Dapatkan suntikan HPV elak kanser serviks! Baik kesan awal sebelum terlambat
KANSER serviks atau kanser pangkal rahim merupakan salah satu penyakit yang signifikan dalam kalangan wanita di Malaysia.
Memetik Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, ia merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita muda di Malaysia selepas kanser ovari dan payudara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 peratus kes dikesan pada tahap tiga atau empat.
Kelewatan dalam pengesanan kanser ini memberi cabaran tambahan dalam usaha rawatan dan pemulihan kepada individu yang dijangkiti.
Menurut Perunding Obstetrik & Ginekologi di Damansara Specialist Hospital 2, Dr Haliza Kamarudin, kanser ini bermula dari pangkal rahim. Ia disebabkan oleh sejenis jangkitan virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV).
“Ramai yang keliru tentang beza antara rahim dan pangkal rahim. Rahim adalah tempat yang mana wanita boleh mengandung, manakala pangkal rahim adalah pintu masuk ke rahim. Jadi, pangkal rahim inilah yang kita perlu pantau,” kata beliau.
Tambah Dr Haliza, virus ini boleh dijangkiti melalui hubungan kelamin. Jika seorang wanita itu sihat, 40 peratus daripada mereka yang dijangkiti HPV boleh sembuh secara semula jadi.
Namun, jika virus itu kekal dalam tempoh bertahun-tahun dan sistem imun tidak dapat melawannya, ia boleh menyebabkan kanser serviks.
Selain disebabkan oleh hubungan kelamin, wanita yang tidak pernah bersama juga boleh berisiko jika mempunyai masalah imuniti atau imuniti yang rendah.
Tanda-tanda awal kanser serviks yang selalu doktor dapati termasuklah:
- Pendarahan luar biasa dari faraj, seperti selepas hubungan kelamin atau di antara kitaran haid. Contohnya, sebelum ini tidak pernah alami masalah kitaran haid tetapi tiba-tiba keluar darah. Selain itu, berlaku pendarahan kepada wanita yang sudah menopaus.
- Keputihan yang berbau busuk atau bercampur darah.
- Sakit di bahagian bawah perut atau ketika bersama.
- Kencing berdarah atau sakit semasa kencing.
Oleh itu, jika sudah ada tanda-tanda ini, segeralah melakukan saringan. Terdapat dua jenis ujian saringan iaitu PEP smear atau ujian HPV DNA.
Sehingga tahun 2023, seramai 282,076 orang wanita di Malaysia telah menjalani ujian.
Tiga peratus daripadanya telah didapati HPV positif dan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.
“Secara tradisional, kebanyakan fasiliti membuat ujian PEP smear sahaja.
“Namun begitu, dengan teknologi yang terbaharu dan lebih tepat, kita menggunakan ujian tambahan yang bernama HPV DNA.
“Bila lakukan kedua-dua ujian ini bersama, ia akan memberikan kita maklumat sama ada seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat kanser pangkal rahim,” kata beliau.
Tambah Dr Haliza, untuk pesakit yang disyaki mempunyai kanser selepas ujian saringan, langkah seterusnya adalah menjalani ujian pengesahan (confirmation test).
Kemudian, mereka akan berdepan dengan satu lagi prosedur yang dikenali sebagai colposcopy.
Ia adalah satu prosedur memasukkan kamera ke bahagian pangkal rahim untuk memeriksa kawasan tersebut menggunakan mikroskop.
Prosedur ini sangat membantu kerana melalui mikroskop itu, kita boleh melihat kawasan yang bermasalah dengan lebih jelas dan mengambil sampel biopsi, iaitu tisu dari pangkal rahim. Sampel ini kemudian akan dihantar ke makmal untuk ujian diagnostik.
Penting diagnos awalSelain itu, beberapa ujian lain termasuk ujian Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan) dilakukan.
“Kanser pangkal rahim ini biasanya mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang. Mungkin dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, bergantung kepada tahap imuniti pesakit.
“Justeru, penting untuk pesakit datang awal menjalani ujian saringan supaya dapat mengenal pasti dan diagnos lebih awal.
“Sekiranya rawatan lebih awal, insya-ALLAH kanser pangkal rahim itu tidak akan melarat. Jika sudah terlambat, kanser tahap empat merebak ke paru-paru atau organ berhampiran, rawatan menjadi sangat terhad dan tidak banyak yang boleh kita lakukan,” ujar pakar itu lagi.
Ujian saringan
Ramai wanita berasa takut untuk menjalani ujian Pap smear. Namun begitu, dengan adanya teknologi ujian HPV DNA, wanita boleh melakukannya sendiri di rumah.
Caranya adalah dengan menggunakan alat swab seperti putik kapas panjang yang dimasukkan ke dalam faraj untuk mengambil sampel. Sampel tersebut kemudiannya dihantar untuk ujian.
Dengan kemajuan teknologi berkenaan, pesakit tidak lagi perlu menggunakan alat spekulum (muncung itik) yang sering menjadi sebab wanita takut untuk membuat ujian.
Tambahan pula, agensi kerajaan dan NGO turut memainkan peranan penting dengan menyediakan fasiliti untuk ujian HPV DNA ini. Mereka juga proaktif dengan pergi ke kawasan flat Program Perumahan Rakyat (PPR) atau komuniti yang kurang berkemampuan untuk menawarkan ujian saringan ini secara langsung.
Langkah berkenaan membantu memastikan lebih ramai wanita dapat menjalani ujian saringan, tanpa perlu datang ke fasiliti kesihatan.
Dalam pada itu, wanita yang berusia 30 tahun ke atas juga digalakkan menjalani ujian tersebut.
Walau bagaimanapun, mereka yang di bawah umur sedemikian mempunyai risiko tertentu juga boleh menjalani ujian ini termasuklah mereka yang pernah aktif secara seksual.
“Jika keputusan ujian adalah negatif, wanita tersebut hanya perlu mengulang ujian tersebut dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Ini berbeza dengan kaedah Pap smear tradisional, yang perlu dilakukan setiap tahun,” ujarnya.
Program vaksinasi
Sementelah itu, terdapat dua jenis vaksin utama, iaitu Gardasil 9 yang melindungi daripada sembilan jenis virus HPV dan Cervarix, yang melindungi daripada empat jenis virus HPV.
Di Malaysia, sebelum pandemik COVID-19, kerajaan telah memperkenalkan program vaksinasi dipanggil Human Papilloma HPV Vaccine (vaksinasi HPV) untuk remaja perempuan berumur 13 hingga 14 tahun di sekolah dan mereka diwajibkan untuk ambil.
Namun, selepas pandemik, program vaksinasi ini mungkin dimulakan semula.
“Semua wanita boleh mengambil vaksin HPV ini, tetapi sangat digalakkan ambil sebelum memulakan aktiviti seksual.
“Sebab itu, ia biasanya diberikan kepada anak-anak gadis dan remaja perempuan,” ujar beliau.
Namun, bagi wanita yang sudah berkahwin atau sudah mempunyai hubungan seksual, mereka masih boleh mengambil vaksin HPV ini untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan HPV juga.
Sebelum menutup perbualan, Dr Haliza menasihati golongan wanita supaya jangan takut untuk berjumpa dengan pakar ginekologi lebih awal.
“Jika ada sebarang perubahan dalam kitaran haid atau mengalami masalah pada bahagian peranakan, segera dapatkan pemeriksaan.
“Diagnos awal memudahkan kaum wanita untuk mendapatkan rawatan dengan lebih cepat.
“Ujian HPV DNA ini juga tersedia di sektor swasta. Kebanyakan pakar ginekologi di hospital dan klinik swasta mempunyai fasiliti untuk menjalankan ujian ini,” ujarnya lagi
Di sektor kerajaan pula, penyediaan ujian HPV DNA mungkin bergantung kepada fasiliti di kawasan tersebut.
Contohnya, Kuala Lumpur dan Selangor mungkin mempunyai akses kepada ujian ini, tetapi di negeri-negeri lain, mungkin masih terhad.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang