Bukan sebab kolagen atau otot semata — ada punca lain wajah nampak tua

No Image Caption
A
A
A

SIAPA sangka, rahsia wajah yang tampak muda dan segar bukan semata-mata kerana kulit yang tegang atau otot yang kuat, tetapi berpunca daripada sesuatu yang tersembunyi di bawahnya, iaitu lemak wajah.

Dalam dunia perubatan, lapisan ini dikenali sebagai facial fat pads dan fungsinya jauh lebih penting daripada yang disangka.

Menurut Doktor Estetik, Dr Rushmini Maris Ismail, wajah manusia mempunyai lapisan lemak semula jadi yang bertindak sebagai pelindung, penyerap hentakan dan pemberi bentuk kepada wajah.

“Apabila usia meningkat, lapisan lemak ini mula mengecil, berpindah tempat atau menjadi keras. Inilah yang menyebabkan pipi jatuh, bawah mata tenggelam dan struktur wajah berubah daripada asal,” ujarnya.

Katanya lagi, struktur anatomi wajah manusia sebenarnya sangat kompleks. Ia terdiri daripada beberapa kompartmen lemak yang berlapis. Ada yang berada betul-betul di bawah kulit, manakala sebahagiannya lebih dalam berhampiran otot dan tulang.

No Image Caption

“Lapisan-lapisan ini bukan sekadar mengisi ruang, tetapi menjadi ‘kusyen semula jadi’ yang menentukan bentuk dan keseimbangan wajah.

“Bila kusyen itu berubah, keseluruhan wajah turut berubah,” kongsi beliau lagi.

Apabila usia meningkat, kadar metabolisme tisu lemak juga berkurangan. Lemak mula menyusut di bahagian tertentu seperti pipi atas dan bawah mata, sementara bahagian rahang atau bawah dagu pula menunjukkan pengumpulan lemak yang tidak sekata.

Keadaan itu menjadikan wajah kelihatan jatuh dan tidak seimbang, antara tanda penuaan struktur dalaman, bukan sekadar masalah kulit luaran.

“Selama ini ramai percaya penuaan berlaku kerana otot mula tegang atau kulit kehilangan kolagen.

“Sedangkan hakikatnya, struktur dalaman yang berubah memainkan peranan paling besar terhadap seri dan bentuk muka kita,” katanya menekankan penuaan wajah perlu difahami dari dalam, bukan hanya dilihat di permukaan.

Ramai menyangka kedutan dan garis halus berpunca daripada kehilangan kolagen atau pendedahan cahaya matahari semata-mata. Walaupun faktor tersebut benar, hakikatnya perubahan lemak dan otot wajah turut memainkan peranan besar.

“Apabila sokongan dari dalam hilang, kulit yang masih elastik sekalipun akan mula mengendur. Ini sebabnya seseorang yang menjaga kulit dengan baik pun boleh nampak tua jika struktur lemak wajahnya berubah,” jelasnya lagi.

No Image Caption

MEMULIHKAN ANATOMI ASAL

Dalam dunia perubatan estetik moden, pendekatan rawatan kini beralih kepada konsep pemulihan struktur dalaman wajah.

Pendekatan seperti fat grafting (pemindahan lemak autologus), biostimulator dan teknologi gelombang mikro digunakan bagi mengembalikan bentuk semula jadi tanpa pembedahan besar.

“Rawatan moden bukan bertujuan mengubah wajah, tetapi membantu memulihkan anatomi asalnya.

“Setiap wajah memiliki susunan lemak yang unik. Prinsip rawatan sebenar adalah menghormati struktur semula jadi, bukan menggantikannya,” kata pakar dari Marissa Aesthetic Group itu lagi.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai berhati-hati dengan rawatan segera yang menjanjikan kesan tegang serta-merta.

“Proses pemulihan semula jadi memerlukan masa dan ketepatan anatomi.

“Dalam bidang estetik, kita tidak mengejar perubahan pantas, tetapi keseimbangan jangka panjang yang sihat,” tegasnya lagi.

No Image Caption

Selain rawatan klinikal, gaya hidup sihat turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan tisu lemak subkutaneus.

Pemakanan seimbang, tidur mencukupi, hidrasi yang baik dan pengawalan stres membantu memelihara metabolisme lemak wajah.

Senaman ringan seperti ekspresi muka atau facial yoga juga mampu merangsang aliran darah dan menyokong keanjalan dalaman.

“Awet muda bukan sekadar nampak muda di luar, tetapi bermula daripada pemahaman terhadap struktur biologi yang menyokong wajah kita,” ungkap pakar itu lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang