Anak buka lagu kuat & kerap pakai fon kepala? Hati-hati, boleh jadi penyebab hilang pendengaran!
ZAMAN era digital masa kini, penggunaan peranti peribadi seperti telefon pintar, tablet dan fon kepala digunakan secara meluas termasuk dalam kalangan kanak-kanak dan belia turut sama terjebak.
Faktor ini boleh meningkatkan risiko hilang pendengaran akibat bunyi hingar atau Noise Induced Hearing Loss (NIHL).
Kajian terbaharu di Amerika Syarikat mendapati, 17 peratus remaja hari ini menunjukkan tanda-tanda NIHL.
Kira-kira 1.1 bilion remaja dan belia di seluruh dunia mengalami NIHL, terutamanya akibat penggunaan fon kepala dan peranti pemain muzik. Justeru, langkah pencegahan awal amatlah penting.
Dalam pada itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kira-kira 466 juta individu di seluruh dunia mengalami hilang upaya pendengaran pada tahun 2020.
Ini dijangka meningkat kepada hampir dua kali ganda menjelang tahun 2050. Dapatan yang paling membimbangkan ialah sehingga 60 peratus daripada kes tersebut boleh dicegah.
Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) & ENT Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Dr Priatharisiny Velayutham berkata, sebelum ini, kehilangan pendengaran akibat hingar sering dikaitkan dengan pendedahan kepada bunyi industri perkilangan.
“Walau bagaimanapun, dengan peningkatan penggunaan peranti peribadi seperti telefon pintar dan fon kepala, masalah kehilangan pendengaran akibat hingar menjadi semakin lazim dalam kalangan kanak-kanak dan belia. Lebih teruk lagi, kehilangan pendengaran jenis ini bersifat kekal dan tidak dapat dipulihkan,” jelas Dr Priatharisiny.
Terdapat dua jenis utama yang lazim berlaku iaitu:
- 1 Konduktif - Kehilangan pendengaran konduktif biasanya terjadi disebabkan oleh penyakit yang menjejaskan telinga seperti pengumpulan cecair atau penumpukan tahi telinga, dan secara umumnya boleh dirawat.
- 2 Sensorineural - Kehilangan pendengaran sensorineural yang menjejaskan sel-sel saraf biasanya berlaku disebabkan terdedah kepada bunyi yang kuat. Sifatnya kekal, bilateral iaitu melibatkan kedua-dua belah telinga dan tidak dapat dipulihkan. Ini termasuk kehilangan pendengaran akibat bunyi hingar kerana sering terdedah kepada bunyi berfrekuensi tinggi daripada peranti peribadi, konsert dan sumber lain. Pendedahan secara berterusan boleh merosakkan sel saraf di telinga dalam, sekali gus menyebabkan hilang pendengaran.
Kehilangan pendengaran dalam kalangan kanak-kanak selalunya berlaku tanpa disedari, namun terdapat beberapa tanda-tanda awal yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa.
“Salah satunya, jika kanak-kanak kerap menonton televisyen atau menggunakan peranti elektronik lain pada kelantangan yang tinggi.
“Mereka juga mungkin menghadapi cabaran di sekolah seperti sukar untuk mengikuti arahan atau ketinggalan dalam akademik, serta pertumbuhan kosa kata yang terbantut.
“Lambat bertutur dan berbahasa juga boleh menjadi tanda amaran yang ketara kerana kanak-kanak mungkin menghadapi masalah untuk mengungkapkan perkataan atau memahami percakapan orang lain.
“Ramai ibu bapa mungkin tidak menyedari bahawa kehilangan pendengaran akibat bunyi boleh menjadi punca masalah ini, jadi ujian pendengaran dan berjumpa dengan pakar atau pakar kanak-kanak adalah sangat penting,” kongsi Dr Priatharisiny.
Tambah beliau lagi, apabila bercakap tentang kehilangan pendengaran akibat bunyi hingar, pencegahan adalah kuncinya. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau penggunaan peranti peribadi dalam kalangan kanak-kanak dan mengehadkan pendedahan kepada bunyi yang kuat.
Kurang pendedahan
Pada masa yang sama, penting untuk mengambil rehat antara sesi penggunaan peranti dan mempertimbangkan penggunaan penyumbat telinga atau alat perlindungan bunyi untuk kanak-kanak di persekitaran yang bising seperti konsert.
Sementelah itu, Dr Priatharisiny turut menyuarakan bahawa satu fahaman yang biasa, iaitu semakin kurang pendedahan, semakin baik.
Kebanyakan ibu bapa mungkin tidak sedar bahawa kanak-kanak terdedah kepada penggunaan fon kepala selama lebih daripada 80 minit membuatkan mereka 4.7 kali lebih berisiko mengalami kehilangan pendengaran berbanding mereka yang menggunakannya selama kurang daripada masa tersebut.
Oleh itu, salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan menetapkan had masa kepada 30 minit hingga satu jam sebagai tempoh masa penggunaan fon kepala yang dibenarkan untuk kanak-kanak bagi membantu mencegah risiko kehilangan pendengaran jenis ini.
Selain itu, Dr. Priatharisiny menekankan kepentingan intervensi awal dan saringan pendengaran secara berkala.
“Lambat menangani kehilangan pendengaran boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan. Malah, ramai individu telah kehilangan sehingga 50 peratus pendengaran apabila mereka mula mendapatkan bantuan atau berjumpa pakar,” jelas beliau
Pakar itu turut berkongsi rawatan menerusi penggunaan alat bantu pendengaran untuk kehilangan pendengaran sederhana hingga teruk dan implan koklea untuk kes yang lebih teruk atau kehilangan pendengaran yang mendalam.
“Alat bantu pendengaran membantu menguatkan bunyi dan membolehkan pendengaran menjadi lebih baik, tetapi ia memerlukan tempoh penyesuaian bersama pakar audiologi.
“Disebabkan penguatan bunyi, pemakaian alat ini secara lebih kerap membantu otak menyesuaikan diri dengan lebih baik,” ujarnya.
Selain itu, Dr Priatharisiny turut berkongsi beberapa nasihat untuk ibu bapa membantu anak-anak mengurangkan risiko kehilangan pendengaran akibat hingar, antaranya:
- Menghadkan penggunaan peranti peribadi pada awal usia seperti penggunaan fon kepala. Jadikan sebagai upah selepas menyiapkan tugasan atau kerja rumah
- Galakkan aktiviti seperti membaca buku dan mendengar cerita beraudio berbanding video atau skrin televisyen yang boleh membantu perkembangan kanak-kanak. Ini kerana pengecaman pertuturan melalui bunyi dikaitkan dengan keupayaan kognitif.
- Wujudkan masa tanpa peranti peribadi terutamanya semasa waktu makan atau meluangkan masa bersama dapat membantu memupuk interaksi yang bermakna dan mengurangkan pergantungan pada skrin dan peranti.
- Intervensi awal dan pemeriksaan biasa adalah penting untuk segera mengesan dan menangani isu pendengaran bagi memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi muda.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang