Selangor Fashion Week 2025: 150 Model, 20 jenama satukan fesyen moden & tradisi sempena Deepavali
SELANGOR Fashion Week (SFW) 2025 kembali dengan penuh gaya dan warna sempena sambutan Deepavali, berlangsung pada 19 Oktober 2025 di Upper Atrium, Paradigm Mall, Kelana Jaya.
Acara fesyen berprestij itu meraikan ulang tahun kelima penganjurannya dan terus mengekalkan reputasi sebagai antara acara fesyen paling dinanti di Malaysia.
Diasaskan pada tahun 2019 oleh Dr. Jason Hee dan Nicole Fe Lynne, SFW menjadi platform yang menggabungkan fesyen, budaya serta kreativiti, selain memperkukuh kedudukan pereka tempatan di pentas global.

Bertemakan cahaya, warna dan perpaduan, SFW 2025 mengetengahkan lebih 150 model dan ratu cantik memperagakan rekaan daripada 20 jenama moden dan kontemporari, menggambarkan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia. Antara segmen pembukaan yang menarik perhatian termasuk MMK Kebaya Nyonya, Emerald Brilliant Cheongsam, Miss Saree Malaysia Saree Collection dan Maswira Majid Batik Collection.
Acara turut disusuli dengan sidang media, penyampaian anugerah dan pelantikan duta rasmi bagi edisi tahun ini.
Salah satu pengisian utama SFW 2025 ialah forum industri bertajuk “Runway to Revenue”, sesi istimewa yang menghubungkan dunia fesyen dengan perniagaan dan kreativiti.
Forum ini menampilkan moderator CT Chin, seorang penulis dan pembina jenama antarabangsa, bersama barisan panel terkemuka seperti Dr. Jason Hee selaku Pengasas SFW, Dato’ Kamil Othman (bekas Pengerusi FINAS), Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar (bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia) dan Bon Zainal (Pengasas Malaysia Bumiputra Designers

MEMPERKUKUH EKOSISTEM
Perbincangan tersehut bertujuan membuka peluang kolaborasi serta memperkukuh ekosistem industri fesyen tempatan.
Lebih 20 jenama tempatan dan antarabangsa turut mempersembahkan rekaan mereka di pentas, antaranya Empower Malaysian Association (EMA) dengan tema “Autism Rules Fashion”, Miss Malaysia Kebaya, Emerald Brilliant Cheongsam, Miss Saree Malaysia, Borneo Traditional Collection, Maswira Majid Collection, Von Jolly Couture, Faridz Salleh Couture, Galeri Tunku Ja’afar Heritage Collection serta banyak lagi.

Acara turut disertai oleh institusi latihan dan akademi seperti Alisa Tan Makeup & Modelling Academy Showcase serta SL Event Kids Models yang mengetengahkan bakat cilik di dunia peragaan.
Pada 20 Oktober 2025, SFW akan diteruskan dengan sesi pendidikan dan kolaborasi industri yang melibatkan pelbagai institusi pendidikan terkemuka. Antara yang mengambil bahagian ialah UNITAR International University, UCSI University, Malaysian Institute of Art (MIA), Diamodel Academy, Mahardika Productions dan Obi Trends.
Bengkel dan persembahan kreatif ini memberi peluang kepada pelajar serta pereka muda untuk mempelajari teknik dan ilmu terkini dalam dunia fesyen.

Acara akan diakhiri dengan majlis penyampaian anugerah dan sijil penghargaan bagi menghargai sumbangan para pereka, institusi dan tenaga kreatif yang menjayakan SFW 2025.
Dalam temu bual bersama SinarPlus, Dr. Jason Hee menjelaskan, SFW bukan sekadar pertunjukan fesyen, tetapi juga platform pembangunan bakat dan pendidikan.
Katanya, matlamat utama penganjuran ini ialah untuk mempromosikan pereka fesyen tempatan serta memberi ruang kepada pelajar kolej dan universiti bermula daripada asas dunia fesyen.
"Edisi kali ini melibatkan lebih 160 model daripada pelbagai peringkat umur termasuk enam kanak-kanak dan individu kurang upaya.
"Ia mencerminkan nilai keterangkuman dan kepelbagaian yang menjadi tunjang acara tersebut," ujarnya.
Tambahnya lagi, kekuatan industri fesyen tidak datang daripada seorang individu semata-mata, sebaliknya hasil daripada kolaborasi ramai pihak dalam ekosistem yang sama.

"SFW pernah beralih ke platform maya semasa pandemik COVID-19, namun kini kembali dengan penganjuran fizikal berskala besar dan berimpak tinggi.
“Kita mahu semua pihak bergerak bersama. Bila ramai yang berkongsi, barulah kita kuat,” katanya.
JAMBATANTRADISIDANMODEN
Selangor Fashion Week 2025 bukan sekadar pesta gaya, tetapi lambang perpaduan budaya dan daya cipta anak tempatan. Ia memperlihatkan bagaimana fesyen mampu menjadi jambatan antara tradisi dan moden, seni dan perniagaan, komuniti dan industri.

Dengan semangat Deepavali yang membawa erti cahaya dan harapan, SFW 2025 membuktikan bahawa fesyen bukan hanya tentang apa yang dipakai, tetapi tentang identiti, kreativiti dan masa depan industri kreatif Malaysia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

