara menyeluruh.
“Ia bukan sahaja tentang membakar kalori, tetapi juga mengenai meningkatkan stamina, keseimbangan dan kekuatan otot,” jelas beliau.
Beliau yang juga Presiden Walking Football4Health Global berkata demikian ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.
MENYOKONG KESIHATAN
Aktiviti tersebut turut memberi manfaat kardiovaskular secara selamat. Berjalan berterusan dalam suasana menyeronokkan dapat memperbaiki peredaran darah, mengawal tekanan darah, dan menguatkan jantung.
Beliau turut menekankan bahawa senaman tidak semestinya ekstrem untuk berkesan.
“Ramai yang beranggapan senaman mesti lasak untuk nampak hasil. Sebenarnya, berjalan dalam bentuk permainan berpasukan sudah mencukupi dan lebih menyeronokkan kerana dilakukan bersama rakan,” katanya.
Malah kongsinya lagi, bola sepak berjalan memberi latihan kepada otot dan sendi tanpa memberi tekanan berlebihan.
Pergerakan mengawal bola, menendang perlahan, dan bergerak di padang membantu meningkatkan fleksibiliti, koordinasi, dan kestabilan tubuh.
Golongan warga emas mendapat manfaat besar daripada aktiviti ini. Risiko jatuh berkurangan kerana keseimbangan tubuh lebih baik, postur bertambah baik dan otot kaki menjadi lebih kuat.

Manfaat psikologi juga tidak kurang pentingnya. Bermain dalam kumpulan memberi peluang berinteraksi, membina jaringan sosial, dan mengurangkan rasa terasing.
Kajian menunjukkan bahawa aktiviti berpasukan seperti ini mampu mengurangkan stres, meningkatkan mood, dan menyokong kesihatan mental secara keseluruhan.
“Selain itu, permainan tersebut boleh diadaptasi mengikut kemampuan peserta.
“Sesi boleh dimulakan secara santai selama 20 hingga 30 minit beberapa kali seminggu di padang rata dengan peraturan mudah,” jelasnya lagi.
Pendekatan ini menjadikannya inklusif, sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang baru pulih daripada masalah kesihatan atau yang mempunyai tahap kecergasan berbeza.
Dalam perkongsian yang sama, beliau yang juga Felo Elit Universiti Malaya dan Profesor Adjunct di Edith Cowan University, Australia menambah, pasukan bola sepak berjalan Malaysia bakal menjadi kontinjen terbesar di Bali World Congress & Championship 2025 pada 28–30 November.

Kejohanan berprestij tersebut merupakan anjuran Walking Football4Health Global dengan sokongan Walking Football Federation Australia, Walking Football Portugal, Edith Cowan University Australia dan Universitas Pendidikan Ganesha Bali.
Turut serta program berkenaan adalah peserta dari beberapa negara termasuk Singapura, Australia, Korea, Jepun, dan beberapa pemain Eropah.
"Penyertaan kontinjen Malaysia menunjukkan bahawa bola sepak berjalan bukan sahaja menjadi riadah tempatan, malah semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai aktiviti sihat untuk semua peringkat umur," ujarnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
