Anak kerap mengadu sakit kaki tetapi tiada luka. Mungkin petanda growing pains!
MUNGKIN ibu ayah pernah berhadapan situasi anak mengadu kaki sakit, tetapi setelah dilihat tiada apa yang berlaku. Jika itu yang berlaku, kemungkinan besar anak anda sedang dalam fasa tumbesaran.
Bagi sesetengah kanak-kanak, mereka akan mengalami simptom yang dikenali sebagai growing pains.Growing pains atau kesakitan tumbesaran ialah rasa sakit atau berdenyut yang biasanya berlaku di bahagian kaki kanak-kanak, namun jarang berlaku di bahagian tangan.
Ia kebiasanya dialami oleh mereka yang berusia antara dua hingga 12 tahun, dengan kebanyakan kes bermula sekitar usia tiga hingga lima tahun.
Kesakitan itu lazimnya bermula pada lewat petang atau awal malam dan akan hilang menjelang pagi.
Dalam sesetengah kes, kesakitan tersebut boleh menjadi begitu teruk sehingga membuatkan si kecil terbangun daripada tidur.
Keadaan ini boleh berlaku setiap hari atau kebanyakannya berlaku secara berselang-seli terhadap kanak-kanak.
Menurut Doktor Pediatrik di Klinik Sierra Qualitas Selayang, Dr Sandra Raman, keadaan ini hanyalah normal dan berlaku disebabkan oleh proses mereka menjadi lebih tinggi.
“Anak-anak mungkin akan mengalami sakit kaki terutamanya di bahagian lutut. Rasa sakit itu seakan-akan berdenyut dan ia boleh membawa ke bahagian paha dan juga belakang kaki.
“Kadangkala, rasa sakit boleh turun ke kawasan betis tetapi lebih kepada paha. Sama macam kita rasa sakit otot atau lenguh,” kata beliau.
Tambah Dr. Sandra, growing pains ini boleh berlaku pada salah satu atau kedua-dua belah kaki dan lebih kerap dialami oleh kanak-kanak yang sangat kurus.
Ini kerana lutut mereka lebih jelas kelihatan tulangnya berbanding isi.
Dalam pada itu, kesakitan itu sebenarnya lebih kerap berlaku pada kanak-kanak perempuan berbanding lelaki atau mereka yang sangat aktif pada hari tersebut.
Terlalu hiperaktif
Sebagai contoh, jika kanak-kanak tersebut melompat-lompat dalam tempoh yang lama, terlalu hiperaktif dan melakukan banyak aktiviti seperti berlari atau memanjat pada waktu siang, ia meningkatkan risiko sakit kaki pada waktu malam.
“Bagi ibu bapa yang anak-anak mereka mengalami masalah ini, apa yang anda boleh buat adalah urut kaki dengan menggunakan minyak panas, minyak urut atau apa-apa yang sesuai di bahagian yang sakit.
“Kedua, demah atau tuam kaki si kecil dengan air panas di bahagian yang sakit.
“Setengah kanak-kanak akan tidur semula setelah ibu bapa buat sedemikian.
“Namun begitu, ada juga kes yang masih lagi mengalami rasa sakit selepas itu atau kesakitannya akan datang sejam sekali sehingga mengganggu tidur mereka dan penjaga,” kata beliau.
Jika keadaan itu berlanjutan, anda boleh sediakan terlebih awal ubat demam atau tahan sakit seperti sirap paracetamol atau sirap ibuprofen.
Namun jika masih tiada tanda-tanda sakit itu akan membaik atau berlaku keadaan seperti di bawah, ibu ayah boleh bawa anak-anak berjumpa dengan doktor:
- Masih ada pada waktu pagi.
- Terlalu kuat sehingga mengganggu aktiviti harian anak.
- Terletak di bahagian sendi.
- Berkaitan dengan kecederaan.
Keadaan ini disertai tanda atau gejala lain seperti bengkak, kemerahan, kesakitan ketika disentuh, demam, ruam, hilang selera makan, lemah atau keletihan.
Semua simptom tersebut perlu dirujuk kepada doktor kerana mungkin berkait dengan penyakit lain yang lebih serius. Jadi, ibu ayah perlulah peka dan ambil tahu tentang growing pains yang berlaku pada anak-anak.
Growing pains biasanya tidak berbahaya dan akan hilang apabila kanak-kanak semakin membesar.
Perbuatan seperti mengurut, melakukan regangan dan menggunakan ubat tahan sakit yang boleh dibeli di farmasi adalah cara terbaik untuk meredakan kesakitan mereka.
Namun, terdapat beberapa keadaan asas lain yang mempunyai gejala serupa dan mungkin menjadi masalah serius.
Sebaiknya, bawa si kecil berjumpa doktor jika kesakitan tersebut mengganggu aktiviti harian atau jika mereka mengalami gejala lain yang membimbangkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang